Soal jawab 14 ; Melanggar pantang larang ihram
Bersama Ustaz Dr. Fadlan Mohd Othman

”Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam agama.”
Al-Imam Ibnu Kathir semasa mentafsirkan ayat ini, telah berkata, “Allah tidak mempertanggungjawabkan kamu dengan sesuatu yang kamu tidak mampu. Jika perkara yang diwajibkan ke atasmu itu membebankan kamu, maka pasti Dia akan memberi kemudahan. Sebagai contoh, solat yang merupakan amalan terhebat selepas dua kalimah syahadah diwajibkan empat rakaat semasa bermastautin, namun semasa mengembara dipendekkan kepada dua rakaat.”
Seterusnya, di antara kemudahan yang Allah Taala berikan kepada umat Islam ialah segala tuntutan terhadap pelanggaran amalan dalam Islam dikecualikan dalam tiga situasi. Situasi pertama, tersilap atau tidak sengaja. Situasi kedua, terlupa manakala situasi ketiga, terpaksa. Rasulullah SAW telah menjelaskan perkara ini dalam sabdanya yang bermaksud,
“Sesungguhnya Allah memaafkan untuk umatku kesalahan yang dilakukan kerana tersilap, terlupa dan terpaksa” (Hadis riwayat al-Imam Ibnu Majah, No. 1675. Disahihkan oleh al-Albani).
Allah Taala juga telah menjelaskan bahawa kesalahan yang boleh dihukum ialah yang dilakukan secara sengaja, manakala perbuatan yang dilakukan secara tersilap adalah dimaafkan. Allah Taala telah berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 5 yang bermaksud,
“Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Berdasarkan kepada kaedah ini, dapatlah saya menjawab soalan Mak Su bahawa melanggar pantang larang dalam ihram seperti mengerat kuku secara tidak sengaja adalah dimaafkan dan Mak Su tidak perlu membayar sebarang dam. Adapun puasa tiga hari yang Mak Su lakukan itu, semoga Allah menerimanya sebagai amalan puasa sunat daripada Mak Su.
Sebagai maklumat tambahan, sukacita saya membawakan satu hadis yang menunjukkan bahawa kafarah atau dam bagi orang berihram yang melanggar pantang larang ihram seperti mencukur rambut, mengerat kuku, menutup kepala, memakai baju, memakai tutup muka atau sarung tangan untuk perempuan dan seumpamanya; ialah menyembelih binatang ternakan atau berpuasa tiga hari atau memberi makan kepada enam orang miskin; setiap seorang diberikan setengah gantang makanan. Perkara ini terdapat dalam hadis berikut,
(Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari, No. 1816; 4517, dan juga al-Imam Muslim, No. 1201).Semoga Allah Taala memudahkan untuk kita mempelajari hukum-hakam amalan ibadah yang akan kita laksanakan dan menerima amalan kebaikan yang telah kita lakukan serta mengampuni segala kelemahan dan kesilapan.*DR. FADLAN MOHD. OTHMAN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia selain Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia.
Sebarang persoalan bolehlah di e-melkan di alamat berikut, mingguanmail@gmail.com