Kesederhanaan, Keseimbangan Hindar Kemungkaran

Dr Fadlan Mohd Othman

Sifat wasatiyyah kunci umat Islam berpegang kepada kebaikan dibawa Rasulullah

SEDAR atau tidak, kita sudah pun berada semakin jauh daripada zaman Rasulullah SAW. Seribu empat ratus tiga puluh tiga tahun sudah berlalu sejak peristiwa Hijrah Rasulullah SAW kekotasuci Madinah. Dalam tempoh ini, umat Islam sudah mengecapi pelbagai kegemilangan, merasai pelbagai kesakitan dan tidak kurang juga menyaksikan begitu banyak penyelewengan.

Fenomena ini menghasilkan tiga aliran utama, iaitu satu aliran asal dan dua aliran baru, hasil daripada tindak balas. Aliran asal itu ialah aliran Wasat iaitu yang menepati kebaikan dan keadilan, manakala dua aliran baru itu pula ialah Ifrat iaitu berlebihan dan aliran Tafrit iaitu pengabaian.

Al-Imam Ibnu al-Qayyim berkata dalam kitabnya:

“Sebahagian ulama salaf berkata: “Apa yang diperintahkan oleh Allah, pasti syaitan akan mengganggu dengan dua tarikan; sama ada ke arah pengabaian ataupun ke arah berlebihan. Syaitan menganggap mana-mana daripada dua perkara ini sebagai kejayaan, iaitu pertambahan atau pengurangan.” (lihat : Madarij al-Salikin, oleh Ibnu Qayyim,  2/ 108)

Kesucian dakwah Rasulullah SAW ialah berlandaskan Basirah iaitu hujah yang nyata. Hakikat ini digambarkan oleh Allah dalam pelbagai ayat di dalam al-Quran. Antara lain ialah firman Allah dalam Surah Yusuf 12:108) yang bermaksud:

“Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata. Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang yang musyrik.”

Pada saat manusia berada dalam kesempitan minda dan kehilangan fakta sehingga menyembah sesama makhluk, Rasulullah SAW menyelamatkan mereka dengan membawa mereka kepada kebaikan dan keadilan iaitu menyembah Tuhan segala makhluk. Ketika manusia memandang rendah kepada wanita dan memperhambakan mereka, Baginda menyelamatkan mereka dengan membawa mereka kepada kebaikan dan keadilan iaitu memberi hak yang tinggi kepada wanita yang menjamin kelangsungan umat manusia. Wahyu daripada Allah telah menjadikan dakwah Rasulullah SAW gemilang.

Kebaikan dan keadilan inilah yang dinyatakan oleh Allah, antara lain dalam ayat berikut (Al-Baqarah 2:143) yang bermaksud:

“Dan demikianlah (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil lagi pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.

Begitulah umat Islam ini disifatkan dengan sifat wasatiyyah yang membawa maksud al-Khairiyyah iaitu kebaikan dan al-‘adalah iaitu keadilan serta al-tawassut bayn al-Ifrat wa al-Tafrit iaitu pertengahan antara melampau dalam berlebihan dan melampau dalam berkurangan seperti yang dirumuskan oleh Dr Muhammad Ba Karim dalam kitabnya Wasatiyyah Ahlis Sunnah. Inilah juga yang ditekankan oleh al-Imam Ibn al-Qayyim dalam kitabnya seperti yang dinukilkan Perdana Menteri beberapa minggu lalu bahawa

“wasatiyyah iaitu kesederhanaan atau keseimbangan bermakna tidak terlalu berlembut dan tidak terlalu ekstrem adalah seperti sebuah oasis di antara dua gunung.” (Madarij al-Salikin, Ibni Qayyim, 2/496)

Umat Islam yang bersifat wasatiyyah ialah umat yang berpegang kuat kepada kebaikan yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Perkara ini juga dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya (Ali Imran 3:110) yang bermaksud:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”

Ayat ini menunjukkan bahawa kebaikan yang ada pada umat yang sederhana ini ialah apabila adanya perintah kepada kebaikan dan larangan daripada kemungkaran. Ini adalah satu amanah iaitu mengajak kepada makruf iaitu perkara baik yang diketahui oleh Rasulullah SAW dan sahabat. Seterusnya menghindari daripada mungkar iaitu perkara buruk yang bukan menjadi kebiasaan Baginda SAW dan sahabat dalam urusan agama.

Wasatiyyah memerlukan keikhlasan. Wasatiyyah juga menuntut agar umat Islam menepati kebenaran yang dijunjung oleh Rasulullah SAW dan sahabat. Rasulullah SAW telah menyatakan perkara ini dengan sabdanya yang bermaksud:

“Kumpulan yang unggul ialah yang menepati peganganku dan pegangan sahabatku” (Hadis riwayat al-Tirmizi (no. 2641) dan dihukum Hasan oleh al-Albani).

Kebenaran yang dijunjung dan diamalkan ini mestilah disampaikan walaupun pahit, sesuai dengan perintah Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Ucaplah yang benar walaupun pahit” (Hadis riwayat al-Baihaqi dalam al-Targhib wa al-Tarhib (no. 2233) dan dihukum Sahih Li Ghairih oleh al-Albani).

Justeru, Wasatiyyah bukanlah menyesuaikan Islam dengan suasana, sebaliknya menyesuaikan suasana dengan Islam.

Sifat wasatiyyah inilah yang menjadikan umat Nabi Muhammad SAW dipanggil menjadi saksi terhadap sengketa antara Rasul dan umat mereka di hadapan Allah kelak. Di dalam sebuah hadis, apabila umat Islam ditanya:

“Apa hujah kamu bagi kenyataan itu?”

Mereka menjawab: “Nabi kami datang kepada kami dan memberitahu bahawa semua rasul telah menyampaikan wahyu, lalu kami membenarkannya.”

Maka itulah firman Allah yang bermaksud:

“Dan demikianlah (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil lagi pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”

(Hadis direkod oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir dan dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘ al-Saghir (no 8033).

siaran akhbar 5 Februari 2012

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: