Ust. Dr. Fadlan Mohd Othman

dari Kuliah Akidah Perbandingan Akidah Ahlus Sunnah dan Khawarij.

Nasihat Secara Tertutup

Berdasarkan sebuah hadis yang lain:

عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ قَالَ قِيلَ لَهُ أَلَا تَدْخُلُ عَلَى عُثْمَانَ فَتُكَلِّمَهُ فَقَالَ أَتَرَوْنَ أَنِّي لَا أُكَلِّمُهُ إِلَّا أُسْمِعُكُمْ وَاللَّهِ لَقَدْ كَلَّمْتُهُ فِيمَا بَيْنِي وَبَيْنَهُ مَا دُونَ أَنْ أَفْتَتِحَ أَمْرًا لَا أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ أَوَّلَ مَنْ فَتَحَهُ

Daripada Usamah bin Zaid radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata – Seseorang berkata kepadanya, “Adakah engkau tidak menemui ‘Utsman dan menasihatinya?” Maka Usamah menjawab:

“Adakah engkau menganggap bahawa aku tidak menasihatinya melainkan aku perlu memperdengarkannya (memberitahu) kepadamu? Demi Allah, aku telah menasihatinya dengan empat mata (antara aku dengannya). Aku tidak akan membuka perkara (fitnah) di mana aku tidak menyukai sekiranya aku adalah orang pertama yang membukanya.” (riwayat  Imam Muslim)

Kita juga merupakan ibu, bapa, suami, isteri atau anak sekalipun, jika ayah kita menasihati kita maka esok dia bercerita dengan orang, maka kita akan merasa tidak selesa dengan perbuatan ayah kita itu.

Jika sebaliknya pula, kita hendak menasihati ayah kita. Apabila sudah berbincang dan keadaan ketika itu masing-masing tidak bersetuju, lalu dia balik dan berfikir semula dan dia boleh terima apa yang dinasihati oleh anaknya itu. Tetapi apabila keesokannya dia melihat keluar di surat khabar kenyataan anaknya menasihatinya. Jadi kemungkinan dia ingin mendengar nasihat anaknya itu agak susah. Begitubjuga jika suami isteri. Orang yang hendak memikirkan sesuatu dan hendak menerima, kadang-kadang dia akan melalui satu proses sama ada hendak menerima atau hendak menolak sesuatu kenyataan itu. Tetapi mungkin diakhirnya dia akan berfikir benar apa yang dinasihati kepadanya. Tetapi keesokannya dia mendapat tahu semua orang tahu bahawa dia telah dinasihati oleh isterinya.

Maka adakah dia hendak mendengar nasihat isterinya itu? Begitujuga yang sebaliknya. Ini semua level yang kecil-kecil sahaja, apatah lagi jika dengan pemerintah. Jika dengan pemerintah kita berkata seperti itu tiba-tiba kita sebarkan, maka dia yang asalnya mungkin ingin menerima apa yang kita nasihati, tetapi disebabkan kita menyebarnya lalu dia tidak jadi menerimanya.

Nasihat Imam Syafie

Dengan itu al-Imam al-Syafie menyatakan, “Tujukanlah kepadaku nasihatmu secara individu dan elakkanlah memberi nasihat kepadaku di dalam jemaah”

“Sesungguhnya memberi nasihat semasa di dalam jemaah adalah sejenis penghinaan, yang telingaku ini tidak mampu mendengarnya. Sekiranya kamu tidak dengar kataku maka jangan pelik sekiranya engkau tidak ditaat oleh aku”

Kita hendak cerita di sini al-Imam al-Syafie bercakap bukan untuk dirinya tetapi dia mengeluarkan pantun nasihat untuk manusia. Secara umumnya jika hendak memberi nasihat perlulah secara personal, bukannya di khalayak ramai. Al-Imam al-Syafie menyatakan bahawa memberi nasihat di hadapan khalayak ramai adalah sejenis penghinaan. Di mana manusia secara umumnya apabila dicela dih adapan orang ramai dia tidak dapat menerima perkara itu. Sebenarnya dia bukan tidak boleh terima apa yang dinasihati tetapi dia tidak boleh terima apabila dia diaibkan dihadapan orang. Dan dia menyatakan jika berdegil juga hendak nasihat aku di hadapan orang ramai, maka jangan pelik sekiranya aku tidak menerimanya.

Ini kerana ada unsur-unsur yang tidak kita perhatikan yang boleh memberi kesan kepada nasihat kita yang ditolak. Jadi itulah yang dijelaskan oleh al-Imam al-Syafie dan saya yakin bahawa apa yang al-Imam al-Syafie sebutkan itu adalah berdasarkan hadith-hadith Nabi saw seperti yang kita sebutkan tadi bahawa nasihat perlu dilakukan dengan etika yang sebenar-benarnya.

Ianya bukan dengan mengaibkan orang tetapi dengan dibuat secara personal. Jika orang berkata, ‘saya tidak ada akses pada pemerintah, jadi saya terpaksa menasihati melalui facebook tadi’. Jadi kita menyatakan jika tiada ases dan tiada kemampuan, maka kita sudah tidak wajib untuk menegurnya. Siapa yang mempunyai akses itulah yang wajib. Tetapi kita mempunyai akses lain iaitu doa seperti yang disebutkan tadi, ‘doa seorang muslim kepada saudaranya secara berjauhan adalah antara doa yang mustajab.

Rakaman oleh Abu Aqif Studio

“Teks disediakan oleh Biro Penerbitan iLMU berdasarkan rakaman berikut: 

http://www.youtube.com/playlist?list=PL99617A8EF5F8F1EA

Ust. Dr. Fadlan Mohd Othman

dari Kuliah Akidah Perbandingan Akidah Ahlus Sunnah dan Khawarij.

Nasihat Kepada Pemimpin

Yang kedua menasihati pemerintah-pemerintah Islam dan melarang keluar daripada ketaatan mereka apabila mereka melakukan kezaliman atau keFasikkan. Ahli sunnah apabila nampak pemerintah seperti khalifah, wali dan sebagainya melakukan kesilapan. Kesilapan itu berbentuk zalim, tidak adil, fasik dan maksiat. Apakah pendirian mereka? Pendirian mereka ialah menasihati. Maksud nasihat di sini ialah menginginkan kebaikan untuk pihak yang dinasihati seperti yang disebut oleh an-Nawawi rahimahullah.

Nasihat ini cukup luas iaitu inginkan kebaikan untuk pihak yang dinasihati. Jika pihak yang dinasihati memerlukan sokongan, kita menyokongnya, maka itu adalah nasihat. Jika dia memerlukan teguran, kita menegurnya, maka itu adalah nasihat. Jika dia memerlukan bantuan, kita membantunya, maka itu adalah nasihat. Di dalam satu hadith Nabi bersabda maksudnya, “Sekiranya dia meminta nasihat daripadamu, maka nasihatkanlah dia” (riwayat Imam Muslim)

Itu adalah kewajipan seorang muslim kepada muslim yang lain. Jika tidak, maka dia termasuk di dalam golongan, “Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat” (riwayat al-Bukhari)

Maksudnya ayat dan hadith yang kita faham, situasi menuntut kita menyampaikan, maka kita sampaikan.

Kaedah Memberi Nasihat

Kembali kepada perbincangan kita sekarang ini menasihati pemerintah. Maksud nasihat kita sudah tahu iaitu inginkan kebaikan untuk pihak yang dinasihati.

Konsep nasihat luas tetapi kita hendak fokuskan sekarang ini nasihat di dalam bentuk teguran. Bagaimana perlu dilakukan dan apakah etikanya?

A-Adakah dibuat dikhalayak ramai?

B-Adakah secara tertutup?

C-Adakah dibuat secara ugutan?

Jawapannya ialah di dalam hadith-hadith Nabi saw disebutkan antara jihad yang paling hebat ialah seorang yang menasihati pemerintah yang zalim, lalu dibunuh oleh pemerintah tersebut. Ini adalah syahid yang paling hebat.

Dalam Kitab al-Mustadrak (no. 4884), Imam al-Hakim meriwayatkan sepotong hadis dari Jabir r.a., bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud, “Penghulu orang yang mati syahid ialah Hamzah bin Abdul Mutalib dan juga seorang pemuda yang bangkit menegur dan menasihati pemerintah yang zalim, sehingga ia dibunuh oleh pemerintah tersebut.”

Rakaman oleh Abu Aqif Studio

“Teks disediakan oleh Biro Penerbitan iLMU berdasarkan rakaman berikut: 

http://www.youtube.com/playlist?list=PL99617A8EF5F8F1EA

Bid’ah Hasanah atau Bid’ah Mahmudah?

dari Kuliah Akidah Perbandingan Akidah Ahlus Sunnah dan Khawarij. Bahagian 8.

Ust. Dr. Fadlan Mohd Othman

Pembahagian ‘bid’ah hasanah’ disandarkan kepada Imam kita Imam Muhammad bin Idris asy-Syafie. Memang benar Imam asy-Syafie ada menyatakan hal ini tetapi bukan di dalam bentuk hasanah yang kita difahami pada hari ini, Imam al-Syafie menyatakan bid’ah mempunyai dua jenis iaitu bid’ah mahmudah iaitu bid’ah yang terpuji dan bid’ah mazmumah iaitu bid’ah yang tercela.

Disebutkan bahawa Imam Syafie pernah berkata:

اَلْبِدْعَةُ بِدْعَتَانِ : بِدْعَةٌ مَحْمُوْدَةٌ وَبِدْعَةٌ مَذْمُوْمَةٌ, فَمَا وَافَقَ السُّنَّةَ فَهُوَ مَحْمُوْدٌ وَمَا خَالَفَ السُّنَّةَ فَهُوَ مَذْمُوْمٌ

“Bid’ah itu ada dua: Bid’ah yang (mahmudah) terpuji dan bid’ah yang tercela (mazmumah). Semua yang sesuai dengan sunnah, maka itu adalah terpuji, dan semua yang menyelisihi sunnah, maka itu adalah tercela.”(Riwayat Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah (9/113))

Semakna dengannya, apa yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Manaqib Asy-Syafi’i (1/469) bahwa beliau berkata:

اَلْمُحْدَثَاتُ ضَرْبَانِ : مَا أُحْدِثَ يُخَالِفُ كِتَابًا أَوْ سُنَّةً أَوْ أَثَرًا أَوْ إِجْمَاعًا فَهَذِهِ بِدْعَةُ الضَّلاَلِ, وَمَا أُحْدِثَ مِنَ الْخَيْرِ لاَ يُخَالِفُ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ فَهَذِهِ مُحْدَثَةٌ غَيْرُ مَذْمُوْمَةٍ

“Perkara yang baru ada dua bentuk: (Pertama) Apa yang diada-adakan dan menyelisihi kitab atau sunnah atau atsar atau ijma’, inilah bid’ah yang sesat. Dan (yang kedua) apa yang diada-adakan berupa kebaikan yang tidak menyelisihi sesuatupun dari hal tersebut, maka inilah perkara baru yang tidak tercela.”

Jadi jika ingin mengikut  mazhab al-Syafie maka gunalah bid’ah mahmudah dan dia berkata bid’ah mahmudah yang terpuji itu ialah yang menepati al-Qur’an dan Sunnah. Yang menyalahinya adalah bid’ah yang tercela.

Contoh Bid’ah Tercela (Mazmumah)

Di antara bid’ah yang tercela adalah penetapan waktu imsak ketika berpuasa. Ini disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani. Ibn Hajar al-Asqalani antara yang membawa kata-kata al-Imam al-Syafie seperti yang saya sebutkan tadi. Jadi tentu dia faham tentang perkara itu.

Apabila sampai ke masalah imsak tetapi ianya tidak menyebut imsak pun tetapi maksudnya seperti imsak iaitu berhenti makan. Apabila sampai puasa, berhenti makan 1/3 jam sebelum azan telah dibuat satu isyarat bahawa perlu berhenti makan. Imam Ibn Hajar menyatakan,

“Antara bid’ah yang mungkar”

Ibn Hajar al-Asqalani  adalah al-Imam al-Syafie. Assuyuti menyatakan contohnya orang menyatakan perkara itu hasanah tetapi imam di dalam mazhab itu sendiri pun menyatakan adalah mungkar antaranya ialah melafaskan niat. Imam Assuyuti menyatakan itu adalah satu bid’ah yang mungkar. Jadi boleh menggunakan bid’ah hasanah, Cuma pastikan perkara itu tidak menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah.

Bid’ah Mukaffirah dan Bid’ah Ghairu Mukaffirah

dari Kuliah Akidah Perbandingan Akidah Ahlus Sunnah dan Khawarij. Bahagian 7.

Jika di dalam perbincangan ulama hadith mereka akan meletakkan bid’ah mempunyai dua iaitu mukafarah ataupun mukafirah dan juga ghairu mukaffirah atau bid’ah mufasikah. Antara yang membahaskan ialah Syaikh Dr. Ibrahim bin AMir ar-Ruhaili dalam bukunya Mawqif Ali al Sunnah wa al-Jama’ah min Ahli al –Ahwâ wal- al Bidâ. 

Bid’ah mukafarah adalah bid’ah yang mengkafirkan ataupun dikufurkan. Pada zaman Nabi, sifat-sifat Allah diterima tetapi sampai zaman Jahm b Sofwan (pengasa fahaman Jahmiyah) sifat Allah ditolak maka ini adalah satu bid’ah.

Bid’ah yang fasik ini pula mempunyai banyak seperti amalan-amalan yang di dalam kategori maksiat contohnya solat semperna puasa enam, zikir beralunan dan sebagainya. Azan yang beralunan juga adalah bid’ah.

Ibn Umar menyatakan dia pernah masuk ke dalam satu masjid, dia mendengar orang azan yang dialunkan, lalu dia keluar daripada masjid itu.

Kata Ibn Mas’ud ra. terhadap mereka yang melakukan zikir yang kuat, beramai-ramai (halaqah) ketika menunggu solat.

“Celakalah kamu wahai umat Muhammad! Alangkah cepat kemusnahan kamu. Para sahabat Nabi masih ramai lagi, baju baginda belum lagi buruk dan bekas makanan dan minuman baginda pun  belum lagi pecah! Demi yang jiwaku berada di tanganNya, apakah kamu berada di atas agama yang lebih mendapat petunjuk daripada agama Muhammad, atau sebenarnya kamu semua pembuka pintu kesesatan?

Jawab mereka; ‘Demi Allah wahai Abu Abd Rahman, kami hanya bertujuan baik.

Jawabnya; ‘Betapa ramai yang bertujuan baik, tetapi tidak menepatinya.”  (riwayat al-Darimi dalam Musnadnya)

Mereka mempunyai dua pilihan. Adakah mereka boleh berkata, ‘kami lebih hebat daripada Muhammad’? Jika berkata seperti ini maka kafirlah mereka. Jika tiada yang pertama ini maka hanya ada pilihan yang kedua iaitu membuka pintu kesesatan. Nampak seperti baik kerana mereka duduk di masjid, berkumpul bertasbih, takbir dan tahmid. Itu pun Ibn Masud berkata membuka pintu kesesatan.

Rakaman oleh Abu Aqif Studio

“Teks disediakan oleh Biro Penerbitan iLMU berdasarkan rakaman berikut: 

http://www.youtube.com/playlist?list=PL99617A8EF5F8F1EA

Syirik, kufur, nifaq, fasik dan zalim 

dari Kuliah Akidah Perbandingan Akidah Ahlus Sunnah dan Khawarij. Bahagian 6.

b4132405Syirik, kufur, nifaq, fasik dan zalim. Lima perkara ini setiap satunya mempunyai dua bahagian iaitu akbar dan asghar.

Syirik besar ialah syirik akbar iaitu syirik yang berkaitan dengan menyembah Allah bersama dengan selain daripada Allah. Manakala syirik kecil ialah syirik asghar iaitu riak yang bermaksud menunjuk-nunjuk dengan perbuatan, sumaah pula menunjuk-nunjuk dengan percakapan seperti kita bercakap supaya orang mendengarnya dan menyampaikan pula kepada orang lain.

Jika perkataan syirik adakah Allah tidak mengampunkan syirik yang mana satu sebenarnya (syirik besar atau syirik kecil)?

Syirik akbar (syirik besar) tidak diampunkan oleh Allah melainkan taubat ketika masih hidup.

Syirik kecil sebagai contoh di dalam bentuk riak ada khilaf di kalangan ulama. Ada yang menyatakan boleh diampunkan dan ada yang menyatakan tidak boleh diampunkan. Tetapi masih lagi ada khilaf.

Kufur

Kufur besar ialah menolak agama Islam. Kufur kecil ialah sebahagian amalan yang disifatkan kufur. Contohnya mencaci orang Islam adalah fasik dan memerangi orang Islam hukumnya adalah kufur. Fasik kecil adalah maksiat. Fasik besar adalah menolak agama Islam. Nifaq besar adalah zahirnya Islam tetapi batinnya kufur.

Nifak @ Munafik 

Nifaq kecil adalah empat amalan iaitu tipu, mungkir janji, extreme dan kianat di dalam amanah. Nifaq biasanya digunakan untuk zahirnya Islam, batinnya kufur. Ertinya kita perlu tahu apakah yang biasa dan apakah yang jarang-jarang. Kita perlu melihat sesutau dalil berdasarkan kepada yang kebiasaan dan jarang-jarang ini.

Nifaq juga sama, apabila kita sebutkan dia ini munafiq ertinya hipokrit yang bermaksud menzahirkan Islam menyembunyikan kufur.

Adakah Munafiq itu masih Muslim?

Jawapannya sebenar-benarnya dia tidak Muslim tetapi hukum kita berurusan dengannya adalah urusan Islam. Contohnya jika dia menyembelih kambing bolehkah kita memakannya?

Jawapannya boleh tiada masalah. Jika dia mati adakah kita akan solat keatasnya iaitu solat jenazah? Jawapannya solat. Hakikat sebenarnya dia adalah kafir tetapi kita tidak tahu secara pasti. Kita hanya ada petanda-petanda kemungkinan dia ini munafik.

Perkataan munafik biasanya zahir Islam, batinnya kekufuran.

Tetapi ada juga perbuatan-perbuatan yang disebut sebagai munafik iaitu, ‘tanda-tanda munafik ialah tiga’. Di dalam riwayat lain ditambah kepada empat.

“Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tanda orang munafik itu ada tiga iaitu jikalau berkata dia berdusta, jikalau berjanji dia tidak menepati janjinya, dan jika diberi amanah dia akan berkhianat.” (HR Bukhari dan Muslim)

Jika dia khianat sahaja bolehkah kita sebutkan dia sebagai munafiq dan akan kekal di dalam neraka? Ianya tidak boleh kerana dia hanya ada satu ayat yang dipanggil nifak kecil. Nifak kecil tidak boleh digunakan hukum nifak besar.

Zalim 

Kemudian yang akhir sekali ialah zalim yang besar adalah syirik. Zalim kecil adalah tidak adil. Kebiasaannya syirik digunakan untuk menyembah Allah dan selain daripada Allah. Zalim pula biasanya digunakan untuk tidak adil.

Ramai orang marah pemerintah dan berkata pemerintah sebagai zalim. Maksud mereka zalim disitu ialah tidak adil. Itu kebiasaan yang digunakan tetapi zalim juga membawa maksud syirik.

“Sesungguhnya syirik adalah kezaliman yang besar” (Surah Lukman)

Jadi bolehkah kita gunakan ayat ini kita letakkan kepada orang-orang yang zalim di kalangan pemerintah bahawa mereka sebenarnya telah zalim dan hukum kezaliman itu adalah syirik? Dengan itu mereka adalah orang-orang yang musyrik. Ini tidak boleh kerana itu adalah tidak adil, bukanya mereka membuat syirik. Jadi ini adalah secara kasarnya maksud tentang perkara ini. Syirik kecil adalah termasuk di dalam dosa besar.

Kufur 

Kufur biasanya digunakan untuk yang menolak agama Islam. Kufur ini apabila Islam datang dia tahu tetapi dia menolaknya. Amalan yang bersifatkan kufur, boleh atau tidak seseorang itu berdasarkan hadith yang menyatakan memerangi orang Islam adalah kufur. Contohnya dia melihat orang yang sedang berperang seperti di Libya, maka dia menyatakan memerangi orang Islam adalah kufur. Dua-dua saling memerangai maka dua-duanya kafir dan dia menyatakan Libya bukan Negara Islam lagi. Perkara ini tidak benar kerana amalan ini adalah amalan kufur asghar iaitu kufur kecil tetapi kita berikan hukum sebagai kufur akbar, maka ini tidak benar.

Jika kita melihat orang melakukan kufur asghar bolehkah kita beri hukum kufur akbar? Iainya tidak boleh. 

Fasik

Fasik pula biasa digunakan untuk maksiat. Sebagai contoh dalam kes nikah yang perlu kepada saksi yang adil. Jika dua saksi itu fasik adakah nikah itu sah? Mengumpat adalah dosa kecil atau besar? Jawapan dosa besar. Menipu adalah dosa besar, maka seorang yang menipu adakah dia adil ataupun fasik?

Jawapannya ialah dia adalah orang yang fasik dan tidak adil. Contohnya apabila nikah tadi saksi duanya kita selalu melihat kerjanya mengumpat, batu api dan sebagainya, maka adakah dia adil? Jawapannya dia tidak adil maka sahkah nikah tersebut?

Ulama kita menyatakan disebabkan zaman telah bertukar, kurangnya orang yang adil, ramai orang yang fasik dan susah mencari orang yang adil, maka hukumnya dipermudahkan. Maksudnya di sini orang yang fasik juga boleh menjadi saksi dalam pernikahan itu tetapi carilah yang terbaik di kalangan yang fasik. Itu adalah maksiat, tetapi orang yang membuat maksiat bolehkah kita hukumnya sebagai orang yang melakukan fasik yang besar iaitu kufur. Ada beberapa ayat yang menunjukkan amalan kufur sebagai fasik dan juga nifaq sebagai fasik. Jadi kita perlu berikan setiap satu dalil itu di letakkan pada tempatnya.

Rakaman oleh Abu Aqif Studio

“Teks disediakan oleh Biro Penerbitan iLMU berdasarkan rakaman berikut: 

http://www.youtube.com/playlist?list=PL99617A8EF5F8F1EA

tumblr_m41r26QQyk1r9f4s0o1_500Kisah orang beriman yang berdosa

dari Kuliah Akidah Perbandingan Akidah Ahlus Sunnah dan Khawarij. Bahagian 5

Ada kisah seorang pelacur yang diampunkan oleh Allah kerana satu kebaikan dan dimasukkan ke dalam syurga.

“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu diikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).

Banyak juga hadith-hadith yang menunjukkan bagaimana dengan perbuatan-perbuatan yang tidak baik seseorang itu boleh masuk ke neraka seperti tadi berkenaan dengan binatang.

Ada hadith lain juga berkenaan dengan binatang iaitu seorang wanita menampat seekor kucing sehingga kucing itu mati dan tidak memberi makan serta tidak melepaskan kucing itu. Maka Rasulullah menyatakan yang wanita itu diazab dengan perbuatannya itu.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, bersabda:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا فَلاَ هِيَ أَطْعَمَتْهَا وَلاَ هِيَ أَرْسَلَتْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ اْلأَرْضِ حَتَّى مَاتَتْ هَزْلاً

“Seorang wanita masuk Neraka karena seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makan dan tidak membiarkannya makan serangga bumi, sehingga mati kelaparan.” (riwayat al-Bukhari & Muslim)

Husnul Khotimah, mati dalam keadaan yang baik 

Terdapat hadith lain lagi di dalam himpunan 40, ada hadith yang berkenaan dengan husnul khotimah ataupun amalan itu bergantung kepada amalan yang terakhir.

“..ada seseorang diantara kalian yang mengerjakan amalan ahli surga sehingga tidak ada jarak antara dirinya dan surga kecuali sehasta saja. kemudian ia didahului oleh ketetapan Alloh lalu ia melakukan perbuatan ahli neraka dan ia masuk neraka. Ada diantara kalian yang mengerjakan amalan ahli neraka sehingga tidak ada lagi jarak antara dirinya dan neraka kecuali sehasta saja. kemudian ia didahului oleh ketetapan Alloh lalu ia melakukan perbuatan ahli surga dan ia masuk surga.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kita perlu faham hadith-hadith yang kita bacakan tadi ataupun yang kita sebutkan tadi di dalam dua sudut.

Sudut yang pertama berkaitan dengan dosa manakala sudut yang kedua berkaitan dengan kufur dan iman. Pertama dosa pahala, yang kedua kufur iman.

Bagi minuman kepada anjing adalah pahala manakala wanita ini berzina adalah dosa. Maka ini adalah antara pahala dengan dosa. Kemudian hadith yang di sebut masuk ke syurga dan masuk ke neraka, orang yang melakukan amalan syurga dan amalan neraka. Dia melakukan amalan ahli neraka tiba-tiba sebelum mati dia melakukan amalan ahli syurga, lalu mati dia masuk syurga. Ini adalah berkaitan dengan iman dan kufur. Seperti orang yang kafir sebelum mati dia beriman maka dia kana masuk ke syurga. Manakala orang yang beriman sebelum mati dia kufur maka dia akan masuk ke neraka.

Zahirnya kita kenal 20 tahun, 30 tahun atau 40 tahun di masjid tiba-tiba sudah hampir mati datang pula Kristian berdakwah kepadanya dan dia tidak mampu untuk menjawab dan melakukan kesilapan di dalam debat itu dengan berkata siapa kalah perlu tukar agama. Mereka bersetuju tetapi tiba-tiba dia terlupa beberapa ayat lalu menyebabkan dia masuk agama Kristian. Sejam selepas itu dia pun mati maka dia masuk neraka. Berbeza dengan tadi, wanita yang memberi minum anjing lalu masuk syurga. Dia adalah wanita beriman, telah membuat dosa besar dan mempunyai amalan baik maka apabila mempunyai amalan baik maka amalan baik itu boleh diampunkan dan itu semua masih lagi termasuk di dalam masyiatullah iaitu kehendak Allah untuk mengampunkannya.

Manakalan wanita yang menambat kucing sehingga mati itu ada perbincangan di situ samada wanita itu kekal masuk neraka ataupun tidak. Jika kekal kemungkinan kerana dia munafiq atau sebagainya. tetapi zahirnya bukan begitu, dia dimasukkan untuk diazab terhadap perbuatannya yang mengazab binatang tersebut. Ini tidak menunjukkan dia kekal di dalam neraka.

Jadi disini kita perlu bezakan dua perkara jika amalan yang berkaitan dengan pahala dan dosa, maka Allah boleh mengampunkan. Jika orang yang melakukan dosa itu adalah orang yang beriman, maka kita melihat kepada prinsip Ahli Sunnah yang pertama iaitu melakukan dosa besar tidak bertaubat pun maka masih lagi ada peluang untuk dimaafkan dan diampunkan oleh Allah, walaupun ada risiko Allah mengazabnya terlebih dahulu.

Seperti wanita tadi melakukan dosa besar tetapi disebabkan ada keikhlasan di dalam dirinya yang dilihat oleh Allah swt iaitu memberi minum kepada anjing itu, maka itu menunjukkan adanya taubat, keikhlasan dan keinsafan maka Allah mengampunkannya dan memasukkannya terus ke dalam syurga. Jika hadith yang saya sebutkan tadi iaitu orang yang terakhir keluar daripada neraka, itu adalah dibawah kehendak Allah tetapi masuk ke dalam neraka terlebih dahulu.

Rakaman oleh Abu Aqif Studio

“Teks disediakan oleh Biro Penerbitan iLMU berdasarkan rakaman berikut: 

http://www.youtube.com/playlist?list=PL99617A8EF5F8F1EA

Khawarij mengkafirkan pelaku dosa besar

dari Kuliah Akidah Perbandingan Akidah Ahlus Sunnah dan Khawarij.

Bahagian 4

b4034999Golongan al-Khawarij pula mengkafirkan pembuat dosa besar di kalangan mukminin. Mengapakah mereka menyatakan demikian? Ini kerana mereka melihat ayat-ayat wa’id. Waid ini ialah ayat-ayat ancaman. Kita biasa mendengar tarhib dan targhib. Targhib bermaksud memberi galakan, manakala tarhib bermaksud memberi amaran.

Al-Wa’du adalah janji baik. Allah menjanjikan orang yang berpuasa sekian-sekian, orang yang solat pula sekian-sekian. Dan Allah memberi amaran kepada orang yang memakan harta anak-anak yatim dan sebagainya.

Jadi mereka menggunakan ayat-ayat wa’id iaitu ayat-ayat amaran yang kebiasaannya Allah turunkan kepada orang-orang kafir, namum mereka (khawarij) gunakan kepada orang-orang Islam. Itu secara umumnya yang dibuat oleh golongan khawarij.

Sebagai contoh dalam firman Allah,

“Sesungguhnya orang yang makan harta anak yatim secara zalim, maka sesungguhnya mereka masukkan kedalam perut mereka itu api neraka dan mereka akan masuk neraka sair.” (surah an-Nisa, ayat 10)

Mereka mengambilnya pada zahirnya tanpa melihat kepada ayat-ayat dan hadith-hadith yang meletakkan pengecualian.

Jadi itulah yang dilakukan oleh golongan khawarij dengan mengambil ayat-ayat ancaman dan terus gunakan pada orang Islam tanpa melihat kepada ayat-ayat yang mengecualikan seperti Allah tidak mengampunkan dosa syirik tetapi mengampunkan dosa yang tidak sampai syirik.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.