Soal jawab 14 ; Melanggar pantang larang ihram

Bersama Ustaz Dr. Fadlan Mohd Othman

Soalan: Saya telah mengerjakan umrah pada 2002. Saya telah berniat ihram di miqat qarnul manazil secara tidak sengaja saya melanggar pantang larang dalam ihram iaitu mengerat kuku. Dalam masalah saya apakah jenis dam yang perlu saya bayar? Untuk pengetahuan ustaz, saya sudah berpuasa selama tiga hari sebagai membayar dam atas kesalahan saya. Adakah sah puasa saya?- Mak Su, Ipoh, Perak.Islam adalah agama yang menepati naluri dan fitrah manusia. Pensyariatan dalam Islam bersifat mudah dan tidak membebankan. Allah Ta’ala telah menyatakan dalam Surah al-Haj ayat 78 yang bermaksud, 

”Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam agama.” 

Al-Imam Ibnu Kathir semasa mentafsirkan ayat ini, telah berkata, “Allah tidak mempertanggungjawabkan kamu dengan sesuatu yang kamu tidak mampu. Jika perkara yang diwajibkan ke atasmu itu membebankan kamu, maka pasti Dia akan memberi kemudahan. Sebagai contoh, solat yang merupakan amalan terhebat selepas dua kalimah syahadah diwajibkan empat rakaat semasa bermastautin, namun semasa mengembara dipendekkan kepada dua rakaat.”

Seterusnya, di antara kemudahan yang Allah Taala berikan kepada umat Islam ialah segala tuntutan terhadap pelanggaran amalan dalam Islam dikecualikan dalam tiga situasi. Situasi pertama, tersilap atau tidak sengaja. Situasi kedua, terlupa manakala situasi ketiga, terpaksa. Rasulullah SAW telah menjelaskan perkara ini dalam sabdanya yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah memaafkan untuk umatku kesalahan yang dilakukan kerana tersilap, terlupa dan terpaksa” (Hadis riwayat al-Imam Ibnu Majah, No. 1675. Disahihkan oleh al-Albani).

Allah Taala juga telah menjelaskan bahawa kesalahan yang boleh dihukum ialah yang dilakukan secara sengaja, manakala perbuatan yang dilakukan secara tersilap adalah dimaafkan. Allah Taala telah berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 5 yang bermaksud,

“Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” 

Berdasarkan kepada kaedah ini, dapatlah saya menjawab soalan Mak Su bahawa melanggar pantang larang dalam ihram seperti mengerat kuku secara tidak sengaja adalah dimaafkan dan Mak Su tidak perlu membayar sebarang dam. Adapun puasa tiga hari yang Mak Su lakukan itu, semoga Allah menerimanya sebagai amalan puasa sunat daripada Mak Su.

Sebagai maklumat tambahan, sukacita saya membawakan satu hadis yang menunjukkan bahawa kafarah atau dam bagi orang berihram yang melanggar pantang larang ihram seperti mencukur rambut, mengerat kuku, menutup kepala, memakai baju, memakai tutup muka atau sarung tangan untuk perempuan dan seumpamanya; ialah menyembelih binatang ternakan atau berpuasa tiga hari atau memberi makan kepada enam orang miskin; setiap seorang diberikan setengah gantang makanan. Perkara ini terdapat dalam hadis berikut,

“Ka’b bin ‘Ujrah berkata, “Saya telah dibawa berjumpa Rasulullah SAW dalam keadaan kutu terjatuh-jatuh atas muka saya. Lalu Rasulullah berkata, ‘Aku tidak sangka sakitmu sampai ke tahap yang aku nampak ini. Adakah engkau mampu sembelih kambing?’ Lalu aku menjawab, ‘Tidak.’ Rasulullah bersabda, ‘Maka puasalah tiga hari atau beri makan kepada enam orang miskin, setiap seorang itu diberikan setengah gantang makanan.’ “
(Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari, No. 1816; 4517, dan juga al-Imam Muslim, No. 1201).Semoga Allah Taala memudahkan untuk kita mempelajari hukum-hakam amalan ibadah yang akan kita laksanakan dan menerima amalan kebaikan yang telah kita lakukan serta mengampuni segala kelemahan dan kesilapan.*DR. FADLAN MOHD. OTHMAN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia selain Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia.

Sebarang persoalan bolehlah di e-melkan di alamat berikut, mingguanmail@gmail.com

Siaran akhbar Ahad, 23 September 2012

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: