Bersama Ustaz Dr. Fadlan Mohd Othman
Monthly Archives: Julai 2012
SOAL JAWAB AGAMA: KELIRU DENGAN MAKSIAT
Bersama Ustaz Dr. Fadlan Mohd Othman
SAYA keliru mengenai maksiat. Setahu saya, maksiat bermaksud duduk berdua-duaan di tempat gelap dan melakukan hubungan seks di suatu tempat. Kawan saya menghadiri kelas motivasi agama. Ustaznya berkata, maksiat boleh berlaku di mana sahaja. Contohnya, mengunjungi festival seperti Jom Heboh kerana ia membuang masa dan melihat hiburan artis.
Benarkah kalau sembahyang jamak seperti zuhur dan asar juga maksiat sebab mahu menghadiri majlis persandingan pengantin. Jadi apakah maksud maksiat dalam Islam serta adakah terdapat beberapa pecahan maksiat?
* NorZahira Zainol
JAWAPAN: Allah mengarahkan kita melakukan kebaikan atau ketaatan dan menghindari keburukan atau maksiat. Menurut kaca mata Islam, kebaikan adalah apa sahaja yang diredai Allah manakala keburukan pula apa sahaja yang dimurkai-Nya. Apa yang lebih penting dalam melakukan kebaikan dan menghindari keburukan adalah perasaan kita. Orang yang melakukan kebaikan kerana telah menjadi rutin tidak sama dengan orang yang melakukannya dengan penuh pengagungan terhadap Allah. Begitu juga orang yang menghindari maksiat kerana kebiasaan tidak sama dengan orang yang meninggalkannya kerana takutkan Allah. Inilah yang dimaksudkan dengan Taqwa. Perhatikan perkara ini di dalam firman Allah dalam Surah al-Haj ayat 37 yang bermaksud:
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya.”
Kembali kepada soalan, memang maksiat mempunyai pelbagai kategori dalam Islam. Pertama, maksiat yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam, seperti syirik dan kufur. Antara contohnya, sujud kepada patung, mencaci Allah dan Rasulullah SAW serta menghalalkan perkara haram dan mengharamkan perkara halal. Kedua, maksiat yang tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam tetapi membawa dosa besar. Contohnya berzina, mengumpat dan mengadu domba. Ketiga, maksiat yang tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam tetapi membawa dosa. Contohnya meminang wanita yang sudah dipinang oleh orang lain, melihat dan mendengar perkara yang diharamkan.
Memang benar maksiat boleh terjadi di mana sahaja. Bahkan maksiat boleh berlaku daripada orang yang nampaknya seperti berbuat kebaikan. Di dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi (no. 2382), Rasulullah menjelaskan tiga jenis manusia yang dihumban ke neraka sebelum orang lain.
Pertama, orang yang membaca al-Quran untuk digelar qari. Kedua, orang yang sering menderma untuk digelar pemurah dan dermawan. Manakala ketiga, orang yang mati di medan perang semata-mata untuk digelar berani.
Perhatikan bagaimana hadis ini mengajar kita agar sentiasa meneliti dua perkara iaitu kesahihan amalan di samping keikhlasan niat. Kedua-dua perkara ini perlu wujud seiringan dan tidak boleh diasingkan sama sekali.
Setelah memahami kaedah berkaitan ketaatan dan maksiat, dapatlah kita fahami bahawa apa sahaja festival yang membuang masa dan mengandungi hiburan yang tidak menepati norma Islam termasuk dalam maksiat. Lebih khusus lagi, ia tergolong dalam dosa kecil. Ini tidak bermaksud individu muslim itu tidak boleh berhibur. Boleh, asal tidak berbaur maksiat.
Adapun solat jamak kerana mahu menghadiri majlis persandingan pengantin, perkara ini perlu diperincikan. Pertama, persandingan memang tiada dalam Islam. Bahkan ada perbincangan mengatakan bersanding itu asalnya daripada agama Hindu. Ditambah dengan unsur maksiat lain seperti make up berlebihan di khalayak ramai dan percampuran lelaki dan perempuan. Justeru, dinasihatkan agar perbuatan bersanding ditinggalkan. Yakinlah bahawa jika perkahwinan tiada persandingan, ia tidak cacat sedikit pun insya -Allah. Besar kemungkinan ia lebih diredai Allah.
Sudut kedua pula berkenaan hukum menjamak solat. Berdasarkan sebuah hadis sahih riwayat al-Imam Muslim (no. 705), Rasulullah telah menjamakkan solat zuhur dan asar, solat maghrib dan isyak di Madinah bukan dalam keadaan ketakutan atau hujan. Apabila Ibnu Abbas ditanya mengapa Rasulullah berbuat demikian, beliau menjawab “Baginda ingin memberi kemudahan kepada umatnya.”
Berdasarkan hadis ini, al-Imam al-Nawawi rahimahullah menjelaskan dibenarkan jamak solat jika ada keperluan. Jika kita lihat kepada kehidupan sekarang, keperluan mencakupi pelbagai perkara. Antaranya mesyuarat, majlis perkahwinan, pembentangan dan seumpamanya.
Siaran akhbar Ahad, 08 Julai 2012
Sunnah Ramadhan; adab berbuka dan banyak berdoa
Memperbanyakkan doa di setiap masa semasa puasa:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْصَائمِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ
Maksudnya: Tiga doa yang mustajab tanpa syak. Doa orang berpuasa, doa orang dizalimi dan doa orang mengembara.
(HR al-‘Uqaili, al-Baihaqi dan Ibnu ‘Asakir, dihukum sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 1797.)
Apabila tenggelamnya matahari, berbukalah dengan segera:
لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ
Maksudnya: Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana mereka segera berbuka puasa.
(HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Ta‘jil al-Iftar, No. 1821. Juga Muslim, No. Kitab al-Siyam (Puasa), Bab Fadl al-Sahur WaTa’kid Istihbabih Wa Istihbab Ta’khirih Wa Ta‘jil al-Fitr (Kelebihan bersahur dan penekanan sunatnya serta sunatnya dilewatkan sahur dan dicepatkan berbuka), No. 1838.)
إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا وَغَرَبَتْ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ.
Maksudnya: Sekiranya malam datang dari sini, siang pergi dari sini dan terbenamnya matahari maka berbukalah orang berpuasa.
(HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Mata Yahill Fitr al-Saim, No. 1818. Juga Muslim, Kitab al-Siyam, Bab Bayan Waqt Inqida’ al-Saum Wa Khuruj al-Nahar, No. 1841.)
Semasa berbuka, mulakan dengan rutob (kalau tiada) tamar (kalau tiada) dengan air:
…أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ عَلَى رُطَبَاتٍ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَعَلَى تَمَرَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ
Maksudnya: Anas berkata ‘Kebiasaannya dahulu Rasulullah s.a.w. berbuka dengan kurma muda sebelum solat. Jika tiada kurma muda maka dengan kurma tua. Jika tiada maka dengan beberapa teguk air.
(HR Abu Daud, Kitab al-Saum, Bab Ma Yuftir ‘Alaih, No. 2009. Dihukum sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud, No. 2040.)
Selepas berbuka bacakan:
…حَدَّثَنَا مَرْوَانُ يَعْنِي ابْنَ سَالِمٍ الْمُقَفَّعَ قَالَ رَأَيْتُ ابْنَ عُمَرَ يَقْبِضُ عَلَى لِحْيَتِهِ فَيَقْطَعُ مَا زَادَ عَلَى الْكَفِّ وَقَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَفْطَرَ قَالَ ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Maksudnya: Marwan bin Salim telah berkata ‘Aku telah melihat Ibnu Umar menggenggamjanggutnya dan memotong apa yang melebihi tapak tangan. Beliau berkata ‘Kebiasaannya dahulu Rasulullah s.a.w. apabila berbuka Baginda akan berkata “Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat. Dan telah tetap pahala dengan izin Allah.”
(HR Abu Daud, Kitab al-Saum, Bab al-Qaul ‘Ind al-Iftar, No. 2010. Dihukum Hasan oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘, No. 4678.)
Sunnah Ramadhan; pintu kebaikan dibuka, pintu kejahatan ditutup
Di bulan ini, Allah Ta‘ala membuka peluang seluas-luasnya untuk hamba-hambaNya menghentikan amalan-amalan buruk dan keji:
إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ
Maksudnya: Apabila masuknya malam pertama daripada bulan Ramadhan para syaitan dan pengganas jin akan dirantai, pintu-pintu neraka akan ditutup, tiada satu pun akan dibuka, pintu-pintu syurga dibuka, tiada satu pun akan ditutup. Akan ada seseorang yang akan melaungkan, ‘Wahai orang yang inginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang inginkan kekejian, berhentilah. Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan daripada neraka pada setiap malam.
(HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Fadl Shahr Ramadhan, No. 618. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmizi, No. 682)
Q&A; Hukum mengecat muka pada majlis hari jadi
Sunnah Ramadhan; meninggalkan perkataan dan amalan keji
Dr. Fadlan Mohd Othman
6- Tegahlah diri daripada makan, minum dan lebih penting lagi kata-kata keji dan amalan-amalan keji:
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
Maksudnya: Siapa yang tidak meninggalkan kata-kata keji dan amalam keji, Allah tidak mempunyai hajat dalam usahanya meninggalkan makann dan minumannya.
(HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Man Lam Yada‘ Qaul al-Zur Wa al-‘Amal Bih Fi al-Saum, No.1770.)
– Orang yang terlupa lalu makan dan minum semasa dia menjalankan ibadah puasa, perbuatannya ini tidak membatalkan puasanya. Akan tetapi sekiranya dia teringat semasa sedang makan atau minum, hendaklah dia segera berhenti. Orang yang melihatnya makan dan minum juga hendaklah menegurnya kerana memberi nasihat dalam agama adalah wajib. Sabda Rasulullah s.a.w.:
مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ
Maksudnya: Sesiapa yang terlupa semasa dia berpuasa lalu dia makan atau minum, hendaklah dia sempurna (atau teruskan) puasanya kerana sesungguhnya Allah telah memberinya makan dan minum.
(HR Muslim, Kitab al-Siyam, Bab Akl al-Nasi Wa Shurbih Wa Jima‘ih La Yufattir, No. 1952. Juga al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab al-Saim Iza Akal Aw Syarib Nasiyan, No. 1797)
– Terdapat beberapa orang yang dikecualikan daripada berpuasa. Mereka dapat dibahagikan kepada dua bahagian seperti berikut:
a- Dikecualikan daripada berpuasa tetapi mestilah menggantinya apabila tiada halangan.
· Orang sakit yang boleh sembuh,
· Pengembara.
Firman Allah Ta‘ala: Maksudnya: Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain. (al-Baqarah 2:184)
b- Dikecualikan daripada berpuasa dan tidak perlu menggantinya apabila tiada halangan, akan tetapi perlu membayar fidyah dengan memberi makan seorang miskin untuk setiap hari yang ditinggalkan.
· Lelaki tua yang tidak mampu berpuasa,
· Wanita tua yang tidak mampu berpuasa.
· Orang sakit yang tidak boleh sembuh
· Wanita yang hamil
· Wanita yang menyusukan anak
Firman Allah Ta‘ala: Maksudnya: Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (al-Baqarah 2:184)
Terdapat riwayat daripada Ibnu Abbas yang menerangkan pendapat ini seperti berikut:
Riwayat pertama:
عَنْ عَطَاءٍ سَمِعَ ابْنَ عَبَّاسٍ يَقْرَأُ وَعَلَى الَّذِينَ يُطَوَّقُونَهُ فَلَا يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ لَيْسَتْ بِمَنْسُوخَةٍ هُوَ الشَّيْخُ الْكَبِيرُ وَالْمَرْأَةُ الْكَبِيرَةُ لَا يَسْتَطِيعَانِ أَنْ يَصُومَا فَيُطْعِمَانِ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا
Maksudnya: Daripada ‘Ata’ bahawa dia mendengar Ibnu ‘Abbas membaca { Dan wajib atas orang-orang yang diberatkan puasa (kerana tua dan sebagainya)} maka mereka tidak mampu berpuasa, {membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin}. Ibnu ‘Abbas berkata ‘Ayat ini tidak mansukh. Mereka ialah orang tua lelaki dan wanita yang tidak mampu berpuasa maka mereka memberi makan bagi setiap hari seorang miskin.’
(HR al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Quran, Bab Qaulih Ta‘ala ‘Ayyaman Ma‘dudat…’, No. 4145.)
Riwayat kedua:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ قَالَ كَانَتْ رُخْصَةً لِلشَّيْخِ الْكَبِيرِ وَالْمَرْأَةِ الْكَبِيرَةِ وَهُمَا يُطِيقَانِ الصِّيَامَ أَنْ يُفْطِرَا وَيُطْعِمَا مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا وَالْحُبْلَى وَالْمُرْضِعُ إِذَا خَافَتَا قَالَ أَبُو دَاوُد يَعْنِي عَلَى أَوْلَادِهِمَا أَفْطَرَتَا وَأَطْعَمَتَا
Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas {Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin} katanya ‘Dahulu ini adalah kelonggaran bagi orang tua lelaki dan wanita yang mana kedua-duanya berdaya berpuasa untuk memberi makan setiap hari seorang miskin, juga wanita hamil dan menyusu jika kedua-duanya takut. Berkata Abu Daud iaitu takut atas anak mereka, mereka buka dan memberi makan.
(HR Abu Daud, Kitab al-Saum, Bab Man Qal Hiya Muthbatah Li al-Syaikh Wa al-Hubla, No. 1974)
Sunnah Ramadhan; Keberkatan sahur
4- Usahakan untuk bersahur seketika sebelum masuknya waktu fajar:
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
Maksudnya: Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada keberkatan.
(HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Barakah al-Sahur Min Ghair Ijab, No. 1789. Juga Muslim, Kitab al-Siyam (Puasa), Bab Fadl al-Sahur WaTa’kid Istihbabih Wa Istihbab Ta’khirih Wa Ta‘jil al-Fitr (Kelebihan bersahur dan penekanan sunatnya serta sunatnya dilewatkan sahur dan dicepatkan berbuka), No.1835.)
– Bersahur adalah satu amalan yang amat-amat digalakkan walaupun dengan seteguk air:
السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلَا تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ
Maksudnya: Sahur ialah santapan berkat, janganlah kamu semua tinggalkannya walaupun dengan meneguk seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat ke atas orang yang bersahur.
(HR Ahmad, Baqi Musnad al-Mukthirin, Musnad Abi Sa‘id al-Khudri, No. 10664. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘, No. 3683.)
– Sekiranya masuk waktu fajar, tidak dibenarkan makan dan minum. Firman Allah Ta‘ala ;
Maksudnya: Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. (al-Baqarah 2:187)
– Akan tetapi terdapat kelonggaran untuk makan dan minum walaupun azan berkumandang bagi mereka yang memegang minuman atau makanan:
إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمْ النِّدَاءَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ فَلَا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ
Maksudnya: Sekiranya seorang daripada kamu mendengar azan sedang bekas air di tangannya, janganlah dia letakkan sehingga dia selesai minum apa yang perlu.
(HR Abu Daud, Kitab al-Saum, Bab Fi al-Rajul Yasma‘ al-Nida’ Wa al-Ina’ Fi Yadih, No. 2003. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 1394.)
– Sahur sewajarnya dilewatkan sehingga ke penghujung waktu iaitu seketika sebelum masuknya waktu fajar:
ثلاث من أخلاق النبوة: تعجيل الإفطار وتأخير السحور ووضع اليمين على الشمال في الصلاة
Maksudnya: Tiga perkara merupakan akhlak kenabian; mencepatkan buka puasa, melewatkan sahur dan meletak tangan kanan atas tangan kiri dalam solat.
(HR al-Tabarani, dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘, No. 3038.)
– Imsak dikira oleh para ulamak sebagai satu amalan yang tidak berpaksikan dalil yang sahih. Ibnu Hajar telah berkata:
“Di antara bid‘ah-bid‘ah yang munkar ialah apa yang berlaku di zaman ini iaitu melaungkan azan kedua sebelum waktu subuh dengan anggaran satu pertiga jam pada bulan Ramadhan, di samping memadamkan pelita-pelita yang dijadikan tanda pengharaman makan dan minum bagi mereka yang ingin berpuasa. Perbuatan ini dianggap satu usaha berjaga-jaga dalam ibadat. Perkara ini tidak diketahui kecuali oleh segelintir manusia. Perbuatan ini juga telah menarik mereka untuk tidak melaungkan azan kecuali selepas terbenamnya matahari seketika untuk memastikan waktu –pada sangkaan mereka-. Dengan ini mereka telah melewatkan berbuka dan mencepatkan bersahur dan mereka telah menyalahi al-Sunnah. Disebabkan inilah kebaikan menjadi sedikit di kalangan mereka dan keburukan menjadi banyak di antara mereka. Allah jualah yang dipohon pertolongan.”
(Sila lihat al-‘Asqalani, Ali bin Hajar, Fath al-Bari, jil. 4, hlm. 199.)
Jika Kekurangan Menjadi Sandaran Maka Pas Juga Adalah Musuh Allah – Dr. Fadlan
KUALA LUMPUR 19 Julai – Kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz yang mengatakan bahawa Allah mengarahkan Pas untuk menawan Putrajaya daripada musuh-musuh Allah, merupakan satu tuduhan yang amat berat serta tidak berasas sama sekali, kata pensyarah Kanan Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Ustaz Dr. Fadlan Othman.
Beliau turut mempersoalkan atas dasar apa Timbalan Ketua Pemuda Pas mengeluarkan kenyatan tersebut bahawa kerajaan hari ini yang ditunjangi oleh UMNO sebagai musuh Allah.
Kenyataan itu menurutnya merupakan satu tuduhan yang amat berat terhadap UMNO sebagai sebuah parti umat Islam yang kini diberi tanggungjawab memerintah negara.
Ujarnya, sepanjang pemerintahan UMNO, beliau tidak menafikan dasar memelihara dan menegakkan syiar Islam oleh pemerintah hari ini terserlah apabila syiar-syiar Islam terus ditegakkan dari pelbagai sudut seperti pembinaan masjid, mewujudkan institusi keagamaan, menyemarakkan program-program agama, kebebasan berdakwah dan sebagainya.
“Bagaimanapun, sebagai sebuah gerakan atau parti yang diterajui oleh makhluk yang bergelar manusia, sudah pastilah ada cacat cela dan kepincangan di sana sini.
“Jika Nik Abduh mengatakan bahawa pemerintah hari ini adalah musuh Allah atas dasar kekurangan yang ada UMNO, maka saya berani kata bahawa Pas juga adalah musuh Allah, kerana mereka juga ada kelemahan dan kekurangan sama seperti UMNO dan manusia lain. Tapi lainlah kalau mereka dakwa semua ahli dan kepimpinan Pas itu maksum belaka,” tegas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.
Beliau turut menyifatkan kenyataan yang keluar dari mulut Nik Abduh itu sebagai satu lagi kesinambungan dari kenyataan-kenyataan kepimpinan Pas yang cuba mengelirukan ummah.
Tambahnya, Pas sememangnya sudah lama menjadi agen mewujudkan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini dengan pelbagai kenyataan dan fatwa-fatwa yang menyalahi dalil Al Quran dan Sunnah, demi untuk kepentingan dan survival cita-cita politik mereka.
“Sebelum ini, Pas juga pernah mendakwa bahawa solat itu juga adalah sebahagian dari demostrasi, bagi menghalalkan tindakan mereka berdemonstrasi. Mereka suka menggunakan dalil Quran dan Sunnah, namun pada tempat yang salah. Sekarang ini, dia kata bahawa Allah memerintah Pas untuk menawan Putrajaya dari musuh-musuh Allah.
“Kenyatan seperti ini tidak betul sama sekali. Kata-kata seperti ini tidak patut keluar dari mulut seorang yang dianggap berilmu. Kenyataan sebegini adalah kesinambungan agenda Pas yang menggunakan agama untuk mengelirukan rakyat awam, khsususnya umat Islam di negara ini,” tegas beliau .
Beliau juga berpendapat bahawa Nik Abduh dipengaruhi oleh emosi yang berlebihan ketika mengeluarkan kenyataan tersebut di hadapan pengikut-pengikut Pas, ketika perhimpunan yang diadakan di Stadium Darul Aman pada awal Jun baru-baru ini.
“Maklumlah, berceramah di hadapan ribuan orang ramai, pastinya Nik Abduh bersemangat untuk meyakinkan para pengikut bahawa perjuangan Pas ini adalah tepat sehingga mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya seperti itu,” ujarnya.
Kata beliau lagi, bahawa selaku pemimpin yang mempunyai jawatan tinggi di dalam Pas, Nik Abduh tidak sepatutnya bercakap mengikut emosi yang berlebihan sehingga mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.
siaran portal 19 Julai.
Sunnah Ramadhan; Niat berpuasa
3- Pastikan berniat untuk melaksanakan puasa Ramadhan pada waktu malam:
مَنْ لَمْ يُبَيِّتْ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ
Maksudnya: Siapa yang tidak meniatkan puasa pada waktu malam sebelum fajar, maka tiada puasa baginya.
(HR al-Nasa’i, Kitab al-Siyam (Puasa), Bab Zikr Ikhtilaf al-Naqilin Li Khabar Hafsah Fi Zalik (al-Niyyah Fi al-Siyam) (Penerangan tentang perbezaan para periwayat hadith Hafsah berkenaan perkara ini (niat dalam puasa)), No. 2292. Dihukum sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Nasa’i No. 2330.)
– Niat tempatnya dalam hati iaitu dengan berdetiknya dalam hati bahawa seseorang itu ingin melakukan sesuatu amalan. Al-Imam al-Nawawi telah berkata:
“Dan niat itu ialah tujuan (al-Qasd). Justeru orang yang sembahyang menghadirkan dalam fikirannya zat solat dan apa-apa yang wajib daripada sifat-sifat solat seperti zuhur, fardhu dan sebagainya. Kemudian dia menuju kenyataan-kenyataan ini dengan tujuan yang seiringan dengan takbir yang pertama. Tidak disyaratkan mengiringkan niat selepas takbir. Akan tetapi disyaratkan tidak mendatangkan perkara yang membatalkannya. Jika dia berniat di pertengahan solat untuk keluar darinya, batal solatnya.”
(lihat al-Nawawi, Yahya bin Syaraf, Raudah al-Talibin, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1421H-2000, hlm. 332.)
– Al-Imam al-Suyuti juga telah berkata:
“Daripada bid‘ah (yang sayyiah) itu adalah was-was dalam niat solat. Itu bukan daripada perbuatan Nabi s.a.w. dan para sahabat Baginda. Mereka tidak pernah melafazkan sedikit pun niat solat melainkan (terus) takbir. ”
(lihat : al-Suyuti, al-Amr bi al-Ittiba‘ Wa al-Nahy ‘an al-Ibtida‘, hlm. 100.)
Forum MALAPEPETAKA PERPECAHAN UMMAH
Forum MALAPEPETAKA PERPECAHAN UMMAH
Panelist:
1. YBhg Datuk Che Mat Che Ali (Pengarah JAWI)
2. Dr Fadlan Mohd Othman, (Chairman iLMU)
Tarikh: sABTU, 21 Julai 2012
Waktu: 7:30 mlm
Lokasi: Masjid Al-Najihin, Bandar Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur
*Juadah berbuka puasa dan makan malam disediakan
** Rancang masa anda & sebar-sebarkan