Ramadan; universiti yang penuh kemuliaan dan keberkatan

Dr. Fadlan Mohd Othman

Dengan izin Allah Ta’ala jua, esok yang bermula dengan terbenamnya matahari hari ini akan menyaksikan keseluruhan umat Islam ‘berdaftar’ sebagai ‘penuntut-penuntut’ satu ‘IPT’ terunggul dalam sejarah peradaban manusia.

‘IPT’ itu ialah Bulan Ramadan yang penuh kemuliaan dan keberkatan.

‘Kursus-kursus intensif’ dan ‘mesra pelanggan’ yang disediakan dalam Bulan Ramadan sebagai Institut Penerapan Taqwa ini wajarlah dipelajari dan dihayati dengan kecerdikan ‘study smart’ dan kesungguhan ‘study hard’.

Firman Allah Ta’ala, maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah, ayat 183)

Definisi Taqwa telah dihuraikan oleh para ulamak seperti berikut :
i. Meletakkan penghalang dan penghadang di antaramu dan apa yang diharamkan oleh Allah.
أن تجعل بينك وبين ما حرم الله حاجبا وحاجزا

ii. Melaksanakan perintah Allah dan menghindari laranganNya.
امتثال أوامر الله واجتناب النواهي

iii. Takutkan Allah, beramal dengan wahyu, reda dengan sedikit serta bersedia untuk hari pembalasan.
الخوف من الجليل، والعمل بالتنزيل، والقناعة بالقليل، والاستعداد ليوم الرحيل

iv. Melaksanakan amalan taat dan meninggalkan amalan maksiat.
فعل طاعته واجتناب معاصيه.

v. Umar pernah bertanya Ubay bin Ka‘b, ‘Apakah itu taqwa?’ Ubay menjawab, ‘Wahai Amir al-mukminin, tidakkah engkau pernah memasuki jalan yang penuh berduri?’ Umar menjawab, ‘Ya.’ Ubay berkata, ‘Apakah yang engkau lakukan?’ Umar menjawab, ‘Aku menyingsingkan seluarku dan memerhatikan kakiku. Aku meletak satu langkah demi satu langkah dengan cermat kerana takut terkena duri.’ Ubay berkata, ‘Itulah taqwa!’
وقد سأل عمر رضي الله عنه أبي بن كعب فقال له: ما التقوى؟ فقال أبي: يا أمير المؤمنين أما سلكت طريقا فيه شوك؟ قال: نعم .. قال: فما ذا فعلت؟ قال عمر: أشمر عن ساقي وأنظر إلى مواضع قدمي وأقدم قدما وأؤخر أخرى مخافة أن تصيبني شوكة. فقال أبي بن كعب: تلك التقوى!

Dengan ini dapatlah dikategorikan taqwa itu kepada dua sudut iaitu:

  1. Pertama, dari sudut praktikal (amalan): Taqwa ialah pelaksanaan perkara yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah Ta’ala. Dari sudut ini, taqwa ialah pelaksanaan agama Islam yang merangkumi wajib, sunat, harus, makruh dan haram.
  2. Kedua, dari sudut kerohanian (pendirian): Taqwa ialah kewaspadaan dalam mengorak setiap langkah dalam kehidupan beragama di dunia ini. Dari sudut ini, taqwa ialah penilaian hati yang suci terhadap setiap perkara yang dihadapi oleh muslim. Dengan lafaz lain, taqwa dari sudut ini ialah timbang rasa atau berhati-hati.

Untuk mendapatkan taqwa, Rasulullah s.a.w. telah meletakkan garis panduannya yang dapat dirangkumkan dalam dua ungkapan mudah iaitu mempergiatkan amalan baik dan menghentikan amalan buruk. Sabda Rasulullah s.a.w.:

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ

Maksudnya: “Apabila masuknya malam pertama daripada bulan Ramadhan para syaitan dan pengganas jin akan dirantai, pintu-pintu neraka akan ditutup, tiada satu pun akan dibuka, pintu-pintu syurga dibuka, tiada satu pun akan ditutup. Akan ada seseorang yang akan melaungkan, ‘Wahai orang yang inginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang inginkan kekejian, berhentilah. Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan daripada neraka pada setiap malam.”

Sebagai pendahuluan, berikut dijelaskan beberapa konsep kebaikan yang secara langsungnya berlawanan dengan konsep keburukan:

i. Keazaman kental yang disusuli usaha, lawannya tiada kehendak yang menyebabkan tiada persiapan.

Firman Allah Ta‘ala maksudnya: Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Ali Imran 3:159)

Firman Allah Ta‘ala lagi, maksudnya: Dan kalaulah mereka mahu keluar (untuk turut berperang), tentulah mereka menyediakan persiapan untuknya; tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat mereka dan dikatakan (oleh Syaitan): Tinggallah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal. (al-Taubah 9:46)

ii. Bersegera, lawannya melewat-lewatkan.

Firman Allah Ta‘ala maksudnya: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (Ali Imran 3:133):

Firman Allah Ta‘ala lagi Maksudnya: Dan sesungguhnya ada di antara kamu: Orang-orang yang sengaja memberat-beratkan dirinya (juga orang lain, daripada turut mara ke medan perang). (al-Nisa’ 4:72):

iii. Berekonomi, lawannya melampau.

Firman Allah Ta‘ala Maksudnya: Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu. (al-Taghabun 64:16)

Sabda Rasulullah s.a.w.:
إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنْ الدُّلْجَةِ.
Maksudnya: “Sesungguhnya agama ini mudah. Tiada seorangpun yang keterlaluan dalam amalan agama kecuali dia akan dikalahkan oleh agama. Jadi hendaklah kamu berusaha menepati kebenaran dan berusaha menepati kesempurnaan serta bergembiralah (dengan janji-janji baik Allah). Hendaklah kamu berusaha pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.”

iv. Berterusan, lawannya terputus. Sabda Rasulullah s.a.w.:

وَإِنَّ أَحَبَّ الأَعْمَالِ إِلَى اللهِ مَا دَامَ وَإِنْ قَلَّ.
Maksudnya: Sebaik-baik amalan di sisi Allah Ta’ala ialah yang berterusan walaupun sedikit.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

لاَ يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيْعَةِ رَحِمٍ مَا لَمْ يَسْتَعْجِلْ. قِيْلَ يَا رَسُوْلَ اللهِ مَا الاِسْتِعْجَالُ؟ قال يَقُوْلُ قَدْ دَعَوْتُ وَقَدْ دَعَوْتُ فَلَمْ أَرَ يَسْتَجِيْبُ لِيْ فَيَسْتَحْسِرُ عِنْدَ ذَلِكَ وَيَدَعُ الدُّعَاءَ.
Maksudnya: Akan sentiasa dimakbulkan bagi seseorang hamba itu sekiranya dia tidak berdoa meminta perkara berdosa atau memutuskan silaturrahim, selagimana dia tidak tergopoh-gapah. Lalu sahabatpun bertanya; Ya Rasulullah, apakah dia tergopoh-gapah itu? Sabda Baginda; Dia (pendoa) berkata; Aku telahpun berdoa dan berdoa, tetapi aku tidak nampak doaku dimakbulkan untukku. Lalu diapun merasa dukacita dan meninggalkan doa.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: