Arkib

Muamalat & Ekonomi

Soalan:

ASSALAMUALAIKUM Ustaz, Saya ingin mengetahui adakah dari sudut syarak keputusan yang di lakukan oleh arwah bapa saya betul. Sebelum bapa saya meninggal beliau telah membahagikan tiga perempat dari keseluruhan harta beliau kepada kedua orang adik saya kecuali saya dan abang saya.

Dari sudut hukum bolehkah berbuat sedemikian? Apabila bapa saya meninggal dunia adakah kedua-dua adik saya masih berhak ke atas baki satu perempat harta peninggalan?

 Zahari Abdul Aziz, Selangor

Jawapan:

Islam mengajar umatnya agar sentiasa berlaku adil. Orang yang berlaku adil akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah Taala.

Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya orang yang adil itu berada di sisi Allah, di atas menara-menara cahaya, di sebelah kanan Allah… iaitulah mereka yang berlaku adil dalam hukum mereka dan keluarga mereka serta apa yang mereka pimpin.” (Hadis Sahih riwayat al-Imam Muslim, No. 1827).

Sesungguhnya, di antara perkara yang diarahkan oleh Islam ialah agar umatnya berlaku adil dalam pemberian terhadap anak-anak. Seorang bapa atau ibu itu hendaklah memberi sesuatu pemberian itu secara adil kepada anak-anak mereka.

Keadilan inilah yang akan menjadikan kesemua anak-anak itu serupa dan sama dalam berbakti kepada ibu bapa mereka. Perkara ini telah pun ditekan oleh Rasulullah SAW dalam hadis berikut; al-Nu’man bin Basyir berkata, “Ayahku telah membawaku berjumpa Rasulullah SAW dan berkata, ‘Wahai Rasulullah! Saya mempersaksikanmu bahawa saya telah memberi al-Nu’man sebahagian daripada hartaku.’ Baginda bersabda, “Adakah semua anak-anakmu kamu berikan seperti mana kamu beri kepada al-Nu’man?” Ayah menjawab, ‘Tidak.’ Baginda bersabda, “Carilah orang lain untuk menjadi saksi.” Kemudian baginda berkata lagi, “Adakah engkau suka mereka semuanya berbakti kepadamu secara sama?” Ayah menjawab, ‘Ya.’ Baginda bersabda, “Jika begitu jangan beri hanya kepada dia.” (Hadis Sahih riwayat al-Imam Muslim, no. 1623).

Namun, sekiranya pemberian yang diberikan itu tidak sama antara satu anak dengan anak yang lain, tetapi anak yang tidak dapat itu menyetujui dan meredai, maka tiada masalah.

Dalilnya ialah satu riwayat di mana A’isyah r.a. telah berkata, ‘Sesungguhnya Abu Bakr al-Siddiq telah memberinya hasil tanaman sebanyak 20 wasaq daripada kebunnya...’ (Hadis riwayat al-Imam Malik dalam Muwatta’. Ibnu Hajar mengkategorikannya sebagai Sahih). Ibnu Hajar rahihamullah di dalam kitabnya Fathul Bari (5/215) telah mengatakan bahawa Urwah r.a. telah mengatakan bahawa adik beradik A’isyah r.a menyetujui dan meredai pemberian itu.

Dengan itu, berkenaan dengan harta sebanyak tiga perempat yang diberikan kepada dua orang adik saudara, ada dua keadaan; pertama, jika saudara dan abang tidak setuju dan tidak reda maka harta itu perlu dibahagi semula sama ada secara sama rata atau mengikut pembahagian faraid.

Secara ringkasnya, mengikut hukum faraid, anak lelaki mendapat dua bahagian dan anak perempuan mendapat satu bahagian. Keadaan kedua, jika saudara dan abang setuju dan reda, maka tiada apa yang perlu dilakukan.

Berkenaan dengan harta yang berbaki, iaitu sebanyak satu perempat keseluruhan pewaris termasuk kedua-dua adik saudara tetap mempunyai hak ke atas harta ini mengikut apa yang diperuntukkan dalam hukum faraid.

Silalah rujuk kepada Mahkamah Syariah atau Jabatan Agama berdekatan untuk mendapat pembahagian yang terperinci berdasarkan harta yang ditinggalkan dan pewaris yang layak menerima.

Di kesempatan ini saya ingin menasihatkan para pembaca sekelian, khususnya para ibu bapa agar sentiasa memikirkan unsur keadilan dalam pemberian kepada anak-anak semasa hidup.

Pemberian hendaklah dilakukan secara adil dan saksama. Adapun nafkah yang wajib, maka hendaklah diberikan kepada anak-anak mengikut keperluan mereka dan tidak perlu sama rata.

Semoga Allah memudahkan kita untuk berlaku adil dan mengampunkan kelemahan dan kesilapan kita dalam pemberian dan pengagihan harta.

Sebagai makluman tambahan, hendaklah kita mengetahui bahawa hukum nafkah anak-anak adalah wajib dan tidak sama dengan pemberian yang bukan merupakan nafkah. Nafkah adalah perbelanjaan yang merangkumi makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, perkahwinan dan kesihatan.

Justeru, keadilan dalam memberi nafkah ialah yang sewajarnya dan yang sesuai dengan keperluan anak. Sebagai contoh jika terdapat lima orang anak dan kesemuanya memerlukan pakaian maka hendaklah dibelikan pakaian untuk setiap seorang daripada mereka berlima.

Akan tetapi jika hanya tiga sahaja yang memerlukan pakaian, maka belilah untuk tiga orang itu sahaja dan tidak perlu dibelikan untuk yang dua lagi. Jika dibelikan juga untuk yang dua lagi itu, dikhuatiri boleh terjerumus ke dalam pembaziran kerana mereka berdua tidak memerlukannya.

Satu perkara lagi, perlulah dibezakan antara lelaki dan perempuan. Pastinya keperluan anak lelaki tidak sama dengan keperluan anak perempuan. Bila sang ayah memberi nafkah anak-anaknya mengikut keperluan mereka, inilah yang dinamakan keadilan.

DR. FADLAN MOHD. OTHMAN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia selain Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia. Sebarang persoalan bolehlah di e-melkan di alamat berikut, mingguanmail@gmail.com

Siaran akhbar Ahad, 30 September 2012

 

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Umat Islam dilarang mengundi DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang kerana jelas perbuatan itu amat menyalahi perintah Allah SWT di dalam al-Quran.

Pengerusi Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Dr. Fadlan Mohd. Othman berkata, ini kerana DAP menentang hebat dasar perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas.

”Mengundi DAP yang menentang perjuangan Islam adalah tidak wajar menurut Islam. Di dalam surah al-Maidah ayat kedua telah memerintahkan kita tolong-menolong dalam kebaikan dan ketakwaan dan bukannya tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.

”Justeru, mengundi DAP menyalahi ayat suci ini. Harapan kita masih optimis agar Pas memikirkan kerjasama dengan UMNO yang terbukti berjaya memartabatkan syiar Islam di muka bumi ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa’amah, adalah haram dan berdosa untuk umat Islam menyokong DAP yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud.

Abdullah berkata, umat Islam juga tidak boleh menyokong mana-mana pihak yang bekerjasama atau menjalin pakatan dengan DAP pada pilihan raya kerana sokongan itu akan turut membawa kemenangan kepada DAP.

Fadlan berkata, Pas sejak menyertai pakatan pembangkang gagal muncul sebagai sebuah parti dominan dan akibat itu juga perjuangan Islam yang dijunjung parti tersebut berjaya dikekang oleh ketegasan DAP.

Dalam perkembangan berkaitan beliau yang juga Pensyarah Kanan Jabatan al-Quran dan as-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menolak dakwaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak memperjuangkan Islam seperti mana dikatakan oleh Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Mohamad Daud.

Beliau berkata, sejak merdeka sehingga hari ini kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO berjaya meletakkan Islam pada kedudukan sewajarnya sehingga tertubuh pelbagai institusi bagi kemudahan umat Islam di negara ini.

Ujarnya, pencapaian itu tidak boleh dinafikan oleh sesiapa antaranya penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); sistem kewangan Islam dan Tabung Haji.

Selain itu katanya, UMNO juga telah meletakkan usaha memartabatkan Islam khusus di dalam perlembagaan parti itu.

”Sememangnya Pas sering mengeluarkan hukum-hakam yang mengelirukan. Sebenarnya adalah tidak wajar Pas bersekongkol dengan DAP yang memang jelas memusuhi Islam,” katanya lagi.

Menjawab satu soalan, beliau tidak menafikan kemasukan sebahagian besar golongan profesional di dalam Pas telah menyebabkan suara ulama semakin tenggelam.

”Disebabkan berlaku kemasukan golongan profesional ke dalam Pas kedudukan ulama di dalam parti tersebut semakin tergugat,” katanya lagi.

Siaran akhbar Khamis, 09 Ogos 2012

KUALA LUMPUR 19 Julai – Kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz yang mengatakan bahawa Allah mengarahkan Pas untuk menawan Putrajaya daripada musuh-musuh Allah, merupakan satu tuduhan yang amat berat serta tidak berasas sama sekali, kata pensyarah Kanan Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Ustaz Dr. Fadlan Othman.

 

Beliau turut mempersoalkan atas dasar apa Timbalan Ketua Pemuda Pas mengeluarkan kenyatan tersebut bahawa kerajaan hari ini yang ditunjangi oleh UMNO sebagai musuh Allah.

Kenyataan itu menurutnya merupakan satu tuduhan yang amat berat terhadap UMNO sebagai sebuah parti umat Islam yang kini diberi tanggungjawab memerintah negara.

Ujarnya, sepanjang  pemerintahan UMNO, beliau tidak menafikan dasar memelihara dan menegakkan syiar Islam oleh pemerintah hari ini terserlah apabila syiar-syiar Islam terus ditegakkan dari pelbagai sudut seperti pembinaan masjid, mewujudkan institusi keagamaan, menyemarakkan program-program agama, kebebasan berdakwah dan sebagainya.

“Bagaimanapun, sebagai sebuah gerakan atau parti yang diterajui oleh makhluk yang bergelar manusia, sudah pastilah ada cacat cela dan kepincangan di sana sini.

“Jika Nik Abduh mengatakan bahawa pemerintah hari ini adalah musuh Allah atas dasar kekurangan yang ada UMNO, maka saya berani kata bahawa Pas juga adalah musuh Allah, kerana mereka juga ada kelemahan dan kekurangan sama seperti UMNO dan manusia lain. Tapi lainlah kalau mereka dakwa semua ahli dan kepimpinan Pas itu maksum belaka,” tegas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.

Beliau turut menyifatkan kenyataan yang keluar dari mulut Nik Abduh itu sebagai satu lagi kesinambungan dari kenyataan-kenyataan kepimpinan Pas yang cuba mengelirukan ummah.

Tambahnya,  Pas sememangnya sudah lama menjadi agen mewujudkan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini dengan pelbagai kenyataan dan fatwa-fatwa yang menyalahi dalil Al Quran dan Sunnah, demi untuk kepentingan dan survival cita-cita politik mereka.

“Sebelum ini, Pas juga pernah mendakwa bahawa solat itu juga adalah sebahagian dari demostrasi, bagi menghalalkan tindakan mereka berdemonstrasi.  Mereka suka menggunakan dalil Quran dan Sunnah, namun pada tempat yang salah. Sekarang ini, dia kata bahawa Allah memerintah Pas untuk menawan Putrajaya dari musuh-musuh Allah.

“Kenyatan seperti ini tidak betul sama sekali. Kata-kata seperti ini tidak patut keluar dari mulut seorang yang dianggap berilmu. Kenyataan sebegini adalah kesinambungan agenda Pas  yang menggunakan agama untuk mengelirukan rakyat awam, khsususnya umat Islam di negara ini,” tegas beliau .

Beliau juga berpendapat bahawa Nik Abduh  dipengaruhi oleh emosi yang berlebihan ketika mengeluarkan kenyataan tersebut di hadapan pengikut-pengikut Pas, ketika perhimpunan yang diadakan di Stadium Darul Aman pada awal Jun baru-baru ini.

“Maklumlah, berceramah di hadapan ribuan orang ramai, pastinya Nik Abduh bersemangat untuk meyakinkan para pengikut bahawa perjuangan Pas ini adalah tepat sehingga mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya seperti itu,” ujarnya.

Kata beliau lagi, bahawa selaku pemimpin yang mempunyai jawatan tinggi di dalam Pas, Nik Abduh tidak sepatutnya bercakap mengikut emosi yang berlebihan sehingga mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam. 

siaran portal 19 Julai.

Dr. Fadlan Mohd Othman

Jika jihad tidak perlu kepada pemerintah, banyak sekarang ini yang berlaku antaranya ada yang menamakan dirinya jamaatul takfir wal hijrah maksudnya kumpulan takfir yang mengkafirkan dan yang berhijrah. Mereka tidak berhenti disitu, mereka juga sampai ke tahap memerangi orang Islam. Perkara seperti ini banyak berlaku di Algeria. Sesiapa masuk sahaja tentera kerajaan, selepas itu keluar sahaja dia perlu dibunuh. Jika kita lihat mengapa mereka menutup mata seperti ninja? Ini kerana mereka tidak mahi dikenali mukanya. Jika kenali mukanya mungkin esok dia akan mati.

Ini berlaku kerana jemaah jihad ataupun dipanggil jemaah yang tidak tertakluk kepada pemerintah ini, dia akan pergi dan bunuh. Ini adalah satu masalah juga bahawa jika jihad tidak perlu kepada pemerintah. Mereka menyatakan sesiapa mana-mana kumpulan itu sudah boleh mengeluarkan satu arahan untuk berjihad. Sedangkan yang sebenarnya seperti hadith yang kita sebutkan tadi,

“ diperangi dibawah naungannya ataupun dibelakangnya”

Dengan itu ulama kita telah banyak menyatakan tentang perkara ini daripada dahulu sehingga sekarang. Antara yang terkini adalah Syeikh Solleh Fauzan al-Fauzan hafidzahullah, Syaikh al-Uthaimin dan lain-lain. Dengan itu juga timbul masalah pengebom berani mati. Adakah itu sebahagian daripada jihad?

http://www.youtube.com/watch?v=UlIy72pJi_w

Dr. Fadlan Mohd Othman

Seperti pepatah Melayu menyatakan ‘tak kenal maka tak cinta’. Yang pertama kita perlulah melihat kepada jihad di dalam bahasa Arab, selepas itu mengenali jihad di dalam istilah. Jihad di dalam bahasa Arab ialah merangkumi semua usaha yang diperah oleh seseorang individu khususnya usaha yang berkaitan dengan memerangi musuh iaitu semua usaha yang memerlukan perahan tenaga

Jihad dalam menuntut ilmu

Contoh lain ialah esok ada peperiksaan maka hari ini kita bersengkang mata dengan membaca untuk mendapat banyak maklumat. Ini barulah jihad di dalam menuntut ilmu, bukannya dengan tidur dan keesokannya terus mengambil peperiksaan tanpa ilmu.

Tetapi apabila jihad di dalam menuntut ilmu apabila orang mengajak minum kopi kita pun minum kopi, orang ajak berfacebook kita berfacebook dan sebagainya. Apabila tidak boleh menjawab soalan peperiksaan alasannya tidak sempat untuk membaca buku kerana dengan ajakan rakan yang disebutkan tadi. Maka kita katakan di sini anda tidak berjihad, tidak melaksanakan fardhu ‘ain pertama iaitu menuntut ilmu.

Jihat menurut istilah pula dapat dilihat daripada 2 sudut. Pertama ialah secara menyeluruh ataupun secara umum. Jihad merangkumi jiwa iaitu jihad untuk jiwa ataupun kepada jiwa, syaitan, kafir, pembuat zalim, bid’ah dan mungkar. Kemudian jihad ini jika dilihat secara terperinci boleh disampaikan kepada 13 bahagian.

Jihad peperangan

Jihad di dalam bentuk yang khusus ialah jihad yang membawa erti orang Muslim memerangi orang kafir yang tidak mempunyai perjanjian damai. Selepas diajak menganuti Islam lalu dia enggan. Ia bertujuan untuk mengangkat kalimah Allah. Jika melihat pemimpin Castro duduk di sebelah saya mungkin orang akan ingat kami satu jemaah. Tetapi dia bukanlah Islamsebaliknya kufur, dia juga menetang Amerika seperti kita. Jadi mungkin jika berkenaan dengan Amerika, apa yang kita katakan dengan apa yang dia katakan seolah-olah sama. Apabila sampai tahap mungkin peperangan berlaku antara orang Islam dan orang kafir yang dia itu tidak suka iaitu mungkin orang Amerika sendiri, maka orang akan menyatakan kita sama-sama berjihad. Perkara ini tidak harus dikatakan begitu kerana berjihad mestilah orang Islam yang lakukan bukanlah orang kafir.

Dan memerangi orang kafir yang tidak mempunyai perjanjian. Maksudnya kita tidak ada perjanjian seperti yang berlaku di zaman Nabi saw sebelum perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian Hudaibiyah ialah 10 tahun genjatan senjata. Semasa genjatan senjata dibuat kita tidak boleh perangi dia. Selepas diajak menganuti Islam, kita perlu sampaikan dakwah kepadanya. Jika sememangnya sudah sampai dakwah kepadanya tidak mengapa. Tetapi jika belum sampai dakwah kepadanya maka kita akan lihat Nabi mengarahkan panglima perangnya untuk menyampaikan dakwah kepada mereka. Apabila dia enggan barulah diperangi untuk mengangkat kalimah Allah.

Menurut sudut ini jihad adalah salah satu daripada 5 bahagian. Jihat yang khusus ini adalah salah satu daripada 5 bahagian jihad. Ianya terbahagi pula kepada 2 bahagian iaitu jihad pertahanan dan jihad serangan.

Secara umumnya jihad ialah jiwa, syaitan, kafir, munafiq dan orang-orang yang zalim iaitu ahli bid’ah dan ahli mungkar. Selepas itu cara menentang jiwa pula ialah dengan menimba ilmu. Kita hendak mendidik diri kita dan berjihad menentang nafsu diri kita sendiri.

Motivasi menuntut ilmu pada usia lanjut

Jika sesiapa yang umurnya sudah meningkat, boleh sahaja dia melihat kepada Ibn Hajjar. Secara ringkas kisah Ibn Hajjar ialah dia hendak pergi belajar tetapi tidak berjaya kerana gurunya merasakan dia tidak mampu untuk belajar lalu gurunya menasihatinya agar mencari kerja lain yang lebih bermanfaan untuknya daripada belajar tetapi tiada ilmu yang dia dapati, maka tiada gunanya. Lalu Ibn Hajjar pun pulang dan termenung. Ketika dia termenung dia melihat air menitis ke atas batu yang besar. Di tempat air yang menitis itu terdapatnya satu lengkungan. Apabila dia melihat kejadian itu ianya menjadikan satu inspirasi kepadanya. Dia berkata, ‘jika batu boleh menjadi lekuk dengan air, maka Ibn Hajjar mustahil tidak boleh”.

Dengan itu menjadikan inspirasinya untuk kembali belajar dan akhirnya dia menjadi Syeikhul Islam di dalam hadith. Jadi ilmu ini adalah satu perkara yang perlu dilakukan untuk mendidik jiwa kita ataupun untuk berjihat menetang diri kita sendiri.

Seterusnya ialah membuat amal. Ilmu tanpa amal samalah seperti pokok tanpa buah. Kemudian dakwah terhadap ilmu yang telah kita amalkan itu kita sampaikan kepada orang lain dan yang keempat ialah mesti bersabar. Ini diambil langsung daripada surah al-Asri. Hendak belajar, hendak beramal dan hendak berdakwah bukanlah senang. Jadi kita hendaklah bersabar dengan perkara itu.

http://www.youtube.com/watch?v=i1Sd9GVov_k

Dr Fadlan Mohd Othman

Ada seorang disatu gereja menyatakan kedudukan perlembagaan Negara kita ada yang seolah-olah memberi keutamaan kepada majoriti dengan itu membuli agama lain ataupun memperlekehkan agama lain.

Jika kita perhatikan betul-betul ada Negara-negara yang berdekatan pun, orang Islam di sana tidak kecoh dengan hal ini jadi mengapa orang yang bukan Islam di sini mengecohkan keadaan ini? Jadi kita menyatakan Allah swt telah menyebut did ala al-Qur’an firmannya:

Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha terhadap kamu wahai Muhammad sehinggalah kamu mengikut agama mereka (Surah al-Baqarah: ayat 120)

Jadi inilah kenyataan yang Allah swt sebutkan kepada kita dari dahulu lagi. Maka mengapa orang gereja yang beragama Kristian menyebutkan perkara ini kerana di dalam hatinya mempunyai perasaan yang tidak redha. Bahkan seperti yang saya sebutkan tadi, jika kita perhatikan sejarah apabila dibukanya Kota Baitul Maqdis ataupun Sepanyol dan Filipin iaitu Baitul Maqdis juga, mereka bertafakul sebentar sahaja kemudian semua orang Islam yang dipanggil itu semuanya dibunuh.

Jadi mana perginya rahmat? Kita jawab rahmat itu ada dalam Islam. Sedangkan di dalam Injil ada kenyataan menyatakan bahawa Isa berkata, ‘Adakah kamu menyangkakan aku ini membawa rahmat ataupun kesejahteraan? Tidak kerana aku datang membawa pedang’. Dengan itu kita boleh faham jika hendak menanyakan sebab kita katakan di sini orang kristian dan orang Yahudi tidak akan redha selagimana kita tidak mengikuti agama mereka.

Bahkan di dalam banyak perjumpaan mereka pun jika kita lihat di dalam buku-buku yang menceritakan tentang golongan Yahudi freemanson dan sebagainya, mereka menyatakan, ‘kita tidak mahupun orang Islam ini masuk Kristian ataupun masuk Yahudi tetapi kita hendak mereka meninggalkan agama mereka itupun sudah cukup’.

Jadi dengan itu seperti yang kita sebutkan tadi, orang Islam mereka perlu belajar al-Qur’an di dalam bahasa Arab dan juga di dalam bahasa mereka tersendiri. Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia samada yang Islam ataupun yang Kafir, kita perlu menghormati perlembagaan yang ada dan kita bekerjasama untuk mengeratkan perhubungan bukannya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang akan merosakkan hubungan antara kaum dan hubungan antara agama. Pastinya orang Islam tidak akan redho dengan orang Kristian, juga orang Yahudi, Budha, Hindu dan sebagainya.

Begitujuga agama-agama lain mereka tidak suka kepada agama Islam. Itu adalah perkara yang biasa berlaku tetapi tetap kita sebagai manusia yang kerakyatannya Malaysia dan juga rakyat luar yang mempunyai pas di Malaysia perlulah membantu untuk menjaga perpaduan. Bukannya datang untuk menimbulkan kerosakan dan porak peranda. Jadi ini satu perkara yang tidak patut kenyataan-kenyataan sebegini di keluarkan.

Ini adalah jawapan saya terhadap kenyataan daripada seseorang di gereja ini yang menyatakan perlembagaan ini membuli orang yang bukan Islam. Kita dapati sebenarnya jika orang itu atau kumpulan itu minoriti, biasanya dia akan struggle. Biasanya kehidupan mereka akan menjadi lebih baik daripada minority. Sebagai contoh orang melayu di Malaysialah yang paling rileks sekali. Kita minta bertanyakan soalan, mereka tidak bertanyakan soalan tetapi katakanlah ada seorang 2 orang Indonesia, maka merekalah yang akan bertanyakan soalan tidak kiralah dia lelaki ataupun perempuan.

Jadi apabila diminta memberi soalan tiada orang melayu yang memberi hinggakan kita perlu korek dan korek barulah soalan itu dikeluarkan. Sedang Universiti kata perlu jadikan ia interaktif dan sebagainya. Kita cuba tetapi akhirnya kita juga yang mengeluarkan soalan dan kita juga yang menjawab soalan itu. Tetapi jika ada orang luar khususnya orang Melayu Indunesia dan Melayu Thailan, mereka mudah untuk mengeluarkan soalan. Saya pun tidak tahu mengapa tetapi saya rasa jika orang Melayu Malaysia sebabnya ialah kerana mereka majority jadi mereka rilek, jika Melayu Thailan mereka minority kerana itu mereka bersungguh-sungguh dan jika Melayu Indunesia mereka majority tetapi mengapa mereka lain kerana mereka tidak ada subsidi.

Jadi kita dapati jika pergi ke Africa Selatan, orang Melayu di sana usahanya berbeza dan ramai dikalangan mereka yang kaya kerana mereka minority. maka sekarang bukan masalah majority ataupun minority tetapi masalahnya ialah kita faham bahawa kita hidup bersama di dalam satu masyarakat yang majmuk, kita memang merasakan agama kita yang terbaik samalah seperti orang Kristian juga menyatakan agama merekalah yang terbaik dan begitujuga agama-agama lain.

Dengan itu perbincangan tiada masalah, jika kita hendak sampaikan dakwah tiada masalah kecuali perlu berhujah dengan dalil yang betul. Selepas itu ialah kesejahteraan ataupun perpaduan sejagat perlu dijaga antara kaum. Jangan ada suara-suara sumbang  yang akan merosakkan dan tidak ditegur. Jika ada suara-suara seperti itu kita perlulah menegur secara langsung.

teks disediakan berdasarkan rakaman berikut

UFMO – Polis Perlu Campur Tangan Tuduhan Buli

http://www.youtube.com/watch?v=oR7Y0x0GZkw

 Ustaz Dr. Fadlan Mohd Othman

Puak parti pembangkang kata mereka, ‘berjuang untuk menjatuhkan pemerintah adalah jihad’. Kita pula memberitahu mereka perkara yang benar bahawa itu bukanlah jihad tetapi mereka berdegil, maka bagaimana?

Jadi jawapannya adalah kita perlu berdoa supaya mereka terbuka hati untuk menerima kebenaran yang kita cuba sampaikan. Kita perlu ingat antara usaha yang mungkin kurang dilakukan akhir-akhir ini ialah doa. Kita banyak menjelaskan tetapi apabila balik solat malam pun belum tentu lagi, jika tentu solat malam pun kebiasaannya kita akan doa hanya untuk diri kita. Jadi apa salahnya jika kita mendoakan untuk orang lain.

Bahkan umala-ulama salaf dahulu menyatakan, ‘jika saya hendakkan sesuatu, saya akan mendoakan untuk orang lain’. Ini kerana di dalam hadis menyatakan sesiapa yang berdoa untuk saudaranya semasa berjauhan, Allah akan menghantar kepadanya malaikat yang akan berkata, ‘engkau juga akan dapat yang sama’.

Dari Abu Ad-Darda’ dia berkata: Rasulullah saw bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ

“Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) tanpa sepengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata, “Dan bagimu juga kebaikan yang sama.”(HR. Muslim no. 4912)

Contohnya ‘ya Allah  berikan hidayah kepadanya’, ‘ya Allah senangkanlah dia untuk menerima hujjah, menerima dalil, al-Qur’an dan al-Hadis’. Maka engkau juga akan mendapat begitu juga. Jadi kita akan bertambah kuat dan dia pun insyaallah akan mendapatnya.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut;

http://www.youtube.com/watch?v=QqB8YaXnkrU


Dr. Fadlan Mohd Othman

Ada beberapa rakan yang datang ke Malaysia daripada Libya, Mesir dan sebagainya. Jadi apabila jatuhnya rejim Muammar Ghadafi, beliau pun menceritakan bagaimana sukarnya keadaan di sana. Jadi saya bertanya bagaimana pula dengan Malaysia? Saya sengaja ingin mengambil pandangan dan persepsi dia terhadap Malaysia. Dia pun berkata, ‘Malaysia tiada masalah. Kenapa Dr bertanya?’ Saya kata sengaja kerana ada orang Malaysia berkata Malaysia ini seperti rejim juga.

Itu adalah kesilapan persepsi masyarakat Malaysia terhadap kerajaan Malaysia. Kemudian datang dari Algeria beberapa orang rakan apabila sampai di sini menyatakan bahawa nikmat yang ada di sini tidak ada di sana pada satu ketika dahulu. Sahabat saya apabila keluar untuk pergi solat dengan memakai jubah. Kita berfikir beliau pergi ke masjid tetapi sebenarnya tidak. Apabila dia berjalan tiba-tiba satu trak polis berhenti serta menyediakan senapang untuk menembak beliau. Salah seorang daripada polis itu menampar sahabat saya tadi dan berkata, ‘kamu ingat kamu dimana’ dan dia menyeruh sahabat saya tadi balik.

Jadi perkara seperti ini tidak belaku di Malaysia. Jika di Malaysia polis melihat kita ke masjid mereka turut suka. Jadi saya lihat di sini secara ringkas jika kita melihat orang kafir kebanyakannya tidak mendapat maklumat yang betul, tetapi yang lebih malang punca utamanya orang Islam sendiri tidak mendapat maklumat itu. Maka apa yang perlu kita lakukan ialah membahaskan apa itu Islam, kebaikan-kebaikan Islam dan kehebatan Islam berkaitan dengan hudud, qisas dan kerajaan Islam.

teks ini disediakan berdasarkan rakaman

UFMO – Persepsi Luar Terhadap Islam Di Malaysia

Dr Fadlan Mohd Othman

Siri 1: Bersatulah walaupun berselisihan

Walaupun jelas kepada kita, orang-orang yang beriman, bahawa antara kewajipan utama kita ialah bersatu di bawah misi yang jelas iaitu penghambaan kepada Allah Ta‘ala berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah; tetapi secara fitrahnya juga Allah Ta‘ala telah menjadikan manusia itu berbeza-beza dalam kejadian dan penciptaan. Firman Allah Ta‘ala :

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (surah al-Hujurat 49, ayat 13)

Memandangkan kenyataan ini, sudah tentulah manusia sentiasa akan mempunyai kepelbagaian dalam setiap urusan mereka samada duniawi mahupun ukhrawi. Pastinya juga perbezaan ini adalah natijah kepada kepelbagaian mereka dalam pendidikan, pemikiran, adat dan alam sekeliling. Aspek-aspek ini telah disentuh oleh Allah Ta‘ala dalam ayat tadi dengan menekankan tujuan kejadian itu iaitu supaya mereka dapat kenal-mengenali antara satu sama lain, dan bukan sekali-kali supaya mereka kecam-mengecam antara sesama manusia.

Dalam satu ayat lain Allah Ta‘ala telah menjelaskan walaupun perbezaan itu berlaku dan berterusan, akan tetapi orang-orang yang Allah rahmati ialah yang tidak berselisihan dan tidak pula berpecah-belah. FirmanNya:

Maksudnya: “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam ugama Allah)); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)”. (surah Hud 11, ayat 118-119)

Adab-adab perbezaan pendapat

Setelah mendapat gambaran umum tentang sunnatullah dalam perpaduan dan perbezaan, wajarlah juga kita memerhatikan petunjuk-petunjuk al-Quran dan al-Sunnah untuk menghadapi perbezaan-perbezaan ini. Wajarlah ditekankan di sini bahawa perbincangan ini adalah berkenaan perkara-perkara yang menerima perbezaan pendapat atau dalam erti kata lain masalah-masalah yang berunsur cabang atau zanniyyat dan bukannya yang berunsur dasar atau qat‘iyyat.

Perkara juz’i (cabang) atau zanni (tidak muktamad) ialah perkara yang boleh menerima perbezaan pendapat manakala perkara kulli (dasar) atau qat‘i (muktamad) tidak sekali-kali boleh dipertikaikan. Perbezaan dalam perkara dasar atau muktamad inilah yang menghasilkan kumpulan-kumpulan pecahan (al-firaq) dalam Islam.

Perbezaan dalam perkara cabang atau tidak muktamad pula, pada asalnya tidak sepatutnya menghasilkan perpecahan, namun jika diiringi dengan sikap fanatik, pertengkaran, permusuhan dan hawa nafsu; maka di sini situasi akan bertukar daripada perbezaan pendapat yang dimaafkan dan dibenarkan Syarak kepada perbezaan pendapat yang dikeji Syarak kerana ianya menghasilkan perpecahan.

http://fadlan-mohd-othman.blogspot.com/2010/07/siri-etika-dan-adab-semasa-berselisih.html

Dr Fadlan Mohd Othman 

Bersatulah wahai umat Islam demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara!

Seawal malam pertama penglibatan saya dan rakan-rakan sebagai ahli UMNO, kami telah mendapat beberapa soalan yang diajukan oleh rakan media. Mereka bertanya adakah “ulama muda” akan bertelagah dengan ulama dari parti-parti lain. Saya menjawab, “Kami ingin menekankan aspek dakwah dengan ahli-ahli UMNO, dengan parti-parti lain dan juga dengan NGO-NGO.”

Pertentangan antara UMNO dan PAS juga dilihat oleh kami dari sudut yang positif, iaitu sudah wujudnya keinginan daripada sebahagian pucuk pimpinan PAS untuk bersatu dengan UMNO. Saya nyatakan bahawa itulah yang kami citakan; agar umat Islam di Malaysia ini dapat bersatu di atas landasan al-Qur’an dan al-Sunnah! Semoga kami dapat menjadi sebahagian daripada usaha murni ini.

Alhamdulillah, akhbar semalam pula menampilkan kenyataan pucuk pimpinan UMNO bahawa mereka bersedia untuk bersatu dengan PAS. Sebahagian ahli dan tokoh agama juga menyatakan kepentingan perkara ini untuk direalisasikan. Saya rasa ini adalah satu perkembangan yang amat positif. Saya juga amat suka melihat perjalanan alam ciptaan Ilahi ini dari sudut yang positif, walaupun tidak dinafikan kita sebagai insan perlu juga berwaspada. Saya amat bersetuju dengan cadangan yang mengatakan bahawa ulama dan golongan agama wajar memainkan peranan yang proaktif dalam usaha suci ini. Kedua-dua pihak seharusnya mengorak langkah untuk mengadakan perbincangan demi perbincangan yang dapat membina semangat ukhuwwah Islamiyyah yang mendalam.

Pepatah Arab ada mengatakan “al-Bu’du jafa’ ” yang bererti “berjauhan punca kerenggangan”.

Perbincangan yang serius harus dilakukan untuk menyatukan umat Islam di bumi tercinta ini. Pastinya landasan perbincangan ialah al-Qur’an dengan tafsiran yang sahih, al-Sunnah dengan huraian yang absah serta kefahaman para ulama yang muktabar.

”Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (surah al-Maidah, ayat 2)

Untuk bangsa dan agama lain di bumi tercinta ini, janganlah anda rasa tertekan atau terpinggir dengan usaha murni penyatuan umat Islam. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa jika sekiranya umat Islam benar-benar menghayati ajaran agama Islam, penindasan tidak akan berlaku; tidak kepada umat Islam dan tidak juga kepada yang bukan Islam. Sebagai permulaan, bacalah sejarah Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) dan empat khalifah selepasnya. Inilah yang kita citakan; agar umat Islam benar-benar menghayati ajaran agama Islam.