Arkib

Monthly Archives: September 2012

Soalan: Assalamuaikum ustaz, Saya ada satu soalan. Apakah hukumnya bagi orang Islam yang tidak berkahwin? Adakah kalau kita tidak berkahwin Nabi Muhammad SAW tidak akan mengaku kita umatnya? Tetapi berdasarkan pengetahuan saya, ulama terkenal Ibn Jarir al-Tabari dan Jalal al-Din al-Suyuti tidak berkahwin sepanjang hayat mereka. Tolonglah jawab soalan saya ini.

Hamba Allah yang bujang,

Sungai Petani, Kedah.

Jawapan

Untuk menjawab soalan berkenaan dengan hukum orang Islam lelaki yang tidak berkahwin, hendaklah kita melihat kepada keadaannya. Para ulama telah menjelaskan bahawa hukum berkahwin itu terbahagi kepada tiga keadaan.

Keadaan pertama, dia tidak mempunyai syahwat terhadap wanita, maka hukumnya mubah iaitu dibenarkan.

Keadaan kedua, dia mempunyai syahwat terhadap wanita tetapi masih dapat mengawal dirinya daripada berzina jika tidak berkahwin, maka hukum berkahwin baginya adalah sunat.

Keadaan ketiga, dia mempunyai syahwat terhadap wanita dan sukar mengawalnya, bahkan boleh menyebabkan dia berzina atau beronani jika tidak berkahwin, maka hukum berkahwin baginya adalah wajib.

Begitulah ringkasan huraian para ulama seperti al-Mardawi dalam kitabnya al-Insaf, berkenaan hukum berkahwin.

Seterusnya, bagi keadaan kedua dan ketiga, sekiranya dia tidak mempunyai kemampuan dari sudut harta, maka hendaklah dia berpuasa untuk menahan gelojak nafsunya.

Rasulullah SAW telah pun bersabda, “Wahai sekelian remaja, siapa yang mempunyai kemampuan hendaklah dia berkahwin kerana perkahwinan itu menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa akan mengurangi nafsunya” (Hadith riwayat al-Imam al-Bukhari no. 5065 dan Muslim no. 1400).

Adapun kalau kita tidak berkahwin, Nabi Muhammad SAW tidak akan mengaku kita umatnya, setakat pembacaan saya, hadis-hadis yang membawa maksud ini adalah daif dan tidak sahih.

Perkara ini telah pun dinyatakan oleh al-Imam al-Sakhawi dalam kitabnya. al-Maqasid al-Hasanah.

Berkenaan dengan para ulama yang tidak berkahwin, memang benar terdapat sejumlah para ulama yang tidak berkahwin.

Akan tetapi ini tidak boleh dijadikan hujah untuk umat Islam dewasa ini menjauhi amalan mulia ini, iaitu perkahwinan.

Keadaan-keadaan

Para ulama yang tidak berkahwin itu, mereka mempunyai keadaan-keadaan tertentu yang menyebabkan mereka tidak berkahwin seperti kesungguhan dalam berdakwah dan mengajar, peperangan dan sebagainya.

Justeru hendaklah kita mendahulukan hadis Nabi SAW yang menggalakkan perkahwinan dan janganlah kita jadikan perbuatan sebahagian para ulama itu sebagai alasan untuk meninggalkan sunah Rasulullah SAW yang mulia ini.

Satu perkara yang perlu ditekankan di sini ialah hukum orang yang tidak berkahwin kerana dia ingin fokus melakukan ibadah. Perbuatan ini adalah satu perbuatan yang tidak wajar.

Perbuatan ini telah ditegur oleh Rasulullah SAW. “Di zaman Nabi SAW, apabila datangnya tiga orang lelaki bertanyakan tentang amalan Nabi SAW, setelah diberitahu oleh isteri-isteri Baginda, mereka merasakan amalan Rasulullah SAW seperti sedikit. Lalu salah seorang daripada mereka berkata, “Saya akan solat malam selamanya.” Seorang lagi berkata, “Saya akan puasa sepanjang tahun.” Dan seorang lagi berkata, “Saya akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin buat selamanya.” Setelah Rasulullah SAW pulang dan diberitahu tentang perkara ini, Baginda telah bersabda, “Anda semua berkata begini dan begitu. Sesungguhnya akulah yang paling takutkan Allah dan bertaqwa terhadap-Nya. Akan tetapi aku puasa dan berbuka, solat dan tidur, aku juga mengahwini wanita. Maka siapa yang benci sunahku, dia bukan golonganku” (Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari no. 5063 dan Muslim no. 1401).

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa menjauhi amalan perkahwinan dengan alasan memberi fokus kepada amalan ibadah adalah suatu perbuatan yang menyalahi sunah Rasulullah SAW.

Siaran akhbar Mingguan, Ahad 09 September 2012

Doa Sahih Selepas Wuduk

Dr. Fadlan Mohd Othman

Sabda Rasullullah SAW maksudnya;

“Sesiapa yang mengambil wuduk dengan baik kemudian dia berkata, Asyhadu al laa ilaaha illAllah wahdahu laa syarikalah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘Abdahu wa rasulluh, Allah hummaj ‘alni minat tawwaabin, waj’alni minal mutatohhiriin

(maksudnya: Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah esa (Tuhan) saja tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusanNya. Allah jadikanlah aku dari kalangan orang yang banyak bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang yang menyucikan diri),

akan dibuka untuknya kesemua lapan pintu-pintu syurga agar dia memasukinya dari mana dia suka.

(riwayat ImamTarmizi( 50) ; Sahih: Sahih Al-Tarmizi(55) dan Al-Nasai(148);Sahih:Sahih Al-Nasai(148))

Mungkin kita boleh letakkan ini sebagai satu peringatan bahawa zikir di dalam Islam adalah penting dan kita sebenarnya mempunyai zikir yang sahih bagi kebanyakan amalan contohnya keluar masjid, masuk masjid, ketika hendak berwuduk, selesai wuduk, hendak tidur, bangun daripada tidur, nampak orang yang ditimpa musibah, nampak orang yang diberikan nikmat dan sebagainya. Semua itu adalah untuk memperbanyakkan pahala kita sekiranya perkara itu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan dilakukan mengikut sunnah iaitu mengambil hadith yang sahih sahaja. Jangan dibaca hadith yang dhaif dan jangan juga dibaca hadith yang palsu.

Perkara ini boleh didapati di dalam banyak kitab-kitab yang kecil dan yang besar. Antaranya yang masyur ialah Hisnul Muslim oleh Syaikh Dr Said bin Ali bin Wahaf al-Qahthani. Kitab ini adalah antara kita yang paling laku sekali dan yang paling tersebar luas. Laku disini bukan bermaksud laku dari sudut jual beli tetapi laku dari sudut sebarannya begitu banyak di dalam pelbagai bahasa. Tidak dinafikan ada sebahagian hadith yang dhaif tetapi nisbahnya sedikit sahaja.

Yang ke-4 menyempurnakan wuduk dan membaca doa ini adalah diantara sebab-sebab untuk memasukkan kita ke dalam syurga. Kita perlu yakin dengan perkara itu dengan mengambil wuduk dengan cara yang baik dan bacakan zikir ini dan doanya dengan penuh kefahaman.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=koOud5aTFP4

Soalan: ASSALAMUALAIKUM. Adakah kita wajib membayar zakat pendapatan? Bolehkah ustaz menghuraikan perkara ini.

Ahmad Syukri Naim bin Mohd Tahir

Kampar, Perak.

Jawapan

Ya, zakat pendapatan wajib dibayar. Huraiannya ialah jika simpanan daripada pendapatan bulanan itu mencapai dua syarat asasi kewajipan zakat iaitu, pertama mencapai had atau bulugh al-nisab iaitu bersamaan dengan 85 gram emas, iaitu bersamaan dengan RM13,670.22 menurut harga emas semasa pada 18 Ogos 2012.

Syarat kedua ialah jumlah itu mestilah melepasi setahun dalam simpanan atau apa yang disebutkan oleh para ulama sebagai murur al-haul. Jumlah zakat yang perlu dikeluarkan pula ialah sebanyak 2.5% sahaja.

Sebagai contoh jika pada 18 Ogos 2012, wang yang disimpan ialah RM20,000.00 dan jumlah ini berkekalan sehingga 18 Ogos 2013, di mana harga emas pada hari itu ialah sekitar RM18,000.00 untuk 85 gram emas.

Maka jumlah yang perlu dizakatkan ialah RM500.00 bersamaan 2.5% daripada RM20,000.00.

Akan tetapi jika pada 18 Ogos, 2012 jumlah yang disimpan ialah RM13,670.22 dan jumlah ini berkekalan sehingga 18 Ogos 2013, di mana harga emas pada hari itu ialah sekitar RM18.000.00 untuk 85 gram emas; maka tidak perlu dikeluarkan zakat kerana tidak mencapai had atau nisab.

Harga emas bolehlah dirujuk di Bank Negara atau bank-bank lain yang menawarkan perkhidmatan simpanan emas.

Siaran akhbar Ahad, 02 September 2012

Soalan 

Saya merupakan penyokong setia kelab bola sepak Manchester United. Masalahnya sekarang ialah pada lambang kelab itu terdapat seakan-akan gambar syaitan. Gelaran bagi pasukan mereka juga ialah ‘The Red Devil yang bermaksud syaitan merah. Apa hukumnya di dalam Islam tentang perkara ini. Adakah saya boleh terus menyokong Manchester United atau tidak?

Danny Ryan,

Gurun, Kedah

Jawapan

Saudara, soalan ini menggambarkan keprihatinan saudara. Semoga Allah meneguhkan lagi jati diri Islamik saudara dan seluruh umat Islam.

Apa yang saya faham khusus berkenaan hukum-hakam yang berkaitan dengan kelab bola sepak Manchester United ialah seperti berikut:

Pertama, tidak boleh bagi penyokong muslim kelab ini memakai atau memiliki apa sahaja produk yang memperagakan syaitan merah yang memegang tombak dan memakai mahkota itu.

Kedua, apabila pergi untuk menyokong, pastikan solat tidak ditinggalkan.

Ketiga, apabila memberi sokongan, pastikan tiada lafaz kufur mahupun maksiat yang diungkap.

Keempat, pastikan keghairahan menyokong tidak menjadikan kita bercampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batasan.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak seluruh umat Islam agar membuat pilihan yang sewajarnya dalam setiap detik kehidupan kita.

Memang tidak mengapa memberi sokongan, akan tetapi perlulah sentiasa menepati etika Islam. Satu perkara lagi, hendaklah kehidupan kita sebagai umat Islam disinari dengan perseimbangan atau wasatiyyah.

Seimbangkanlah antara ketekunan dalam melakukan ibadah dengan masa yang diberikan untuk urusan manusiawi seperti riadah, sukan dan sebagainya.

Janganlah terlalu terikut-ikut dengan budaya kufur Barat atau Timur yang seringkali menekankan kebebasan daripada segala unsur-unsur keagamaan dan ketuhanan.

Siaran akhbar Mingguan, Ahad 02 September 2012

Moderator :Gadaffi Musli

Moderator    : Apakah pandangan Ustaz, mengenai kepercayaan masyarakat Melayu terhadap isu bomoh berdasarkan perspektif Islam?

Ustaz Fadlan : Apabila kita membicarakan bomoh, melihat kepada masyarakat Islam khususnya, adanya kepercayaan yang menepati Islam dan adanya yang tidak menepati. Contohnya,apabila tiba musim peperiksaan, kita akan dapati banyak masyarakat Islam membawa anak-anak mereka berjumpa dengan bomoh dan mendapatkan khidmat dari mereka.

Sedangkan kalau kita perhatikan, contohnya apabila Imam Bukhari R.A apabila ditanya bagaimana caranya untuk kita berjaya mendapatkan ilmu. Jawapannya ialah “izamatun nazor” iaitu sentiasa melihat. Yakni dengan kita sentiasa membaca buku, bukannya dengan mengambil makanan atau minuman tertentu.

Akhirnya anak-anak tidak akan membaca buku dan lebih bergantung kepada minumam yang dijampi daripada menela’ah kitab.

Ustaz Ahmad Fauzan : Kita mungkin dahulu sudah terbiasa sejak dari kecil dengan isu Nujum Pak Belalang. Sehinggalah zaman saya sendiri,sekitar tahun 90-an, di mana ibu bapa akan membeli pensel yang baru dan dibawa kepada bomoh untuk dijampi. Amalan ini ia akan memberi kesan kepada akidah kita.

Sepertimana yang kita tahu semua perkara hendaklah kita bertawakkal kepada-Nya. :Faiza “azamta fatawakkal ‘ala allah faizas ta’anta fasta’in billah”.

Dan dalam surah Al-fatihah ayat 5: “Maksudnya : Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.”

Moderator : Penggunaan bomoh dan jampi sudah menjadi satu budaya di kalangan masyarakat terutamanya musim peperiksaan.Apakah padangan ustaz?

Ustaz Fadlan : Penekanan kepada isu jampi, apakah jampi yang dibenarkan dan apakah yang tidak langsung dibenarkan. Kita akan dapati, dalam amalan Rasulallah jampi itu ada. Tetapi yang pentingnya fokus jampi itu,kepada sebahgian masyarakat yang menghadapi masalah kesakitan seperti dirasuk syaitan dan kesakitan misalnya. Terdapat hadis-hadis yang menunjukkan Rasulallah berjampi berjampi dan menjampi sahabatnya.

Ustaz Ahmad Fauzan : Tidak ada satu jampi yang dapat menjadikan seseorang jadi baik dan soleh. Padahal, kalaulah benda ini diamalkan “Laukana Khairan Lasabaquunaa Ilaihi’. Maksudnya :“Jika suatu perbuatan itu baik, niscaya mereka (yakni para sahabat) akan mendahului kita untuk mengamalkannya”.

Hadis lain yang bermaksud: “Sesiapa yang mendatangi bomoh atau tukang tilik, dan membenarkan (mempercayai) apa yang dikatakan oleh bomoh atau tukang tilik itu, sesungguhnya dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad.”  (Hadith riwayat Ahmad, al-Hakim dari Abu Hurairah RA)

Moderator :Ada cerita mengenai sihir dan ada juga yang menyihir orang. Apakah pandangan ustaz?

Ustaz Ahmad Fauzan : Memanglah,hal-hal sebigini adalah ancaman daripada syiatan. Adanya diajar ayat-ayat yang untuk menghadapi perkara ini seperti Surah Al-Baqoroh.

Moderator:  Kenapa minda masyarakat kita apabila menghadapi marah dan dengki akan membawa mereka kepada sihir? 

Ustaz Fadlan : Kalau diperhatikan sejarah kedatangan Islam ke Nusantara, pada awalnya masyarkat mengamalkan animisme. Dan masih ada saki-bakinya kerana kejahilan.

Maksudnya : Ketahuilah wahai Muhammad bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah ,dan mintalah ampun untuk dosamu dan orang-orang yang beriman.

Hendaklah kita yakin dengan betul dengan kalimah “La ila ha illah”.Bila ada gangguan syaitan mintalah perlidungan daripada Allah. Namun apabila kita jauh dari ajaran Islam,kita akan menjadi masyarakat yang mencari dan mengikut apa yang ada.

Oleh itu, masyarakat kita akan berpindah daripada kejahilan menjadi ikutan.

Ustaz Ahmad Fauzan : Solusinya kita kembali kepada Al-Quran dan hadis.Pesan Nabi, 

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, selagi kamu berpegang dengan keduanya kamu tidak akan disesatkan iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah RasulNya. (riwayat  Malik dalam Muwata’.  Hakim dalam Mustadrak.  Disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahihul Jami’.  No. 2937.)

Ustaz Dr. Fadlan Mohd Othman 

Apabila di prektikkan terus sekali secara pergerakan manusia itu ianya akan menghembus dahulu sebelum berkumur. Ianya satu perkara yang agak sukar apabila kita hendak menyedut dan tahan seketika barulah menghembusnya keluar. Apa sekali pun tidaklah pula terdapat hadith yang menunjukkan tertib itu. Waw adalah menggambarkan untuk mengumpulkan 2 perkara tanpa menunjukkan tertib. Jadi wallahua’lam sesiapa yang hendak berkumur dahulu dan mengeluarkannya ataupun menahan dahulu.

Saya pernah mencuba dari dahulu lagi ketika saya belajar, ianya cukup sahaja. Jika kita mengambil air sebanyak satu gelas pun apabila hendak berkumur mungkin tidak cukup tetapi yang dimaksudkan dengan kumur-kumur itu adalah bukan untuk memenuhkan mulut kita, ianya cukup sekadar apa yang kita ambil dan memasukkan sedikit ke dalam mulut dan sedikit ke dalam hidung. Apabila kita perhatikan jika kita melakukan seperti itu di dalam satu hadith lain yang menyebut,

“Bersungguh-sungguhlah engkau apabila menhisap air itu kecuali sekiranya engkau puasa.”

Jadi apabila orang menyedut air seperti yang saya sebutkan tadi bahawa secara gerakan badan yang dipanggil tindak balas, kita akan terus terpanggil untuk menghembus dan apabila sudah menghembus barulah kita mudah untuk berkumur. Sunnah di dalam istinsyak sebenarnya adalah menyedut secara kuat sehingga terasa sakit. Sebenarnya dari sudut perubatan ada beberapa penyakit yang berkaitan dengan hingus ini boleh diatasi dengan antara caranya adalah dengan menyedut air dengan kuat dan menghembuskannya semula.

Itulah satu kesilapan yang saya sebutkan dahulu bahawa kumur dahulu barulah menghembus. Tetapi apabila saya lakukan ianya tidak menjadi. Biasanya saya akan sedut air ke dalam hidung dahulu dan menghembuskannya dan barulah berkumur kerana hidung adalah bahagian yang sensitive. Ini adalah pandangan saya tetapi jika ada pandangan lain ianya tiada masalah selagi mana di dalam hadith itu menunjukkan bahawa waw itu boleh sahaja dikumpulkan dan tidaklah menunjukkan kepada tertib atau susunan.

Rakaman oleh Abu Aqif Studio

“Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

Dr Fadlan Mohd Othman

Di dalam satu riwayat al-Imam al-Syafie telah menyatakan satu hadith tiba-tiba beliau ditanya, ‘Adakah ini pandangan tuan?’. Lalu al-Imam al-Syafie rahimahullah telah murka (marah) dan menyatakan kepada lelaki yang bertanya itu, katanya, ‘Adakah engkau melihat aku telah keluar dari gereja? Adakah engkau sedang melihat aku memakai tali pinggang paderi? Aku berkata ‘Nabi bersabda’, tiba-tiba kamu boleh ‘bertanya adakah tuan berpegang dengan hadith itu’.

Satu perkara yang tidak masuk akal di sisi al-Imam al-Syafie apabila ada satu hadith yang sahih diucapkan oleh seorang Muslim, tiba-tiba ada yang berkata, ‘Adakah kita hendak mengikut hadith ini?’. Khususnya apabila amalan masyarakat tidak menepati hadith itu.

 

Jadi al-Imam al-Syafie cukup marah telah berkata kepada lelaki itu, ‘Soalan kamu itu seolah-olah kamu menuduh aku ini baru sahaja keluar dari gereja dan aku ini bukan Islam’. Yang kedua seolah-olah aku ini bukan di kalangan ilmuan Islam tetapi dikalangan paderi-paderi yang membawa hadith Nabi contohnya mereka tidak beriman tetapi mereka membawa hadith Nabi. Jika begitu mungkinlah kita boleh bertanya adakah itu pandangan tuan paderi.

Tetapi jika orang yang berkata itu adalah seorang yang Muslim, Mukmin bahkan alim, maka tidak wajar ditanya kepadanya apabila dia membawa satu hadith adakah ini hadith yang ustaz terima. Ini adalah satu perkara yang tidak masuk akal di sisi al-Imam al-Syafie rahimahullah. Bahkan juga disisi kebanyakan para ulama di dalam Islam.

“Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=m_oE__izjls

 

Ustaz Dr. Fadlan Mohd Othman

Bank susu ibu adalah satu perkara yang baik untuk dibuat. Saya lebih cenderung kepada fatwa yang dikeluarkan iaitu menyatakan sesiapa yang meminum susu di dalam umur 2 tahun kebawah selama 5 kali ertinya sekali dia minum sehingga dia kenyang dan ditinggalkan susu itu dan berulang selama 5 kali, maka sahlah hubungan susuan itu bahawa tuan susu itu akan menjadi ibu susuannya dan dia pula akan menjadi anak susuan orang itu.

Saya lebih setuju dengan pandangan itu bahawa 5 kali meminum susu akan mengharamkan. Haram mengikut susu, apa yang haram mengikut nasab keturunan.

Ada pandangan dari sebahagian mufti yang memberi pandangan bahawa jika dia hisap susu bukan daripada ibu yang menyusukan itu, maka tidak terhasillah hubungan itu.

 

Ianya lebih menekankan hubungan maksudnya di sini seorang perempuan memegang seorang bayi dan disusukan. Apabila keadaan seperti itu berlaku barulah ianya menjadi anak susuannya. Tetapi jika ibu itu memerah susunya dan diberikan kepada bayi itu maka tidak menjadi anak susuannya.

Saya rasa tidak sepatutnya begitu walaupun ada pandangan sebahagian ulama begitu. Tetapi pada pendapat saya ianya tidak menepati. Perkara ini tiada masalah jika berlaku kerana susu ibu adalah susu yang terbaik daripada susu lembu dan kambing. Tetapi perlu perhatikan juga 5 kali susuan itu.

Jika mereka tidak mahu kenanya nasab maka mereka perlu mengira berapa susuan bayi itu contohnya ada 100 orang perempuan yang memberikan susu, lalu doktor yang menjaga bayi itu tidak mahu nasab maka diberinya seorang bayi itu dengan susu perempuan yang berbeza.

Majlis fatwa kebangsaan juga telah mencadangkan untuk mengumpulkan sebanyak mana susu yang ada dan di bankkan dan diberikan kepada bayi-bayi dan dia mendapat nutrisi  dan khasiat yang sewajarnya yang di dapati oleh anak-anak lain yang mempunyai ibu bapa. Tetapi timbul persoalan sekarang ini di dalam agama Islam adanya ibu susuan.

Jadi kebanyakan ulama di Malaysia telah menyatakan ‘ya Alhamdulillah perkara itu bagus’. Tetapi jika sesuan itu menyebabkan hubungan seperti yang saya sebutkan tadi kecuali mufti Perlis yang mengambil pandangan Dr. Yusuf Qardawi, dia menyatakan tidak begitu kerana perkara itu memerlukan hubungan kemanusian maka barulah ianya menjadi ibu susuan. Walaupun saya menghormati beliau tetapi di dalam bab ini saya tidak bersetuju dan saya lebih cenderung dengan pendapat mufti-mufti lain.

Perkara ini juga adalah satu situasi satu masalah yang tidak ditangani. Sepatutnya kita menangani perkara itu. Membuat kempen mempermudahkan berkahwin muda adalah lebih baik daripada membuat bank susu tetapi daripada satu sudut bank susu ini juga menepati kebajikan. Seperti sesetengah hospital menyediakan tempat untuk memberi bayi, maka ianya lebih baik daripada bayi itu dibuang tetapi lebih baik lagi jika dia tidak berzina.

Timbul persepsi sekarang ini adalah berkahwin muda tidak bagus. Kita menyatakan sebenarnya jika dia telah sampai ke tahap kahwin, maka kahwinlah. Masyarakat sewajarnya membantu samada kerajaan, keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya sepatutnya membatu jika ianya telah sampai ke tahap kahwin.

Kita mungkin perlu belajar daripada sesetengah Negara yang melihat kematangan di dalam bentuk berasingan. Maksudnya A mungkin matang cepat daripada B. B ini umur 15 tahun pun tidak matang dan tidak baligh lagi tetapi A mungkin 10 tahun sudah baligh. Jadi dia telah baligh di dalam usia 10 tahun dan telah nampak sifat-sifat sebagai lelaki ataupun perempuan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin. Jadi jangan kita menyamakan A dengan B kerana mereka adalah berbeza.

Jika malalah perempuan itu bekerja lalu tiada susu maka sebenarnya kempennya adalah berbeza bukannya bank susu. Kempennya adalah menyedarkan ibu itu bahawa dia boleh membuat bank susunya sendiri. Tetapi yang saya faham masalahnya adalah bayi yang tidak mempunyai ibu. Bayi yang mempunyai ibu tetapi ibunya tidak memberinya susu, maka ibunya akan berdosa. ‘Hendaklah mereka memberi susu kepada anak mereka’. Jika dia hendak bekerja dan tidak boleh menyusukan secara terus maka sebenarnya dia boleh memerah susu itu.

Jika ada wanita yang memberi alasan dia tidak menyusukan anaknya kerana dia kerja, maka wanita itu adalah wanita jahilah kerana kamu tidak tahu bahawa kamu boleh memerah dan diberikan kepada pusat asuhan supaya memanaskan ia kemudian diberikan di dalam bentuk botol. Sedangkan orang kafir pun telah melakukannya dengan menyimpan stok susunya selama 1 bulan. Mereka memikirkan bukannya tentang agama tetapi nutrisi dan khasiat anak itu.

Seorang wanita mengambil anak angkat kemudian dia memakan ubat hormon untuk mengeluarkan susunya lalu dia pun menyusukan anaknya itu, maka adakah anak itu anak susuannya? 

Para ulama kita menyatakan ianya tidak kerana maksud susuan ini adalah hasil daripada perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang wanita lalu dia hamil dan melahirkan anak dan mempunyai susu. Bolehkah seseorang wanita itu menjadi ibu tanpa menjadi isteri? Ianya tidak boleh begitujugalah dia tidak boleh menjadi ibu susuan tanpa dia menjadi isteri.

Jika anak seorang perempuan disusukan oleh kakaknya maka adakah suami kepada kakaknya itu menjadi mahram?

Jawapannya dia akan menjadi anak saudara suami itu. Mudahnya jika dia menjadi anak saudara maka dia adalah mahram. Contoh lain kita mengambil anak ini dan memberikan kepada nenek kita yang berusia lingkungan 45 tahun yang mempunyai susu lagi. Lalu nenek itu menyusukan anak tadi. Maka hukumnya anak itu akan menjadi mak saudara kepada kita. Satu lagi contoh jika kita memberi bayi itu kepada ibu kita yang berusi 45 tahun dan kita berusi 25 tahun. Lalu ibu kita menyusukan bayi itu. Maka bayi itu akan menjadi adik-beradik dengan kita walaupun kita menjaganya sebagai anak tetapi hukum kita adakah adik-beradik sesusuan dan kita tidak boleh berkahwin dengannya.

Soalan : Saya telah menjadi ibu susan kepada 2 orang anak angkat adik saya. Sekarang adik saya merancang untuk hamil secara proses persenyawaan dengan benih suaminya. Dia menyuruh saya mengambil hormon untuk menghasilkan susu untuk menyusukan bayi yang bakal lahir nanti. Jadi jika saya mempunyai susu melalui pengambilan hormon maka tidak sahlah jadinya saya menjadi ibu susuan untuk bayi baru itu? Ini untuk menjadi anak angkat sedia ada susuan kepada bayi baru itu. 

Jawapan saya adalah tidak sah kerana dia perlu mendapat daripada proses yang suami isteri itu bukannya dengan proses hormon. Ini adalah yang dikeluarkan oleh fatwa di Jaddah.

Rakaman oleh Abu Aqif Studio

“Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

Ustaz Dr. Fadlan Mohd Othman 

Kita perhatikan jika di dalam masalah hudud, siapakah orang pertama yang akan menolak hudud? Dianya bukanlah orang kafir tetapi orang Islam yang akan tolak hudud terlebih dahulu disamping kecelaruan tentang masalah hudud itu sendiri. Apabila di sebut hudud sahaja, maka orang yang hendak melaksanakannya di dalam pemikirannya itu ialah apabila hendak melaksanakan maka kita hendak pastikan ada tangan yang dipotong, kepala yang dipancong , belakang yang disebat ataupun ada orang yang direjam. Sedangkan roh di dalam pensyariatan hudud adalah kemaafan.

Disebutkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, apabila orang datang kepada Nabi dan mengaku tetapi Nabi membuat seolah-olah tidak mengendahkannya. Seorang sahabat ra yang bernama Maiz datang kepada Nabi bahawa dia telah berzina tetapi Nabi berpaling tanpa berkata apa-apa. Nabi mencarikan alasan untuknya dengan menghidu mulutnya adakah dia mabuk, melihat dia samada gila ataupun tidak dan sebagainya. Lalu dia berkata mungkin engkau menyentuhnya sahaja.

Cuba bayangkan kita sekarang ini apa yang hendak kita cari, adakah kita hendak melepas orang itu ataupun hendak sabitkan orang itu dengan kesalahan. Jadi kita perlu perhatikan perkara ini dengan betul.

 

Ianya berlaku dibeberapa Negara apabila dilaksanakan sesuatu hukuman contohnya diat, bunuh seperti  kemalangan, mati dan sebagainya. Bunuh mempunyai banyak jenis seperti bunuh dengan sengaja, bunuh dengan tidak sengaja dan sebagainya. Jadi secara umumnya sesuatu Negara itu mencuba untuk melaksanankan hukum diat iaitu ganti rugi seekor unta seperti 1000 ribu tadi. Tetapi apa yang berlaku adalah pemandu lori mogok. Jika pemandu lori mogok maka tiada orang yang akan menghantar barang ke merata tempat. Lalu ekonomi pun akan jatuh. Itu mungkin apa yang disebutkan sebagai suasana yang tidak kondusif. Ianya bukan hendak menolak hudud itu tetapi apabila hendak melaksanakan hudud banyak perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Tidak dapat dibayangkan orang Islam menolak hudud kecuali ada segelintir daripada awal lagi telah menolak hudud. Ini berlaku kerana ketidak fahaman mereka tentang hudud, tetapi jika mereka faham apa itu hudud disamping takzir, maka dia akan terima dan berfikir bagaimana hendak melaksanakannya. Contohnya jika kita melihat orang tidak memakai tudung dan kita mengetahui orang yang tidak memakai tudung itu adalah berdosa tetapi kita berfikir bagaimana hendak menyampaikan kepadanya. Adakah hendak menyampaikannya dengan cara kita mengambil tudung dan menyeruh adik beradik perempuan kita untuk memegangnya dan kita memakaikannya tudung? Ataupun kita perlu menasihatinya dan bagaimanakah caranya?

Kita pergi kepada perkara yang asas contohnya seperti Hassan dan Hussein nampak seorang pak cik mengambil air sembahyang dengan tidak betul jadi bagaimana mereka menasihatinya? Dia tidak katakan, ‘saya adalah cucu Rasulullah’. Dia hanya memberitahu, ‘pak cik saya dan adik saya bergaduh, siapakah wuduk yang lebih elok sekali.’ Selepas megambil wuduk barulah pak cik itu sedar bahawa mereka sedang mengajar pak cik itu dan pak cik itu pun berterima kasih.

Jadi apabila hendak sampai ketahap itu ada orang yang mustaqjilun bermaksud hendak cepat sangat. Sebenarnya bukan masalah hendak cepat tetapi masalahnya adalah apabila kita berusaha mengikut langkahnya insyaallah perkara itu akan Allah berikan kepada kita.

“Kalau kamu bantu Allah dan bantu agama Allah, maka Allah akan bantu kamu”.

Akidah dahulu sebelum menegakkan hudud

Tetapi agama Allah pun seperti tauhid pun tidak lepas lagi, maka bagaimana hendak melaksanakan hudud? Sedangkan masalah sihir, hantu dan sebagainya, aqidah tentang itu pun tidak lepas lagi. Masih ramai dikalangan orang Islam yang di dalam rumah sendiri pun takut hendak pergi ke bilik air bukan takutkan lipas, cicak ataupun lipan, tetapi takut hantu. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Jadi banyak perkar-perkara yang perlu di perhatikan.

 

Jadi perkara ini kita boleh dapat dengan step yang pertama iaitu kembali kepada langkah-langkah jihad yang dinyatakan oleh al-Imam Ibn Qaiyim. Ianya mempunyai 13 langkah yang pertama ialah menetang diri iaitu jiwa kita supaya menimba ilmu, beramal, berdakwah dan bersabar. Jika kita lihat berapa ramai dikalangan kita yang mempunyai ilmu yang mencukupi di dalam agama? Contohnya ada berapa sekolah tahfidz di Malaysia? Ianya banyak. Berapa banyak masjid-masjid yang diimamkan oleh hafidz-hafidz? Ianya juga sudah bayak.

Antara kualitinya adalah pertama dari sudut hafalan, yang kedua imam itu tahukah apa isi al-Qur’an itu, tajwidnya lepas atau tidak, tafsir secara ringkas lepas atau tidak? Jika di Arab Saudi dia akan tanya hukum tajwid ini apa, maka dia akan menjawab dengan terus dan pelbagai soalan tentang tafsiran ringkas tentang sesuatu perkara akan ditanya kepada orang yang hendak menghafal al-Qur’an ini. Tetapi disini kebanyakannya sekolah mungkin akan melihat kepada hafalan, mereka menganggap hafalan itu akan membuatkan IQ menjadi tinggi. Benar IQ akan menjadi tinggi tetapi perlu kepada bantuan-bantuan. Jika seperti orang Arab mereka boleh hanya menghafal sahaja kerana mereka telah memahami maksudnya. Mungkin sebahagian mereka tidak faham, itu akan pergi kepada tafsir muasal iaitu tafsir yang ringkas. Tetapi orang melayu kita sebahagian sekolah di sini hanya mengajar hafalan sahaja.

Kita kadang-kadang apabila mendengar akan merasa ada sesuatu yang tidak kena di situ. Mereka adalah orang yang memang khusus di dalam pengajian Islam tetapi masih ada kelemahan-kelemahannya. Cuba kita bayangkan orang yang jauh daripada pengajian Islam adakah ianya sesuai ataupun tidak. Apabila berlaku kekalutan di dalam perlaksanaan, apabila mereka melihat sahaja mereka akan menjadi benci kepada Islam sedangkan apabila hudud dilaksanakan orang menganggap itulah keadilan yang sepatutnya. Itulah yang kita hendak kembalikan tetapi caranya adalah sedikit demi sedikit.

Ketika Rasulullah di Makkah lagi ada orang yang sudah pun meminta supaya, ‘Wahai Rasulullah doakan supaya Allah turunkan pertolongan kepada kita.’ Nabi berkata pada zaman dahulu orang dimasukkan ke dalam tanah setengah dan dipotong dengan gergaji besi tetapi tidak meninggalkan agamanya. Ada juga yang dagingnya disikat dengan sikat besi juga tidak meninggalkan agamanya. Tetapi kamu adalah kaum yang tergopoh gapah. Kerja tidak dilakukan tetapi hendak hasil yang cepat sahaja.

Rakaman oleh Abu Aqif Studio

“Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

 

Ustaz Dr. Fadlan Mohd Othman 

Oleh kerana persamaan yang ketara di dalam matlamat tauhid inilah kita hanya mendapati golongan sufi atau tasawwuf daripada kalangan ahli kalam sahaja samada al Asyairah ataupun Maturidiah. Maksudnya di sini golongan sufi boleh klik dengan golongan ilmu kalam. Golongan salaf yang sempurna tauhidnya tidak akan merasakan kesan vacum itu lalu mereka tidak akan memerlukan pemikiran tasawwuf itu. Kerana itu kita akan dapati seorang itu aqidahnya al-asyari, kemudian tarikatnya Naqsyahbandi dan sebagainya. tetapi jika seseorang itu aqidahnya salafi maka dia tidak perlukan tarikat lagi kerana ibadat itu sudah ada di dalam aqidahnya. Tarikat itu adalah satu unsur pergerakan ibadat.

Tauhid yang tidak menekankan uluhiyah ataupun ubudiyyah iaitu pengabdian diri hanya kepada Allah akan membuka ruang kepada syirik. Oleh sebab itu kita dapati ibadah golongan ini sering tercemar dengan amalan berunsur syirik. Walaupun mereka menyembah Allah, berpuasa, berzakat dan mengerjakan haji kerana Allah, kita dapati mereka meminta perlindungan daripada malapetaka, bencana dan kecelakaan daripada selain Allah seperti bomoh, tangkal, penunggu, puaka dan lain-lain.

Adakah orang yang aliran aqidah salafi menggunakan kayu koka, pakai tangkal dan sebagainya? Tidak kerana yang ada hanyalah golongan ilmu kalam yang terpengaruh dengan sufizem. Adakah yang kita lihat orang aliran salafi apabila masuk ke masjid mereka memegang tiang untuk mengambil berkat. Ianya tidak ada. Yang ada hanyalah golongan yang bukan salafi kerana mereka punya konsep ibadatnya mempunyai pencemaran. Mungkin dia sendiri tidak perasan dengan perkara tersebut.

Mereka juga cenderung memohon hajat tertentu daripada makhluk seperti wali yang disangkakan keramat yang sudah mati dengan sangkaan wali itu menjadi perantaraan antara mereka dan Allah untuk menghampirkan diri mereka kepada Allah. Kita mungkin pernah melihat gambar-gambar wali yang diatasnya ditulis ‘wali-wali Allah tidak ada ketakutan keatas mereka dan mereka tidak akan sedih’. Jadi ada orang mungkin menganggap itulah wali-wali Allah sedangkan ayat itu sendiri selepasnya menyatakan ‘mereka yang beriman dan bertaqwa’. Jika beriman bagaimana adakah kita boleh mengambil berkat daripada manusia ini contohnya daripada gambar dan sebagainya?

Baru-baru ini Raja Muda Perlis telah menitahkan supaya gambar-gambar yang dilekatkan di kedai-kedai  kononya untuk melariskan itu agar diturunkan kerana semuanya menyalahi aqidah. Mereka merasakan apabila mereka meletakkan gambar wali-wali itu di kedai maka mereka tidak akan mendapat gangguan tetapi apabila mereka menurunkannya lalu perasaan mereka dengan diganggu oleh syaitan pula mereka merasakan mendapat gangguan. Jadi ini adalah kepercayaan yang dipermainkan oleh syaitan di samping aqidah mereka mempunyai masalah. Jika di sisi ulama salah tujuan aqidah kita mengenali Allah adalah beribadat kepada Allah bukannya mengenali Allah.

Inilah kesannya apabila sumber ilmu di dalam aqidah adalah tercemar. Bagaimana ianya boleh berlaku kerana ulama salaf mendahulukan al-Qur’an dan al-Hadith. Manakala ulama ilmu kalam mendahulukan ilmu kalam kemudian baru al-Qur’an atau al-Hadith.

Perlu diingat kriteria pertama golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenarnya ialah sumber ilmu mereka dalam aqidah hanyalah al-Qur’an dan al-Sunnah. Manakala hadithnya adalah hadith yang sahih. Kriteria yang kedua adalah tauhid yang lengkap dengan Tauhid Uluhiyah sebagai kemuncaknya yang mana matlamatnya ialah mengesakan Allah dengan ibadah.

Rakaman oleh Abu Aqif Studio

“Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:- http://www.youtube.com/watch?v=qItXt-c3Z4M