Tuntutan al-Sunnah dalam Bulan Rejab

Dr Fadlan Mohd Othman

Segala puji bagi Allah Ta’ala yang telah memberikan pelbagai nikmat kepada kita sebagai hamba-hambaNya. Di antara nikmat-nikmat tersebut ialah musim-musim ibadah yang diselang-selikan untuk hamba-hambaNya mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala dari semasa ke semasa. Sebagai manusia, pastinya mempunyai macam-macam kelemahan. Akan tetapi pada masa yang sama, manusia juga mempunyai kecergasan yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Kita telah diarahkan supaya menjaga masa dan menjaga hak-hak khaliq dan makhluk. Hadith Salman wajarlah menjadi pedoman kita dalam perkara ini. Kisah Salman dengan Abu Al-Darda’ adalah seperti berikut:

Maksudnya: Terdapat riwayat daripada Abu Juhfah katanya: Rasulullah SAW telah mempersaudarakan antara Salman dan Abu al-Darda’. 

Pada suatu hari Salman menziarahi Abu al-Darda’ dan dia melihat isteri Abu al-Darda’ tidak terurus. 

Salman bertanya kepadanya, “Kenapa kamu begini?”

Isteri Abu al-Darda’ menjawab, “Saudaramu, Abu al-Darda’ tidak berhajat kepada dunia.” 

Apabila Abu al-Darda’ datang dan membuat hidangan untuk Salman, Salman mengajak beliau makan sekali. Abu al-Darda’ menjawab, “Saya Puasa.” Salman berkata, “Saya tidak akan makan jika kamu tidak makan.” Abu al-Darda’ pun makan bersama. 

Apabila tiba waktu tidur di permulaan malam, Abu al-Darda’ bangun untuk solat malam. Salman menyuruhnya tidur, lalu beliau pun tidur. Tidak lama kemudian Abu al-Darda’ bangun untuk solat malam. Sekali lagi Salman menyuruhnya tidur. Apabila sampai penghujung malam, Salman berkata, “Sekarang bangun.” Mereka pun bangun dan solat malam. 

Kemudian Salman berkata kepada Abu al-Darda’ “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab terhadap Tuhanmu, tanggungjawab terhadap badanmu, tanggungajawab terhadap keluargamu; jadi hendaklah kamu melaksanakan tanggungjawab kamu kepada mereka semua.” 

Abu al-Darda’ kemudiannya pergi bertanya Rasulullah r tentang perkara ini lalu Baginda r berkata, “Benar kata Salman.” (HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Man Aqsama ‘ala Akhihi Liyuftir, No. 1832)

Di samping itu kita juga mestilah mengetahui bahawa amalan yang terbaik di sisi Allah Ta‘ala ialah yang berterusan walaupun sedikit.

وَإِنَّ أَحَبَّ الأَعْمَالِ إِلَى اللهِ مَا دَامَ وَإِنْ قَلَّ.

Maksudnya: Sebaik-baik amalan di sisi Allah Ta’ala ialah yang berterusan walaupun sedikit. (HR al-Bukhari, No. 5523. Juga Muslim, No. 782.)

Semua ini mestilah dilakukan dengan penuh keikhlasan dan menepati garis panduan yang telah diletakkan oleh Rasulullah SAW. Sebagaimana yang kita semua maklum, al-Ikhlas dan menepati al-Sunnah adalah dua syarat penerimaan amalan kita di sisi Allah Ta‘ala selepas wujud keimanan. Perkara pertama adalah amat penting. Sesuatu amalan yang tidak disulami al-Ikhlas akan tinggal amalan yang kering dan tidak bermaya. Penelitian terhadap sirah dan sejarah para ulamak akan banyak membantu individu muslim untuk menerapkan sifat mulia ini di dalam kehidupan hariannya.

Selepas memastikan kewujudan al-Ikhlas, datanglah giliran al-Sunnah untuk diterapkan dalam kehidupan kita. Apabila melihat kepada al-Sunnah pastilah perbincangan di sini menjurus kepada dua perkara iaitu kesahihan hadith dan ikutan terhadapnya. Orang yang mahir dalam disiplin hadith akan digelar ‘Sahibu hadith’ manakala orang yang menitik-beratkan ikutan terhadap hadith akan digelar ‘Sahibu sunnah.’ Apapun gelarannya, kedua-duanya amat diperlukan oleh kita di Malaysia khususnya dan di Nusantara umumnya.

Tuntutan al-Sunnah: Rejab.

Berkenaan dengan bulan Rejab, sebenarnya tidak terdapat dalil-dalil yang menentukan kelebihan bulan ini. Justeru, dapatlah diringkaskan bahawa bulan ini samalah dengan bulan-bulan lain. Untuk mendapat gambaran ringkas tentang tuntutan al-Sunnah di dalam bulan ini perhatikanlah kenyataan-kenyataan berikut:

1. Al-Quran menjelaskan bahawa bulan Rejab adalah salah satu daripada al-Ashhur al-Hurum (bulan-bulan haram). Firman Allah Ta‘ala:

Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (Surah at-Taubah, ayat 36)


Sabda Rasulullah s.a.w.:

الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَةِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ثَلَاثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Maksudnya: Sesungguhnya waktu telah kembali seperti keadaannya pada hari Allah mencipta langit dan bumi. Satu tahun mempunyai 12 bulan. Di kalangannya 4 bulan haram, 3 berterusan; Zul Qi‘dah, Zul Hijjah dan al-Muharram serta Rejab kabilah Mudar di antara Jumada dan Sya‘ban.

(HR al-Bukhari, Kitab al-Maghazi, Bab Hajjah al-Wida’, No. 4054. Juga Muslim, Kitab al-Qasamah Wa al-Muharibin Wa al-Qisas Wa al-Diyat, BabTaghliz Tahrim al-Dima’ Wa al-A‘rad Wa al-Amwal, No. 3179.)


2. Tiada solat khas dalam bulan Rejab:

Imam al-Nawawi telah berkata ‘Para ulamak telah berhujjah dengannya ke atas kebencian solat yang yang bid‘ah ini yang dinamakan al-Raghaib. Semoga Allah memerangi pemalsunya dan penciptanya. Sesungguhnya ia adalah bid‘ah yang munkar yang terdiri daripada bid‘ah-bid‘ah yang sesat dan kejahilan.

Di dalamnnya terdapat kemungkaran yang jelas. Sekumpulan para ulamak telah menulis tulisan-tulisan yang bermutu dalam memburukkannya dan menyesatkan orang yang bersolat dengannya dan menciptanya. Dalil-dalil berkenaan kekejiannya, kebatilannya dan kesesatan pembuatnya amat banyak sehingga tidak terbilang.

Berkenaan dengan solat, di dalam bulan Rejab tidak terdapat solat yang khas untuk bulan ini. Hadith-hadith yang diriwayatkan berkenaan kelebihan solat al-Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab adalah penopuan dan batil serta tidak sah. Solat ini adalah bid‘ah di sisi kebanyakan ulamak… Kali pertama solat ini muncul ialah selepas tahun 400. Oleh sebab itulah ianya tidak diketahui oleh ulamak terdahulu dan mereka tidak membincangkannya.

(Sila lihat al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, Jil. 8 Hlm. 20.)

3. Berpuasa di bulan Rejab tidak mempunyai keistimewaan tertentu:

“Semua hadith yang menyatakan puasa bulan Rejab dan solat sebahagian malam-malamnya adalah penipuan yang direka.”

“Tidak terdapat hadith sahih yang boleh dijadikan hujah berkenaan kelebihan bulan Rejab, puasa bulan ini, puasa hari-hari tertentu bulan ini mahupun bangun malam tertentu pada bulan ini.”

(lihat: Ibnu al-Qayyim, al-Manar al-Munif, Hlm. 96.)

4. Membuat umrah di bulan Rejab tidak mempunyai keistimewaan tertentu:

Setakat ini, penulis masih belum berjumpa dengan hadith sahih yang menerangkan kelebihan umrah di bulan Rejab. Ya, terdapat beberapa riwayat golongan Syi‘ah yang mengatakan umrah bulan Rejab adalah umrah yang terbaik. Akan tetapi Ahl al-Sunnah tidak menerima periwayatan mereka di samping riwayat tersebut tidak bersambung kepada Rasulullah s.a.w.

5. Malam al-Isra’ wal-Mi‘raj tidak sah pada malam ke 27 bulan Rejab:

Imam Ibnu Kathir telah berkata ; Abdul Ghani al-Maqdisi telah meriwayatkan sebuah hadith yang tidak sah sanadnya dan kami telah jelaskan dalam ‘Fadail Shahr Rajab’ bahawa peristiwa al-Isra’ telah berlaku pada malan ke-27 bulan Rejab, Allah jua yang lebih mengetahui. Ada juga di antara manusia yang menyangka bahawa peristiwa al-Isra’ telah berlaku pada Jumaat pertama dalam bulan Rejab, iaitulah malam al-Raghaib yang dicipta padanya solat yang masyhur, sedangkan tiada asal bagi perkara ini, Allah jua yang lebih mengetahui.

(Sila lihat Ibnu Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jil. 3 Hlm. 136-137)

Kesimpulannya, amalan-amalan di bulan Rejab adalah sama seperti amalan-amalan di bulan-bulan lain. Perkara yang membezakannya ialah bulan ini tergolong dalam bulan-bulan haram yang mana kezaliman dan peperangan tiada sebab amat dimurkai oleh Allah Ta’ala berbanding dengan bulan-bulan lain.

penulis merupakan Pengerusi iLMU.

Sumber ; http://fadlan-mohd-othman.blogspot.com/2010/06/tuntutan-al-sunnah-dalam-bulan-rejab.html

1 comment

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: