Etika dalam khilaf

Etika dalam khilaf

Manusia sering sahaja berselisih pendapat, atau khilaf. Dalam menangani perihal khilaf ini, pelbagai ragam akan terserlah. Orang yang nampak tenang, mungkin sahaja akan bertukar wajah menjadi kebengisan. Apatah lagi jika khilaf yang berlaku antaranya dengan insan lain dianggap hanya dia sahaja yang betul. Di sinilah Nabi s.a.w. pernah memberitahu bahawa orang yang tegas adalah orang yang dapat mengawal dirinya semasa marah.

“Rasulullah SAW bersabda, “Menurut kalian, siapa yang kalian anggap paling kuat?”

Para sahabat menjawab, “Iaitu orang yang tidak kalah dalam suatu pergaduhan.”

Baginda bersabda, “Bukan itu, orang yang kuat adalah orang yang mampu menahan dirinya saat ia marah.”(riwayat Abu Daud, Kitab Adab, Bab Menahan Marah. Disahihkan oleh Shaikh al-Albani)

Di sini saya ingin menukil perihal etika atau adab khilaf yang berkaitan dengan pendapat yang diyakini oleh seseorang muslim dari buku ‘Khilaf Dalam Islam: Sebab dan Adab’ yang ditulis bersama oleh saya dan dua rakan seperjuangan. Semoga kita mendapat inspirasi daripada catatan ini:

6. (Adab) berkenaan pendapat yang dipilih:
6.1. Pendapat sendiri adalah kuat tetapi berkemungkinan lemah. 

Firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:111):

Maksudnya: Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Semestinya, di dalam beramal dengan ajaran Islam, kita memilih pendapat yang terkuat selepas melalui proses pengajian, pertanyaan dan kajian. Di dalam perkara-perkara yang mempunyai berbagai-bagai pendapat, pendapat kita samada sesuai dengan majoriti ataupun dengan minoriti sahaja.

Apapun keadaannya, kita pasti akan menguatkan pendapat yang kita ambil. Di sini pendirian yang tepat ialah walaupun itu pilihan kita, masih ada kemungkinan pilihan orang lain lebih kuat. Mewujudkan kemungkinan ini akan menjadikan kita lebih terbuka dan senang untuk berbincang bagi mendapatkan keterangan yang lebih tepat dan mantap.

6.2. Menghormati atau memberi ruang kepada pendapat orang lain. 

Daripada Anas Bin Malik, beliau berkata: “Aku bermusafir bersama Rasulullah SAW dalam bulan Ramadan. Orang yang berpuasa tidak mempertikaikan yang berbuka, dan yang berbuka pula tidak mempertikaikan yang berpuasa” (riwayat Imam al-Bukhari dan Imam  Muslim).

Satu perkara yang lain ialah kemestian menghormati pendapat orang lain. Adab ini akan menghasilkan keharmonian dalam masyarakat yang sudah jelas mempunyai pelbagai pendapat dan pegangan. Menghormati pendapat orang lain yang kita anggap salah bukan ertinya kita lemah di hadapannya, sebaliknya kita mementingkan perpaduan yang amat memerlukan kelembutan daripada pihak kedua.

Kekerasan tidak boleh ditangani dengan kekerasan sepertimana kelembutan tidak boleh dihadapi dengan kelembutan. Sekiranya sesuatu pendapat itu dianggap salah, jelaskanlah kesalahannya secara tersusun dengan tangan atau lisan. Jika tiada kemampuan, pindah kepada peringkat minimum iaitu dengan hati. (selesai nukilan)

Seterusnya, ingin saya nyatakan bahawa memilih salah satu daripada beberapa pendapat Ahli Sunnah wa al-Jama’ah tidaklah wajar dihukum sesat, diminta bertaubat, dicaci, dicerca atau dituduh menyakiti Rasulullah s.a.w. Sepatutnya kita dapat lebih beradab dalam perkara berunsur khilaf atau yang merupakan khilafiyyah. Beradab dalam perkara khilaf bukanlah dengan memaksa orang lain menerima pendapat yang kita pilih. Apatah lagi menuduhnya dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas.

Saya pilih pendapat ini, anda pilih pendapat lain; apa yang saya dan anda boleh buat ialah berbincang dengan penuh keharmonian. Jika sesuatu masalah itu tidak wajar dibangkitkan dalam masyarakat, mengapa dimarahi orang yang memberi respon dan bukannya orang yang mula-mula mengeluarkan sesuatu isu itu di dada akhbar dalam bentuk yang tidak menyeluruh? Justeru, apabila ada yang memberi pendapat di alam maya, kebebasannya untuk menyatakan pendapat dan pandangan pula yang dipersoalkan atas hujah perkara ini tidak relevan. Mana satukah yang tidak relevan; membuka perbincangan secara tidak menyeluruh atau memberi respon terhadap kelemahan dalam perbincangan itu dengan tujuan pembaikan?

dari blog peribadi DFMO http://fadlan-mohd-othman.blogspot.com/2010/05/beradablah-wahai-saudaraku.html

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: