Arkib

Monthly Archives: Jun 2012

 Ustaz Dr. Fadlan Mohd Othman

Puak parti pembangkang kata mereka, ‘berjuang untuk menjatuhkan pemerintah adalah jihad’. Kita pula memberitahu mereka perkara yang benar bahawa itu bukanlah jihad tetapi mereka berdegil, maka bagaimana?

Jadi jawapannya adalah kita perlu berdoa supaya mereka terbuka hati untuk menerima kebenaran yang kita cuba sampaikan. Kita perlu ingat antara usaha yang mungkin kurang dilakukan akhir-akhir ini ialah doa. Kita banyak menjelaskan tetapi apabila balik solat malam pun belum tentu lagi, jika tentu solat malam pun kebiasaannya kita akan doa hanya untuk diri kita. Jadi apa salahnya jika kita mendoakan untuk orang lain.

Bahkan umala-ulama salaf dahulu menyatakan, ‘jika saya hendakkan sesuatu, saya akan mendoakan untuk orang lain’. Ini kerana di dalam hadis menyatakan sesiapa yang berdoa untuk saudaranya semasa berjauhan, Allah akan menghantar kepadanya malaikat yang akan berkata, ‘engkau juga akan dapat yang sama’.

Dari Abu Ad-Darda’ dia berkata: Rasulullah saw bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ

“Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) tanpa sepengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata, “Dan bagimu juga kebaikan yang sama.”(HR. Muslim no. 4912)

Contohnya ‘ya Allah  berikan hidayah kepadanya’, ‘ya Allah senangkanlah dia untuk menerima hujjah, menerima dalil, al-Qur’an dan al-Hadis’. Maka engkau juga akan mendapat begitu juga. Jadi kita akan bertambah kuat dan dia pun insyaallah akan mendapatnya.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut;

http://www.youtube.com/watch?v=QqB8YaXnkrU


Dr. Fadlan Mohd Othman

Ada beberapa rakan yang datang ke Malaysia daripada Libya, Mesir dan sebagainya. Jadi apabila jatuhnya rejim Muammar Ghadafi, beliau pun menceritakan bagaimana sukarnya keadaan di sana. Jadi saya bertanya bagaimana pula dengan Malaysia? Saya sengaja ingin mengambil pandangan dan persepsi dia terhadap Malaysia. Dia pun berkata, ‘Malaysia tiada masalah. Kenapa Dr bertanya?’ Saya kata sengaja kerana ada orang Malaysia berkata Malaysia ini seperti rejim juga.

Itu adalah kesilapan persepsi masyarakat Malaysia terhadap kerajaan Malaysia. Kemudian datang dari Algeria beberapa orang rakan apabila sampai di sini menyatakan bahawa nikmat yang ada di sini tidak ada di sana pada satu ketika dahulu. Sahabat saya apabila keluar untuk pergi solat dengan memakai jubah. Kita berfikir beliau pergi ke masjid tetapi sebenarnya tidak. Apabila dia berjalan tiba-tiba satu trak polis berhenti serta menyediakan senapang untuk menembak beliau. Salah seorang daripada polis itu menampar sahabat saya tadi dan berkata, ‘kamu ingat kamu dimana’ dan dia menyeruh sahabat saya tadi balik.

Jadi perkara seperti ini tidak belaku di Malaysia. Jika di Malaysia polis melihat kita ke masjid mereka turut suka. Jadi saya lihat di sini secara ringkas jika kita melihat orang kafir kebanyakannya tidak mendapat maklumat yang betul, tetapi yang lebih malang punca utamanya orang Islam sendiri tidak mendapat maklumat itu. Maka apa yang perlu kita lakukan ialah membahaskan apa itu Islam, kebaikan-kebaikan Islam dan kehebatan Islam berkaitan dengan hudud, qisas dan kerajaan Islam.

teks ini disediakan berdasarkan rakaman

UFMO – Persepsi Luar Terhadap Islam Di Malaysia

Dr Fadlan Mohd Othman

Siri 1: Bersatulah walaupun berselisihan

Walaupun jelas kepada kita, orang-orang yang beriman, bahawa antara kewajipan utama kita ialah bersatu di bawah misi yang jelas iaitu penghambaan kepada Allah Ta‘ala berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah; tetapi secara fitrahnya juga Allah Ta‘ala telah menjadikan manusia itu berbeza-beza dalam kejadian dan penciptaan. Firman Allah Ta‘ala :

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (surah al-Hujurat 49, ayat 13)

Memandangkan kenyataan ini, sudah tentulah manusia sentiasa akan mempunyai kepelbagaian dalam setiap urusan mereka samada duniawi mahupun ukhrawi. Pastinya juga perbezaan ini adalah natijah kepada kepelbagaian mereka dalam pendidikan, pemikiran, adat dan alam sekeliling. Aspek-aspek ini telah disentuh oleh Allah Ta‘ala dalam ayat tadi dengan menekankan tujuan kejadian itu iaitu supaya mereka dapat kenal-mengenali antara satu sama lain, dan bukan sekali-kali supaya mereka kecam-mengecam antara sesama manusia.

Dalam satu ayat lain Allah Ta‘ala telah menjelaskan walaupun perbezaan itu berlaku dan berterusan, akan tetapi orang-orang yang Allah rahmati ialah yang tidak berselisihan dan tidak pula berpecah-belah. FirmanNya:

Maksudnya: “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam ugama Allah)); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)”. (surah Hud 11, ayat 118-119)

Adab-adab perbezaan pendapat

Setelah mendapat gambaran umum tentang sunnatullah dalam perpaduan dan perbezaan, wajarlah juga kita memerhatikan petunjuk-petunjuk al-Quran dan al-Sunnah untuk menghadapi perbezaan-perbezaan ini. Wajarlah ditekankan di sini bahawa perbincangan ini adalah berkenaan perkara-perkara yang menerima perbezaan pendapat atau dalam erti kata lain masalah-masalah yang berunsur cabang atau zanniyyat dan bukannya yang berunsur dasar atau qat‘iyyat.

Perkara juz’i (cabang) atau zanni (tidak muktamad) ialah perkara yang boleh menerima perbezaan pendapat manakala perkara kulli (dasar) atau qat‘i (muktamad) tidak sekali-kali boleh dipertikaikan. Perbezaan dalam perkara dasar atau muktamad inilah yang menghasilkan kumpulan-kumpulan pecahan (al-firaq) dalam Islam.

Perbezaan dalam perkara cabang atau tidak muktamad pula, pada asalnya tidak sepatutnya menghasilkan perpecahan, namun jika diiringi dengan sikap fanatik, pertengkaran, permusuhan dan hawa nafsu; maka di sini situasi akan bertukar daripada perbezaan pendapat yang dimaafkan dan dibenarkan Syarak kepada perbezaan pendapat yang dikeji Syarak kerana ianya menghasilkan perpecahan.

http://fadlan-mohd-othman.blogspot.com/2010/07/siri-etika-dan-adab-semasa-berselisih.html

Etika dan Adab Pergaulan Apabila Berselisih Pendapat:

Memandangkan kepentingan etika dan adab dalam Islam, terpanggil saya untuk mengutarakan beberapa adab semasa berlakunya perselisihan pendapat yang saya petik daripada buku saya dan dua rakan lain, tajuknya (Khilaf dalam Islam: Sebab dan Adab). Etika dan adab berikut adalah berkaitan pergaulan dan interaksi sesama mereka yang berselisih pandangan, pendirian dan pendapat:

1. Tidak fanatik (ta‘assub)

Di dalam sebuah hadith:
عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ سِيرِينَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أُرَاهُ رَفَعَهُ قَالَ أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا مَا

Maksudnya: Daripada Muhammad bin Sirin daripada Abu Hurairah, (Aku rasakan dia merafa’kan hadith ini) katanya, “Cintalah orang yang kamu cinta secara berpatutan, kerana mungkin dia akan menjadi orang yang kamu benci satu hari nanti. Bencilah orang yang kamu benci secara berpatutan, kerana mungkin dia akan menjadi orang yang kamu cinta satu hari nanti. (riwayat Imam Tirmizi 1920)

Apabila pandangan dialihkan ke arah pergaulan, Islam merupakan agama terhebat dalam membentuk keseimbangan dalam kehidupan sosial sesebuah masyarakat. Pergaulan yang harmoni dan mesra di semua peringkat menjadi simbol agama mulia ini. Kita dapati, walaupun junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW terasa terguris dengan pembunuhan pakciknya Hamzah, Baginda masih memaafkan pembunuhnya yang telah memeluk Islam.

Cuma, Baginda memintanya supaya tidak menampilkan dirinya di hadapan Baginda supaya nostalgia silam tidak menghantui Baginda. Ukuwwah tetap ukuwwah. Kesilapan peribadi pula ditangani dengan cara yang amat profesional; tanpa fanatik terhadap hubungan kekeluargaan, kenegaraan, kemazhaban dan sebagainya.

2. Tidak berkelompok (tahazzub)

Sabda Rasulullah SAW :
الْمُؤْمِنُ الَّذِي يُخَالِطُ النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنْ الَّذِي لَا يُخَالِطُهُمْ وَلَا يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ قَالَ حَجَّاجٌ خَيْرٌ مِنْ الَّذِي لَا يُخَالِطُهُمْ

Maksudnya: Orang mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar terhadap amalan mereka yang menyakitkan lebih besar pahalanya daripada orang mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak pula bersabar terhadap amalan mereka yang menyakitkan. (riwayat Imam Ahmad, no 5022)

Setiap seorang yang dilahirkan ke dunia ini mempunyai keistimewaan dan kehebatannya yang tersendiri, di samping kelemahan dan kekurangan yang jelas dan pasti. Di dalam menghadapi senario ini, Islam mendidik penganutnya supaya saling bantu-membantu di dalam memartabatkan kebenaran dan ketaqwaan. Orang yang mahir di dalam sesuatu bidang seharusnya membantu Islam dari sudutnya serta menggalakkan orang yang berkemahiran dalam bidang lain supaya turut membantu Islam. Persepakatan ini akan menguatkan agama ini.

Sebaliknya, jika setiap ahli atau pakar menganggap jurusannya sahaja yang dapat membantu Islam, manakala jurusan lain tidak penting, ini hanya akan mewujudkan pertembungan yang merugikan Islam. Kita dapati, di kalangan para Sahabat, kepelbagaian dalam kemahiran tidak menghalang mereka daripada bersatu untuk memperjuangkan Islam. Khalid dengan kepahlawanannya, Abu Hurairah dengan ketajaman hafalannya, Ibnu Mas‘ud dengan kepakaran ilmunya; semuanya tidak pernah memperkecilkan peranan orang lain di dalam menjunjung Islam, apatah lagi menghalang pengikutnya daripada mendapat faedah daripada tokoh-tokoh lain.

3. Menghormati orang lain.

Sabda Rasulullah SAW :

وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Maksudnya: Dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Orang muslim ialah saudara bagi orang muslim lain. Dia tidak boleh menzaliminya, membelakanginya dan menghinanya. Ketaqwaan terletak di sini (lalu Baginda menunjukkan kepada hatinya, sebanayak 3 kali). Sudah memadai keburukan pada seseorang lelaki apabila dia menghina saudara muslimnya. Setiap muslim adalah haram ke atas muslim yang lain dari sudut darah, harta dan maruah. (riwayat Imam Muslim)

Kebiasaannya apabila disebut perkataan dosa, akal akan terus terfikir dosa-dosa yang masyhur seperti membunuh, berzina, mencuri dan sebagainya. Rasanya sedikit yang akan menekankan pandangan manusia terhadap manusia lain. Akan tetapi Rasulullah telah menjelaskan bahawa memandang rendah terhadap saudara seagama adalah satu dosa yang utama. Jika tiada tambahan dosa lain, memandang rendah kepada orang lain sudah memadai. Sudah tentu, dosa ini menjurus kepada perbuatan orang yang mempunyai kelebihan memandang rendah kepada orang yang jurang upaya dalam apa sahaja bidang dan situasi. Bagaimanakah sekiranya tidak mempunyai kelebihan tetapi masih memandang rendah orang lain? Ini sebenarnya lebih dahsyat daripada yang tadi; di samping dosa besar, Allah menambahnya dengan satu lagi balasan iaitu tidak akan ditegur olehNya di akhirat kelak.

Semoga coretan ini menjadikan kita lebih beretika dalam menghadapi perselisihan di antara kita.

http://fadlan-mohd-othman.blogspot.com/2010/06/etika-dan-adab-pergaulan-apabila.html

Ustaz Dr Fadlan Mohd Othman

Soalan

Bolehkah menikah berwalikan seorang bapa yang berakidah Syiah?

Jawapan

Sekiranya dia adalah Syiah jadian. Maksud Syiah jadian ini ialah seperti kita masuk ke rumah hantu yang dicipta oleh manusia sedangkan kita sendiri tahu hantu itu adalah manusia. Jika begitu mungkin ianya tidak ada masalah lagi kerana dia menjadi Syiah kerana semangat-semangat sahaja.

Tetapi jika dia memang hantu betul, maksudnya Syiah betul iaitu antaranya dia berkepercayaan bahawa darah Ahlus Sunnah semua halal, al-Qur’an yang ada pada kita tidak lengkap, Aisyah ra padalah wanita penzina dan sebagainya, maka dia adalah kafir dan tidak sah menjadi wali nikah. Kita jangan sekali-kali terima lamarannya dan jangan melamar daripada mereka.

Teks disediakan berdasarkan rakaman;

Etika dalam khilaf

Manusia sering sahaja berselisih pendapat, atau khilaf. Dalam menangani perihal khilaf ini, pelbagai ragam akan terserlah. Orang yang nampak tenang, mungkin sahaja akan bertukar wajah menjadi kebengisan. Apatah lagi jika khilaf yang berlaku antaranya dengan insan lain dianggap hanya dia sahaja yang betul. Di sinilah Nabi s.a.w. pernah memberitahu bahawa orang yang tegas adalah orang yang dapat mengawal dirinya semasa marah.

“Rasulullah SAW bersabda, “Menurut kalian, siapa yang kalian anggap paling kuat?”

Para sahabat menjawab, “Iaitu orang yang tidak kalah dalam suatu pergaduhan.”

Baginda bersabda, “Bukan itu, orang yang kuat adalah orang yang mampu menahan dirinya saat ia marah.”(riwayat Abu Daud, Kitab Adab, Bab Menahan Marah. Disahihkan oleh Shaikh al-Albani)

Di sini saya ingin menukil perihal etika atau adab khilaf yang berkaitan dengan pendapat yang diyakini oleh seseorang muslim dari buku ‘Khilaf Dalam Islam: Sebab dan Adab’ yang ditulis bersama oleh saya dan dua rakan seperjuangan. Semoga kita mendapat inspirasi daripada catatan ini:

6. (Adab) berkenaan pendapat yang dipilih:
6.1. Pendapat sendiri adalah kuat tetapi berkemungkinan lemah. 

Firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:111):

Maksudnya: Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Semestinya, di dalam beramal dengan ajaran Islam, kita memilih pendapat yang terkuat selepas melalui proses pengajian, pertanyaan dan kajian. Di dalam perkara-perkara yang mempunyai berbagai-bagai pendapat, pendapat kita samada sesuai dengan majoriti ataupun dengan minoriti sahaja.

Apapun keadaannya, kita pasti akan menguatkan pendapat yang kita ambil. Di sini pendirian yang tepat ialah walaupun itu pilihan kita, masih ada kemungkinan pilihan orang lain lebih kuat. Mewujudkan kemungkinan ini akan menjadikan kita lebih terbuka dan senang untuk berbincang bagi mendapatkan keterangan yang lebih tepat dan mantap.

6.2. Menghormati atau memberi ruang kepada pendapat orang lain. 

Daripada Anas Bin Malik, beliau berkata: “Aku bermusafir bersama Rasulullah SAW dalam bulan Ramadan. Orang yang berpuasa tidak mempertikaikan yang berbuka, dan yang berbuka pula tidak mempertikaikan yang berpuasa” (riwayat Imam al-Bukhari dan Imam  Muslim).

Satu perkara yang lain ialah kemestian menghormati pendapat orang lain. Adab ini akan menghasilkan keharmonian dalam masyarakat yang sudah jelas mempunyai pelbagai pendapat dan pegangan. Menghormati pendapat orang lain yang kita anggap salah bukan ertinya kita lemah di hadapannya, sebaliknya kita mementingkan perpaduan yang amat memerlukan kelembutan daripada pihak kedua.

Kekerasan tidak boleh ditangani dengan kekerasan sepertimana kelembutan tidak boleh dihadapi dengan kelembutan. Sekiranya sesuatu pendapat itu dianggap salah, jelaskanlah kesalahannya secara tersusun dengan tangan atau lisan. Jika tiada kemampuan, pindah kepada peringkat minimum iaitu dengan hati. (selesai nukilan)

Seterusnya, ingin saya nyatakan bahawa memilih salah satu daripada beberapa pendapat Ahli Sunnah wa al-Jama’ah tidaklah wajar dihukum sesat, diminta bertaubat, dicaci, dicerca atau dituduh menyakiti Rasulullah s.a.w. Sepatutnya kita dapat lebih beradab dalam perkara berunsur khilaf atau yang merupakan khilafiyyah. Beradab dalam perkara khilaf bukanlah dengan memaksa orang lain menerima pendapat yang kita pilih. Apatah lagi menuduhnya dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas.

Saya pilih pendapat ini, anda pilih pendapat lain; apa yang saya dan anda boleh buat ialah berbincang dengan penuh keharmonian. Jika sesuatu masalah itu tidak wajar dibangkitkan dalam masyarakat, mengapa dimarahi orang yang memberi respon dan bukannya orang yang mula-mula mengeluarkan sesuatu isu itu di dada akhbar dalam bentuk yang tidak menyeluruh? Justeru, apabila ada yang memberi pendapat di alam maya, kebebasannya untuk menyatakan pendapat dan pandangan pula yang dipersoalkan atas hujah perkara ini tidak relevan. Mana satukah yang tidak relevan; membuka perbincangan secara tidak menyeluruh atau memberi respon terhadap kelemahan dalam perbincangan itu dengan tujuan pembaikan?

dari blog peribadi DFMO http://fadlan-mohd-othman.blogspot.com/2010/05/beradablah-wahai-saudaraku.html

Ustaz Dr Fadlan Mohd Othman

Soalan

Seseorang itu mengambil wuduk dengan yakin kemudian dia ragu-ragu samada dia telah mengeluarkan angin ataupun tidak. Adakah sunnah dia mengambil wuduk ataupun tidak?

Jawapan

Maksud sunnah itu adalah mustahab iaitu sunat, ianya tiada masalah sama ada kita ragu-ragu ataupun tidak. Jika hendak mengambik wuduk sekali lagi tiada masalah, ianya dibenarkan. Tetapi jika soalannya adakah sunnah bila ragu-ragu, kita mengambil wuduk? Jawapannya tidak.

Khususnya jika berwuduk itu akan menyebabkan was-was, ianya tidak menjadi sunnah tetapi ia akan menjadi makruh. Was-was ini adalah satu perkara yang perlu kita hindari kerana jika kita layan was-was akhirnya banyak perkara di dalam ibadah kita akan terganggu.

Memperbaharui wuduk itu hukumnya adalah sunnah yang sunat.

Teks disediakan berdasarkan rakamana;

http://www.youtube.com/watch?v=-1BOk5Ncleg

Soalan

Siapakah yang lebih menjadi imam, musafir atau bukan musafir.

Dr Fadlan Mohd Othman 

Jawapannya ialah yang lebih layak ialah orang yang musafir. Hal ini pernah di lakukan Rasulullah shallallahu alaihi wa’ala alihi wasallam ketika berada di Makkah (musafir) dan menjadi imam penduduk Mekkah, beliau berkata:

“Sempurnakanlah solatmu (empat rakaat) wahai penduduk Mekkah ! Kerana kami adalah musafir”(riwayat Abu Dawud).

Baginda solat dua-dua (qashar) dan mereka meneruskan sampai empat rakaat setelah beliau salam. (Lihat Al-Majmu’ Syarah Muhadzdzab 4/17)

Itu antara hadis yang digunakan.

Akan tetapi itu tidak bermaksud solat itu tidak sah jika yeng menjadi imam ialah orang yang bermukim. Ia tetap sah. Bahkan sebahagian ulama menyatakan, jika orang yang musafir menjadi imam dan dikhuatiri makmum akan keliru, maka imam musafir itu boleh menyempurnakan ‘mentamamkan’ solatnya.

Walaupun yang lebih utama ialah imam yang musafir meringkaskan solatnya dan selepas tamat salam, imam hendaklah mengatakan kepada makmum, ‘sempurnakan solat kamu kerana saya musafir’ seperti mana dalam hadis.

Tapi jangan pula makmum menjawab, ‘baiklah’!

Dr Fadlan Mohd Othman 

Bersatulah wahai umat Islam demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara!

Seawal malam pertama penglibatan saya dan rakan-rakan sebagai ahli UMNO, kami telah mendapat beberapa soalan yang diajukan oleh rakan media. Mereka bertanya adakah “ulama muda” akan bertelagah dengan ulama dari parti-parti lain. Saya menjawab, “Kami ingin menekankan aspek dakwah dengan ahli-ahli UMNO, dengan parti-parti lain dan juga dengan NGO-NGO.”

Pertentangan antara UMNO dan PAS juga dilihat oleh kami dari sudut yang positif, iaitu sudah wujudnya keinginan daripada sebahagian pucuk pimpinan PAS untuk bersatu dengan UMNO. Saya nyatakan bahawa itulah yang kami citakan; agar umat Islam di Malaysia ini dapat bersatu di atas landasan al-Qur’an dan al-Sunnah! Semoga kami dapat menjadi sebahagian daripada usaha murni ini.

Alhamdulillah, akhbar semalam pula menampilkan kenyataan pucuk pimpinan UMNO bahawa mereka bersedia untuk bersatu dengan PAS. Sebahagian ahli dan tokoh agama juga menyatakan kepentingan perkara ini untuk direalisasikan. Saya rasa ini adalah satu perkembangan yang amat positif. Saya juga amat suka melihat perjalanan alam ciptaan Ilahi ini dari sudut yang positif, walaupun tidak dinafikan kita sebagai insan perlu juga berwaspada. Saya amat bersetuju dengan cadangan yang mengatakan bahawa ulama dan golongan agama wajar memainkan peranan yang proaktif dalam usaha suci ini. Kedua-dua pihak seharusnya mengorak langkah untuk mengadakan perbincangan demi perbincangan yang dapat membina semangat ukhuwwah Islamiyyah yang mendalam.

Pepatah Arab ada mengatakan “al-Bu’du jafa’ ” yang bererti “berjauhan punca kerenggangan”.

Perbincangan yang serius harus dilakukan untuk menyatukan umat Islam di bumi tercinta ini. Pastinya landasan perbincangan ialah al-Qur’an dengan tafsiran yang sahih, al-Sunnah dengan huraian yang absah serta kefahaman para ulama yang muktabar.

”Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (surah al-Maidah, ayat 2)

Untuk bangsa dan agama lain di bumi tercinta ini, janganlah anda rasa tertekan atau terpinggir dengan usaha murni penyatuan umat Islam. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa jika sekiranya umat Islam benar-benar menghayati ajaran agama Islam, penindasan tidak akan berlaku; tidak kepada umat Islam dan tidak juga kepada yang bukan Islam. Sebagai permulaan, bacalah sejarah Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) dan empat khalifah selepasnya. Inilah yang kita citakan; agar umat Islam benar-benar menghayati ajaran agama Islam.

Dr Fadlan Mohd Othman

ALLAH SWT mencipta manusia daripada lelaki dan wanita serta menjadikan mereka sebagai pemimpin di atas muka bumi ini. Kedua-dua gender ini mempunyai tanggungjawabnya yang tersendiri. Melihat kepada fizikal saja kita dapat membezakan antara lelaki dan wanita.

Perkara ini ditetapkan Allah SWT yang bermaksud:

“Dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan.” (surah al-Imran, ayat 36)

Agama Islam mengarahkan setiap satu daripada dua gender ini untuk tugas dan tanggungjawab yang sesuai. Sebagai contoh, kaum lelaki dididik ke arah menjadi pemimpin dan penjaga kepada kaum wanita seperti firman Allah yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” (surah an-Nisa’, ayat 34)

Akan tetapi, kita perlu sentiasa ingat bahawa usaha syaitan tidak akan berhenti. Syaitan amat bersungguh-sungguh merosakkan ciptaan Allah. Usahanya cukup halus dan licik. Perkara ini digambarkan Allah yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya, aku (syaitan) akan menyesatkan mereka dari kebenaran, dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka mencacatkan binatang-binatang ternak, lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.” (surah an-Nisa, ayat 119)

Memfokuskan perbincangan kepada isu jantina, kita dapati Allah SWT memberikan pelbagai garis panduan yang jelas antara lain, isu perkahwinan yang mana perkahwinan seharusnya berlaku antara lelaki dan wanita dan bukannya sesama jantina.

Bahkan perkahwinan sesama jantina sesuatu yang dilaknat Allah. Perkara ini dijelaskan Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.” (surah al-A’raf, ayat 81)

Lihatlah bagaimana Allah menyifatkan orang yang songsang amalan gendernya sebagai melampaui batas. Begitu juga golongan songsang ini disifatkan sebagai kaum jahil seperti dalam ayat 55 Surah al-Naml.

Justeru, untuk membendung perkara songsang ini, terdapat beberapa garis panduan yang diletakkan oleh agama Islam.Antaranya, sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Allah melaknati lelaki yang meniru gaya wanita dan wanita yang meniru gaya lelaki.” (Riwayat Ahmad)

Menurut hadis ini, lelaki dilarang meniru gaya perempuan dan begitu jugalah wanita dilarang meniru gaya lelaki. Perkara ini dilaknat Allah. Perkara inilah yang akan menjamin kesejahteraan manusia. Apabila setiap pihak melaksanakan tanggung jawab yang sesuai dengan jati dirinya, maka terhasillah kesejahteraan sejagat.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud:

“Kamu semua adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pihak yang dipimpinnya. Pemerintah sesuatu masyarakat adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang isteri adalah pemimpin bagi isi rumah suaminya serta anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah pemimpin bagi harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Justeru, kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap pihak yang dipimpin.” (Riwayat Bukhari)

Apapun hakikatnya, sebagai seorang manusia pastinya akan ada kelemahan dan kekurangan. Jika pemerintah, masyarakat dan keluarga tidak dapat membentuk jati diri jantina seseorang individu itu, maka benteng terakhir adalah individu itu sendiri.

Masih belum terlambat bagi setiap seorang yang mempunyai kekeliruan gender untuk kembali ke pangkal jalan. Ini kerana taubat itu terbuka pintunya sehingga ke hembusan nafas yang terakhir sesuai dengan hadis Nabi SAW bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menerima taubat hamba-Nya selagi dia belum nazak.” (Riwayat al-Tirmizi)

Justeru, bagi memastikan kita tetap kekal berada di jalan lurus dan diredhai Allah, kita wajar membaca doa Nabi SAW bermaksud:

“Wahai Tuhan kami, perbaikilah hubungan antara kami, tunjukkanlah kepada kami jalan-jalan kesejahteraan, selamatkan kami daripada kegelapan kepada cahaya, hindarilah kami daripada perkara keji sama ada yang zahir mahupun yang tersembunyi. Berkatilah kami pada pendengaran, penglihatan, hati, pasangan dan zuriat kami. Terimalah taubat kami kerana Engkaulah Yang Maha Penerima taubat dan Maha Mengasihani. Jadikanlah kami mensyukuri nikmat-nikmat-Mu, memuji dan menyebutnya, serta sempurnakanlah nikmat-nikmatMu ke atas kami.”

siaran akhbar Rabu 22 Februari 2012