Arkib

Monthly Archives: Oktober 2012

Dr. Fadlan Mohd Othman

Jika kita mandikan jenazah, bolehkah kita membawa anak-anak sekali?

Mungkinkah ada yang disebut sebagai badi. Badi itu bermaksud mempunyai gangguan ataupun tatayur iaitu ada kecelakaan yang berlaku kepada orang  itu. Contohnya jika kita membawa anak-anak ke tempat-tempat yang mempunyai jenazah, jadi mungkin apabila anak itu pulang dia akan demam, sakit dan sebagainya.

Jadi secara umumnya tatayur/ tiyarah ini suatu perkara yang merupakan pandangan ataupun kepercayaan masyarakat jahiliah. Kita hendak nyatakan di sini bahawa gangguan itu ada tetapi biasanya gangguan ini akan berlaku kepada orang yang lemah semangat. Sesiapa yang lemah semangat dan imannya juga lemah maka dia mudah diganggu tetapi jika orang yang kuat, seorang yang tegas dan mempunyai iman yang tinggi kebiasaannya susah hendak diganggu oleh syaitan.

Jadi di dalam urusan ini apa yang kita perlu lakukan adalah ajarkan anak zikir pagi dan petang sebelum tidur dan ketika bangun tidur (seperti yang disusun oleh Dr Said bin Ali bin Wahf al-Qahthani yang diambil dari Kitab al-Adzkar Imam Nawawi).

Jadi apabila dia mempunyai benda itu maka dia telah mempunyai benteng dan anak yang tidak tahu bentengkan diri sendiri, kita yang perlu bentingkannya seperti apa yang Nabi saw bacakan kepada al-Hassan dan juga al-Husein,

“Aku lindungkan engkau berdua dengan kata-kata Allah yang maha sempurna daripada setiap syaitan dan hammah(binatang-binatang yang boleh menyakitkan) dan juga daripada pandangan mata yang boleh menjadikan seseorang itu sakit ataupun mati”

Kerana apabila anak-anak kita keluar dan kita tidak membaca apa-apa lalu mereka balik sahaja demam dan sebagainya. Jadi ini adalah sampuk tetapi cara yang kita hendak mengatasinya itu dengan kita meletak penyapu, gunting seolah-olah syaitan itu takut kepada gunting dan penyapu. Maka semua perkara ini tidak perlu kita lakukan, bahkan itu semua adalah cara-cara yang digunakan oleh syaitan untuk mempermainkan anak-anak Adam.

Jadi cara yang betul adalah kita berlindung dengan Allah daripada mereka.

12/9/2012

Rakamanoleh Abu Aqif Studio

Teksd isediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=Q-nagOLVMtU

Dr. Fadlan Mohd Othman

Jika ada riwayat yang ada di hadapan kita ini lafaznya ialah tidak boleh memegang al-Qur’an kecuali makhluk yang suci. Jadi yang disebut seperti mana yang saya perhatikan ialah al-Qur’an.

Al-Qur’an ini membawa banyak maksud. Jika kita pergi kepada ilmu usul tafsir, awal-awal lagi kita perlu belajar takrif al-Qur’an. Maka Qur’an itu antara maksudnya adalah yang pertama yang dibaca.

Yang kedua al-Qur’an dengan maksud kumpul iaitu ayat-ayat wahyu yang diturunkan dikumpulkan samada dikumpulkan di dalam hati manusia ataupun di dalam kertas lembaran mushaf.

Jadi di sini ada dua maksud, maka tiada masalah untuk mengambil maksud yang mana satu pun kerana di zaman Nabi saw memang al-Qur’an ditulis dan dikumpulkan tetapi adakah dikumpulkan di satu tempat? Ini adalah maksud lain. Dikumpulkan adalah bermaksud dicatat.

Apa sahaja ayat al-Qur’an yang turun, Nabi akan menceritakan kepada para sahabat dan Nabi akan lantik beberapa orang para sahabat untuk menjadi penulis-penulis wahyu. Mereka akan mencatat dan menyimpannya. Kerana itu apabila sampai zaman Abu Bakar al-Siddiq, apabila dia hendak mengumbulkannya mudah kerana benda itu telah ada hanya perlu kumpul dan diletakkan di satu tempat. Apabila sampai zaman Uthman, dia mengambil hasil kumpulan itu dan memastikan/ menyemak semula.

Jadi al-Qur’an itu mempunyai dua maksud samada yang dibaca ataupun yang dikumpulkan di dalam sebuah mushaf. Dan apabila dikumpulkan ertinya yang dikumpulkan di dalam kertas ataupun kayu, kulit dan sebagainya.

Rakaman oleh Abu Aqif Studio

26/9/2012

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=swMeN4TgMlY

Dr. Fadlan Mohd Othman

Al-Qur’an di dalam hp tidak termasuk di dalam kategori Qur’an yang kita bincangkan ini. Ianya tidak dikira mempunyai hukum yang sama. Contohnya seperti para ulama kita yang menyatakan jika ayat al-Qur’an ini jelas tertulis maka kita jelas memegangnya. Ianya adalah fizikil tetapi jika di dalam hp kita hanya memegang getaran-getaran yang tidak membawa hukum yang sama. Jadi mereka tidak menghukum sama. Jadi bolehlah jika hp yang mempunyai bacaan atau penulisan al-Qur’an dibenarkan membawa ke dalam tandas.

Bahkan setengah ulama menyatakan apabila soalan ditanya tentang duit Arab Saudi yang ditulis ‘lailahailallah’ bolehkah dibawa masuk ke tandas? Jadi mereka menyatakan jika benda itu diletakkan diluar akan menyebabkan hilang maka dibolehkan membawanya sekali masuk ke dalam tandas.

Jika kita membawa al-Qur’an pergi ke masjid tidak mengapa tetapi jika kita pergi ke Masjidil Haram membawa al-Qur’an dan jika kita letak diluar boleh menyebabkan terlupa, hilang  dan sebagainya maka dibenarkan membawanya masuk sekali.

26/9/2012

Rakaman oleh Abu Aqif Studio

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=XG6ZEIfc7yg

Adab meminta izin ketika berziarah dan memasuki rumah orang

Dr. Fadlan Mohd Othman

Ada satu kes apabila kita tidak mahu orang masuk ke dalam rumah kita apa yang perlu kita lakukan adalah contohnya orang datang dan memberi salam, ‘Assalamualaykum’. Dia menjawap ‘Walaykumsalam’. Orang yang datang itu berkata lagi, ‘Saya hendak menziarah’. Pak cik berkata, ‘pak cik tidak bersedia untuk menerima awak menziarah hari ini, bolehkah datang empat hari lagi’.

Maka disitu orang yang datang menziarah itu tadi tidak boleh berkata apa-apa kerana di dalam ayat al-Qur’an disebutkan bahawa jika kita diizinkan masuk kita masuk tetapi jika tidak diizinkan maka kita perlu balik,

Allah subhanahu wa Ta’aalaa berfirman:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لاَ تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتىَّ تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَى أَهْلِهَا ذَالِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat”. (surah an-Nur, ayat 27)

Apabila meminta izin tetapi tidak dibenarkan maka baliklah itu lebih baik. Tetapi kita kadang-kadang dalam masyarakat kita apabila memberi salam dan menjawap salam maka perlu memberi dia masuk sedangkan menjawap salam contohnya ada orang datang dan memberi salam ‘Assalamualaykum’. Kita menjawap ‘Walaykumsalam’. Dia berkata lagi ‘bolehkah saya masuk’. Kita menjawap tidak boleh maka orang itu akan berkata seperti tidak berpuas hati dengan tindakan kita. Tetapi sebenarnya kita perlu belajar bahawa boleh sahaja kita katakan ‘Walaykumsalam’ dan tidak membenarkan masuk.

Perkara seperti ini dibenarkan. Oleh itu orang yang datang itu tadi perlulah berlapang dada. Allah telah berkata itu adalah lebih baik kerana mungkin ada masalah dirumah yang tuan rumah tidak mahu kita lihat. Jadi kita perlu hormati perasaannya.

Rakaman oleh Abu Aqif Studio

“Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=8q_WMgfHZzM

 

Adab memberi dan menjawab salam

Dr. Fadlan Mohd Othman

Jika seseorang itu memberi salam sebaiknya kita menjawapnya dengan lebih baik. Tetapi jika sudah memberi salam itu dengan sehabis baik contohnya ‘Assalamualaykum Warahmatullahi Wabarokatuh’, maka jawapannya ialah ayat tersebut yang telah dibacakan tadi,

وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا إِنَّ اللهَ كَانَ عَلَى كُلِّ شَيْئٍ حَسِيبًا

“Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan lebih baik, atau balaslah (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu”. (surah an-Nisa, ayat 86)

Kita tidak wajib menjawab dengan lebih baik tetapi jika ada yang lebih baik maka jawaplah dengan lebih baik. Jika tiada yang lebih baik maka jawaplah sama sepertinya. Yang penting jangan menjawap kurang daripadanya contoh ucapan salam ‘Assalamualaykum Warahmatullahi Wabarokatuh’ dijawap dengan ‘Waalaykum Salam’. Jawaplah paling kurangnya sama. Tetapi jika salam diberikan seperti ‘Assalamualaykum’ dan di jawap ‘Waalaykum Salam Warahmatullah Wabarokatuh’ maka ini dibolehkan. Jika salam diberikan dengan penuh maka jawaplah sama seperti yang diberikan kepada kita.

Di dalam rancangan tanyalah ustaz, apabila dia hendak bertanya soalan dia memberi salam terlebih dahulu.

‘Assalamualaykum Warahmatullah’ ataupun ‘Assalamualaykum’ ucapan salam diberikan pada masa kita berjumpa dengan orang. Katakanlah sekarang ini saya berjalan bersama ustaz Ehsan tiba-tiba ustaz Ehsan keluar sebentar dan bertemu semula dengan saya, maka setuasi itu perlu memberi salam semula.

Hukum memberi salam adalah sunat tetapi hukum menjawap salam adalah wajib. Jadi sahabat Nabi apabila mereka berjalan dan di dalam perjalan mereka terpisah lalu jumpa semula dan memberi salam. Maka di sini menunjukkan salam digunakan semasa perjumpaan. Jadi jika kita awalnya sudah berjumpa kemudian tiada yang memisahkan kita maka tidak perlulah kita memberi salam.

Kecuali ketika khutbah apabila imam akan naik ke atas mimbar dan ketika berada diatas dia perlu memberi salam. Sewajarnya apabila orang memberi salam maka kita perlu menjawap salam tersebut. Menjawap salam tidak semestinya kuat contohnya jika orang datang ke rumah kita dan memberi salam lalu kita menjawap dengan perlahan maka dibolehkan asalkan kita menjawap salamnya.

Rakaman oleh Abu Aqif Studio

“Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=8q_WMgfHZzM

Soalan:

ASSALAMUALAIKUM Ustaz, Saya ingin mengetahui adakah dari sudut syarak keputusan yang di lakukan oleh arwah bapa saya betul. Sebelum bapa saya meninggal beliau telah membahagikan tiga perempat dari keseluruhan harta beliau kepada kedua orang adik saya kecuali saya dan abang saya.

Dari sudut hukum bolehkah berbuat sedemikian? Apabila bapa saya meninggal dunia adakah kedua-dua adik saya masih berhak ke atas baki satu perempat harta peninggalan?

 Zahari Abdul Aziz, Selangor

Jawapan:

Islam mengajar umatnya agar sentiasa berlaku adil. Orang yang berlaku adil akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah Taala.

Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya orang yang adil itu berada di sisi Allah, di atas menara-menara cahaya, di sebelah kanan Allah… iaitulah mereka yang berlaku adil dalam hukum mereka dan keluarga mereka serta apa yang mereka pimpin.” (Hadis Sahih riwayat al-Imam Muslim, No. 1827).

Sesungguhnya, di antara perkara yang diarahkan oleh Islam ialah agar umatnya berlaku adil dalam pemberian terhadap anak-anak. Seorang bapa atau ibu itu hendaklah memberi sesuatu pemberian itu secara adil kepada anak-anak mereka.

Keadilan inilah yang akan menjadikan kesemua anak-anak itu serupa dan sama dalam berbakti kepada ibu bapa mereka. Perkara ini telah pun ditekan oleh Rasulullah SAW dalam hadis berikut; al-Nu’man bin Basyir berkata, “Ayahku telah membawaku berjumpa Rasulullah SAW dan berkata, ‘Wahai Rasulullah! Saya mempersaksikanmu bahawa saya telah memberi al-Nu’man sebahagian daripada hartaku.’ Baginda bersabda, “Adakah semua anak-anakmu kamu berikan seperti mana kamu beri kepada al-Nu’man?” Ayah menjawab, ‘Tidak.’ Baginda bersabda, “Carilah orang lain untuk menjadi saksi.” Kemudian baginda berkata lagi, “Adakah engkau suka mereka semuanya berbakti kepadamu secara sama?” Ayah menjawab, ‘Ya.’ Baginda bersabda, “Jika begitu jangan beri hanya kepada dia.” (Hadis Sahih riwayat al-Imam Muslim, no. 1623).

Namun, sekiranya pemberian yang diberikan itu tidak sama antara satu anak dengan anak yang lain, tetapi anak yang tidak dapat itu menyetujui dan meredai, maka tiada masalah.

Dalilnya ialah satu riwayat di mana A’isyah r.a. telah berkata, ‘Sesungguhnya Abu Bakr al-Siddiq telah memberinya hasil tanaman sebanyak 20 wasaq daripada kebunnya...’ (Hadis riwayat al-Imam Malik dalam Muwatta’. Ibnu Hajar mengkategorikannya sebagai Sahih). Ibnu Hajar rahihamullah di dalam kitabnya Fathul Bari (5/215) telah mengatakan bahawa Urwah r.a. telah mengatakan bahawa adik beradik A’isyah r.a menyetujui dan meredai pemberian itu.

Dengan itu, berkenaan dengan harta sebanyak tiga perempat yang diberikan kepada dua orang adik saudara, ada dua keadaan; pertama, jika saudara dan abang tidak setuju dan tidak reda maka harta itu perlu dibahagi semula sama ada secara sama rata atau mengikut pembahagian faraid.

Secara ringkasnya, mengikut hukum faraid, anak lelaki mendapat dua bahagian dan anak perempuan mendapat satu bahagian. Keadaan kedua, jika saudara dan abang setuju dan reda, maka tiada apa yang perlu dilakukan.

Berkenaan dengan harta yang berbaki, iaitu sebanyak satu perempat keseluruhan pewaris termasuk kedua-dua adik saudara tetap mempunyai hak ke atas harta ini mengikut apa yang diperuntukkan dalam hukum faraid.

Silalah rujuk kepada Mahkamah Syariah atau Jabatan Agama berdekatan untuk mendapat pembahagian yang terperinci berdasarkan harta yang ditinggalkan dan pewaris yang layak menerima.

Di kesempatan ini saya ingin menasihatkan para pembaca sekelian, khususnya para ibu bapa agar sentiasa memikirkan unsur keadilan dalam pemberian kepada anak-anak semasa hidup.

Pemberian hendaklah dilakukan secara adil dan saksama. Adapun nafkah yang wajib, maka hendaklah diberikan kepada anak-anak mengikut keperluan mereka dan tidak perlu sama rata.

Semoga Allah memudahkan kita untuk berlaku adil dan mengampunkan kelemahan dan kesilapan kita dalam pemberian dan pengagihan harta.

Sebagai makluman tambahan, hendaklah kita mengetahui bahawa hukum nafkah anak-anak adalah wajib dan tidak sama dengan pemberian yang bukan merupakan nafkah. Nafkah adalah perbelanjaan yang merangkumi makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, perkahwinan dan kesihatan.

Justeru, keadilan dalam memberi nafkah ialah yang sewajarnya dan yang sesuai dengan keperluan anak. Sebagai contoh jika terdapat lima orang anak dan kesemuanya memerlukan pakaian maka hendaklah dibelikan pakaian untuk setiap seorang daripada mereka berlima.

Akan tetapi jika hanya tiga sahaja yang memerlukan pakaian, maka belilah untuk tiga orang itu sahaja dan tidak perlu dibelikan untuk yang dua lagi. Jika dibelikan juga untuk yang dua lagi itu, dikhuatiri boleh terjerumus ke dalam pembaziran kerana mereka berdua tidak memerlukannya.

Satu perkara lagi, perlulah dibezakan antara lelaki dan perempuan. Pastinya keperluan anak lelaki tidak sama dengan keperluan anak perempuan. Bila sang ayah memberi nafkah anak-anaknya mengikut keperluan mereka, inilah yang dinamakan keadilan.

DR. FADLAN MOHD. OTHMAN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia selain Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia. Sebarang persoalan bolehlah di e-melkan di alamat berikut, mingguanmail@gmail.com

Siaran akhbar Ahad, 30 September 2012

 

Ustaz Dr. FadlanMohd Othman

Hukum muslimah pergi haji atau umrah berkumpulan tanpa mahram lelaki adalah hajinya sahih tetapi safarnya (perjalanannya) maksiat. Maksud safar adalah pengembaraannya. Saya pernah terdengar daripada sahabat bertanya tentang peramugari yang pergi ke sana dan ingin membuat umrah, maka sahkah umrahnya. Jadi jawapannya adalah umrahnya sah tetapi pemergiannya itu jika tanpa mahrah maka berdosa kerana ianya menyalahi perintah Rasulullah saw.

Dari sudut mazhab ada yang menyatakan khususnya di dalam Mazhab Syafie menyatakan boleh pergi dengan rukhsah solehah iaitu satu kumpulan perempuan yang dipercayai. Tetapi itu adalah pandangan (ijtihad) manakala hadith Nabi jelas menunjukkan perlunya ada mahram.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

لَا تُسَافِرْ الْمَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ وَلَا يَدْخُلُ عَلَيْهَا رَجُلٌ إِلَّا وَمَعَهَا مَحْرَمٌ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أَخْرُجَ فِي جَيْشِ كَذَا وَكَذَا وَامْرَأَتِي تُرِيدُ الْحَجَّ فَقَالَ اخْرُجْ مَعَهَا

Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama dengan mahram. Dan jangan bersendirian seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan bersama wanita itu mahramnya.” Tiba-tiba seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku akan keluar untuk berperang, dan isteri-ku pula hendak pergi menunaikan haji.” Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab: “Pergilah kamu bersama isteri-mu (menunaikan haji).” (Muttafaqun alaihi – HR Bukhari dan Muslim ).

Dalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang lain, nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

لا يحل لامرأة تؤمن بالله واليوم الآخر أن تسافر سفرًا يكون ثلاثة أيام فصاعدًا إلا ومعها أبوها أو أخوها أو زوجها أو ابنها أو ذو محرم منه

Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk keluar tiga hari ke atas melainkan bersama-samanya bapanya atau saudara kandung lelakinya atau suaminya atau anak lelakinya atau mana-mana mahramnya. (di dalam riwayat lain, ada dinyatakan satu hari satu malam, dan dua hari dua malam).

Di sini mempunyai 2 pandangan yang agak kuat antaranya ialah seperti yang kita sebutkan tadi jika tiada mahram tetapi dia tetap melaksanakan haji, maka hajinya adalah sah tetapi perjalanannya sahaja yang tidak sah dan berunsur maksiat. Dengan itu dia perlu bertaubat dengan sebenar-benar taubat.

Pandangan yang kedua menyatakan jika mempunyai kumpulan perempuan yang boleh dipercayai, maka perjalanannya adalah perjalanan yang tidak maksiat. Saya lebih cenderung kepada pendapat yang pertama.

30/10/2011 –Ahad

Yayasan Ta’lim

Rakamanoleh Abu Aqif Studio

Teksdisediakanberdasarkanrakamanberikut:

http://www.youtube.com/watch?v=TMgIT29xpXQ

Awasi & Didik Anak Ketika Menonton TV

Dr. Fadlan Mohd Othman

Kita perlu mempunyai taktik dengan anak-anak ini antaranya jika menonton tv, video atau sebagainya tontonlah bersamanya. Apabila ada babak yang tidak kena, kita perlu jelaskan kepadanya contohnya kita tidak boleh menggambarkan malaikat itu sebagai perempuan seperti bidadari yang digambar segelintir masyarakat. Malaikat sememangnya mempunyai sayap tetapi apabila mereka menganggap malaikat adalah perempuan, ini adalah Akidah Musyrikin. Allah swt tidak pernah menyatakan jantina malaikat tetapi kebiasaannya malaikat menjelma di dalam bentuk lelaki.

Maka disini kita perlu jelaskan kepada anak kita bahawa malaikat tidak seperti itu. Jangan kita membiarkan sahaja anggapan anak kita terhadap malaikat itu salah dan menganggap perkara itu kecil. Saya pernah melihat sekali sekali drama Indonesia yang mempunyai watak angel iaitu bidadari yang dianggap malaikat. Tetapi di Indonesia kebiasaannya pelakonnya berwajah kacukan dan cantik. Wataknya seperti tadi mempunyai sayap dan sentiasa memberi nasihat, maka ini adalah Akidah Musyrikin. Perkara ini nampak mudah contohnya kita hendak melarang dia datang ke rumah kita, dia akan pergi ke rumah sahabat kita yang jauh kerana kita tidak dapat memberi arahan ataupun taklimat kepadanya.

Lalu pula di sebelah Batu Caves dan melihat tokongnya agak cantik, maka kita perlu jelaskan itu memang cantik tetapi Allah tidak menyukainya. Budak-budak akan bertanya mengapa Allah tidak suka. Maka jawaplah kerana itu adalah toghut. Maksud toghut adalah benda yang disembah selain Allah. Jangan biarkan anak kita terus hanyut dengan bergurukan tv yang lebih dasyat daripada syaitan.

Jadi inilah antara perkara yang boleh kita lakukan iaitu mengenalpasti kebaikan dan keburukan. Kebaikan kita ambil dan keburukan itu kita tolak dan orang yang berada di bawah tanggungan kita khususnya kita perlu jaga. Jagalah dengan mendekati bukan sahaja jaga dengan menguasai sahaja. Contohnya kita berkuasa di rumah tetapi bertanya sebarang soalan pun tidak boleh malah kita tidak memberitahu atau menasihati mereka. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Kita perlu mendekati mereka dan menasihati mereka yang mana baik dan yang mana buruk untuk mereka.

Rakamanoleh Abu Aqif Studio

Teksdisediakanberdasarkanrakamanberikut:

http://www.youtube.com/watch?v=JaT9FydJmU8

 

Bersama Ustaz Dr. Fadlan Mohd Othman

Soalan: Saya telah mengerjakan umrah pada 2002. Saya telah berniat ihram di miqat qarnul manazil secara tidak sengaja saya melanggar pantang larang dalam ihram iaitu mengerat kuku. Dalam masalah saya apakah jenis dam yang perlu saya bayar? Untuk pengetahuan ustaz, saya sudah berpuasa selama tiga hari sebagai membayar dam atas kesalahan saya. Adakah sah puasa saya?- Mak Su, Ipoh, Perak.Islam adalah agama yang menepati naluri dan fitrah manusia. Pensyariatan dalam Islam bersifat mudah dan tidak membebankan. Allah Ta’ala telah menyatakan dalam Surah al-Haj ayat 78 yang bermaksud, 

”Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam agama.” 

Al-Imam Ibnu Kathir semasa mentafsirkan ayat ini, telah berkata, “Allah tidak mempertanggungjawabkan kamu dengan sesuatu yang kamu tidak mampu. Jika perkara yang diwajibkan ke atasmu itu membebankan kamu, maka pasti Dia akan memberi kemudahan. Sebagai contoh, solat yang merupakan amalan terhebat selepas dua kalimah syahadah diwajibkan empat rakaat semasa bermastautin, namun semasa mengembara dipendekkan kepada dua rakaat.”

Seterusnya, di antara kemudahan yang Allah Taala berikan kepada umat Islam ialah segala tuntutan terhadap pelanggaran amalan dalam Islam dikecualikan dalam tiga situasi. Situasi pertama, tersilap atau tidak sengaja. Situasi kedua, terlupa manakala situasi ketiga, terpaksa. Rasulullah SAW telah menjelaskan perkara ini dalam sabdanya yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah memaafkan untuk umatku kesalahan yang dilakukan kerana tersilap, terlupa dan terpaksa” (Hadis riwayat al-Imam Ibnu Majah, No. 1675. Disahihkan oleh al-Albani).

Allah Taala juga telah menjelaskan bahawa kesalahan yang boleh dihukum ialah yang dilakukan secara sengaja, manakala perbuatan yang dilakukan secara tersilap adalah dimaafkan. Allah Taala telah berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 5 yang bermaksud,

“Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” 

Berdasarkan kepada kaedah ini, dapatlah saya menjawab soalan Mak Su bahawa melanggar pantang larang dalam ihram seperti mengerat kuku secara tidak sengaja adalah dimaafkan dan Mak Su tidak perlu membayar sebarang dam. Adapun puasa tiga hari yang Mak Su lakukan itu, semoga Allah menerimanya sebagai amalan puasa sunat daripada Mak Su.

Sebagai maklumat tambahan, sukacita saya membawakan satu hadis yang menunjukkan bahawa kafarah atau dam bagi orang berihram yang melanggar pantang larang ihram seperti mencukur rambut, mengerat kuku, menutup kepala, memakai baju, memakai tutup muka atau sarung tangan untuk perempuan dan seumpamanya; ialah menyembelih binatang ternakan atau berpuasa tiga hari atau memberi makan kepada enam orang miskin; setiap seorang diberikan setengah gantang makanan. Perkara ini terdapat dalam hadis berikut,

“Ka’b bin ‘Ujrah berkata, “Saya telah dibawa berjumpa Rasulullah SAW dalam keadaan kutu terjatuh-jatuh atas muka saya. Lalu Rasulullah berkata, ‘Aku tidak sangka sakitmu sampai ke tahap yang aku nampak ini. Adakah engkau mampu sembelih kambing?’ Lalu aku menjawab, ‘Tidak.’ Rasulullah bersabda, ‘Maka puasalah tiga hari atau beri makan kepada enam orang miskin, setiap seorang itu diberikan setengah gantang makanan.’ “
(Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari, No. 1816; 4517, dan juga al-Imam Muslim, No. 1201).Semoga Allah Taala memudahkan untuk kita mempelajari hukum-hakam amalan ibadah yang akan kita laksanakan dan menerima amalan kebaikan yang telah kita lakukan serta mengampuni segala kelemahan dan kesilapan.*DR. FADLAN MOHD. OTHMAN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia selain Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia.

Sebarang persoalan bolehlah di e-melkan di alamat berikut, mingguanmail@gmail.com

Siaran akhbar Ahad, 23 September 2012