Ramadan bulan meraih pahala berganda

Ustaz Dr. Fadlan Mohd Othman

Satu perkara yang perlu diberi perhatian besar di dalam bulan Ramadan ialah peluang untuk mendapat pahala berganda. Allah telah memberitahu kepada Nabi saw di dalam sebuah hadith yang maksudnya, “Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya sendiri kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk aku (Allah) dan akulah yang langsung membalasnya.” (riwayat Imam al-Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)

Allah melalui Al-Qur’an menjelaskan bahawa satu amalan boleh digandakan kepada 10, kemudian boleh digandakan menjadi 700. Sesuatu amalan boleh membiak kepada 7 tangkai dan setiap tangkai itu boleh menjadi 100 akhirnya boleh menjadi kepada 700. Satu amalan soleh yang kita lakukan dengan melihat kepada keikhlasan kita boleh mencapai 700, ibaratnya kita sebutkan satu ringgit yang kita berikan boleh diberi pulangan sehingga 700 ringgit.

Ini sesuai dengan dalil Al-Qur’an yang menjelaskan bahawa maksudnya; “Bandingan pahala orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti biji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai itu pula mempunyai seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas rahmat kurnia-Nya, lagi Meliputi Ilmu Pengetahuan-Nya. ” (Surah al-Baqarah ayat 261)

Pahala berganda buat orang berpuasa

Demikian juga banyak hadis yang menunjukkan sesuatu amalan itu boleh digandakan tanpa hisab seperti makna dalam sebuah hadis, “Semua amal (soleh yang dikerjakan) manusia dilipatgandakan pahalanya, satu kebaikan diberi ganjaran sepuluh sampai tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman: “Kecuali puasa (ganjarannya tidak terbatas), karena sesungguhnya puasa itu (khusus) untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran (kebaikan) baginya.” (riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Antara amalan yang kita sedang laksanakan ialah amalan puasa di mana Allah melalui Rasul-Nya telah menyatakan kepada kita bahawa amalan puasa ialah satu amalan yang digandakan oleh Allah swt berdasarkan keikhlasan yang ada pada kita tanpa hisab.

Rahsia di sebalik gandaan pahala itu ialah puasa amat berkait rapat dengan kesabaran dan Allah telah menyatakan maksudnya, “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan (ganjaran) pahala mereka tanpa batas.” (Surah az-Zumar, ayat10)

Seorang sarjana Islam Imam Ibnu Rajab al-Hambali menjelaskan eratnya hubungan puasa dengan sifat sabar dalam ucapan beliau yang maksudnya, “Sabar itu ada tiga macam: (1) sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah, (2) sabar dalam meninggalkan hal-hal yang diharamkan-Nya, dan(3) sabar dalam menghadapi ketentuan-ketentuan-Nya yang tidak sesuai dengan keinginan. Ketiga bentuk sabar ini terkumpul dalam ibadah puasa, kerana (dengan) berpuasa (kita harus) bersabar dalam (menjalankan) ketaatan kepada Allah, dan bersabar dari semua keinginan syahwat yang diharamkan-Nya bagi orang yang berpuasa, serta bersabar dalam (menghadapi) beratnya (rasa) lapar, haus, dan lemahnya badan yang dialami orang yang berpuasa”(Lataif Ma’arif)

Puasa adalah kita bersabar iaitu menahan diri daripada makan, minum, hawa nafsu, syahwat kita dan perkara-perkara yang dihalalkan oleh Allah swt seperti pasangan kita, semasa berpuasa kita tidak boleh mendekati mereka. Ini semua adalah apa yang disebutkan sebagai kesabaran.

Kita dididik oleh Allah swt melalui amalan puasa untuk menyuburkan lagi kesabaran dan orang yang dapat bersabar, sekiranya kesabaran yang dilakukannya dengan penuh keikhlasan bukannya menunjuk kepada orang yang berada di sebelah kanan atau kirinya, maka sudah pasti dengan izin Allah dia akan mendapat pahala yang tidak terbilang. Pahala yang akan didapatinya bersifat berterusan tanpa batas dan had.

Lailatul Qadr iaitu malam keagungan juga merupakan salah satu amalan salih yang dilipat gandakan pahalanya. Pahala yang dijanjikan oleh Allah Ta’ala untuk amalan salih pada malam ini sebenarnya melebihi seribu bulan dan bukannya bersamaan seribu bulan. Perkara ini wajar menjadi motivasi kepada kira untuk menghidupkan sepuluh malam terakhir Bulan Ramadan dengan solat malam atau tarawih bersama Imam hingga selesai. Disusuli pula dengan tilawah al-Quran, zikir, doa dan sebagainya.

Dosa maksiat juga digandakan

Kedua adalah perkara yang berkaitan dengan amalan maksiat. Adakah maksiat juga digandakan? Adakah wujudnya di sana hadith-hadith ataupun ayat-ayat yang menunjukkan seseorang yang melakukan maksiat dosanya akan digandakan?

Jawapannya adalah ada 2 bahagian ataupun 2 jenis dalil berkenaan dengan dosa yang dilakukan oleh manusia. Pertama dosa yang dilakukan di selain Tanah Haram. Tanah haram ialah Mekah dan juga Madinah. Allah menyebutkan dalam Al-Qur’an bermaksud;

“Dan barangsiapa yang bermaksud melakukan kejahatan secara zhalim di dalamnya Tanah Haram), nescaya Kami akan rasakan kepadanya sebagian seksa azab yang pedih.” (surah al Hajj, ayat 25)

Disebabkan itulah kita dapati sebahagian daripada para sahabat, seperti Abdullah bin Masud atau Abdullah bin Abbas ra mereka tidak berani tinggal di Mekah kerana Mekah adalah satu tempat di mana sekiranya kita mempunyai keinginan untuk membuat satu maksiat maka akan diberikan azab yang cukup pedih.

Berbeza pula dengan tempat-tempat yang lain sesiapa yang berkeinginan untuk membuat sesuatu maksiat ianya tidak akan ditulis maksiatnya itu ataupun dosanya kecuali selepas dia melakukannya. Dan setelah dia melakukannya ianya hanya akan ditulis 1 berbeza di Mekah tadi sesiapa yang berbuat tidak baik sudah pun mendapat azab daripada Allah kecuali sekiranya dia bertaubat.

Daripada apa yang kita sebutkan itu dapatlah kita rumuskan secara ringkas bahawa amalan di sisi Allah swt ialah amalan yang soleh. Apabila kita melihat kepada sesuatu amalan yang soleh dan melihat juga kepada amalan yang berunsurkan maksiat, maka kita akan dapati Allah adalah Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang dan kita akan dapati juga Allah swt adalah Tuhan yang Maha Kaya dan juga Maha Lembut terhadap hamba-hambanya. Di situlah kita dapati juga bagaimana Allah swt menjanjikan, memberi galakan kepada hamba-hambanya untuk melaksanakan amalan. Allah menggandakan beberapa amalan di dalam beberapa masa dan di beberapa tempat.

Jika kita mempunyai kesempatan untuk melaksanakan umrah di bulan Ramadan, kita dapati antara dalil yang mencatatkan pahala umrah di bulan Ramadan ialah ‘seperti haji bersama dengan aku (rasulullah)’. Orang yang membuat umrah pada bulan Ramadan telah pun dapat mengumpul beberapa kebaikan pertama puasa seperti mana kita juga.

Meraih pahala besar dengan amalan ringan

Yang kedua, melakukan umrah di Mekah, dengan itu dia mendapat satu pahala yang lebih besar daripada apa yang kita lakukan. Kita mungkin boleh mendapat pahala seperti umrah contohnya selepas solat subuh kita duduk berzikir sehingga sampai terbitnya matahari dan kemudian kita pun solat, maka kita akan mendapat pahala umrah tetapi tidak sama dengan orang yang melakukan umrah yang sebenar di Mekah.

Ini dijelaskan oleh Nabi dalam sebuah hadis yang bermaksud; “Barangsiapa yang shalat subuh berjamaah, kemudian dia menetap di masjid untuk berzikir kepada Allah sampai matahari terbit, kemudian dia shalat dua rakaat, maka dia akan mendapatkan (pahala) seperti pahala haji dan umrah, sempurna sempurna sempurna” (riwayat Imam Tirmidzi)

Orang yang melaksanakan di sana, dia akan mendapat pahala seperti seorang sahabat yang bersama dengan Nabi Muhammad saw dan sudah tentulah pahala seorang sahabat itu tidak sama dengan pahala kita. Di mana sekiranya kita memberi emas sebanyak sebesar Bukit Uhud tidak sama seperti segenggam emas yang diinfakkan para sahabat seperti dijelaskan oleh Nabi dalam sebuah hadis yang bermaksud;

“Sesungguhnya jika salah seorang daripada kamu sedekah wang emas sebesar gunung Uhud sekalipun ia tidak menyamai pahala seorang (sahabat nabi) yang sedekah harta sebanyak satu mud (iaitu satu cupak) atau setengah daripada itu.” (riwayat Imam Bukhari dan Imam Abu Daud) Jadi Nabi saw memberitahu kepada kita bagaimana pahala boleh berganda pada masa-masa tertentu dan ditempat-tempat tertentu dengan amalan-amalan tertentu.

Manakala sebaliknya dosa hanya akan menjadi besar dan berganda di Mekah. Tetapi jika di tempat lain jika kita melakukan satu maksiat kita akan mendapat satu dosa. Jika kita berniat untuk melakukan sesuatu maksiat ianya tidak lagi diberikan dosa ataupun dicatatkan dosa kecuali selepas kita melaksanakannya dan selepas dilaksanakan pun masih lagi ada peluang untuk kita meminta keampunan.

Siaran akhbar Jumaat, 10 Ogos 2012

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: