Manhaj Talaqqi Wal Istidlal (intro)
RINGKASAN PENDAHULUAN BERKENAAN TATACARA PENERIMAAN ILMU DAN PENDALILAN AGAMA ANTARA AHLI SUNNAH DAN PELAKU BID’AH
Yang berikut merupakan ringkasan pendahuluan yang ditulis oleh pengarang kitab Manhaj At Talaqqi Wal Istidlal Baina Ahlus Sunnah Wal Mubtadi’ah iatu Ahmad bin Abdul Ar Rahman As Suwayyan.
Kuliah ini disampaikan oleh
Profesor Madya Dr. Fadlan bin Mohd Othman
Jabatan Al Qur’an dan As Sunnah,
Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Segala puji bagi ALLAH, kita memuja-NYA, kita meminta pertolongan-NYA,kita meminta keampunan-NYA. Kita berlindung dengan ALLAH dari kejahatan kejahatan diri kita serta keburukan keburukan amalan kita. Sesiapa yang diberi hidayah oleh ALLAH maka tiada penyesatan untuknya dan sesiapa yang DIA sesatkan maka tiada petunjuk untuknya. Saya mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH, DIA sahaja,tiada sekutu bagi-NYA dan saya mengaku bahawa Muhammad itu hamba-NYA dan utusan-NYA. Amma ba’d (adapun sesudah itu) ;
D iantara kelebihan ALLAH Azza Wa Jalla berikan ke atas umat ini adalah DIA menyempurnakan agama ini sehebat-hebat penyempurnaan dan mencukupkannya sehabis-habis pencukupan. ALLAH Taala berfirman, yang bermaksud;
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah Al Maa’idah: 3)
DIA tidak mewafatkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam melainkan sesudah Nabi menyampaikan risalah, menunaikan amanah dan menegakkan hujjah. Telah sahih dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa ia bersabda maksudnya:
“Sesungguhnya aku meninggalkan kamu di atas sesuatu yang menyerupai Baida’, malamnya seperti siangnya.Tidak akan terpesong darinya sesudah (ketiadaan)ku melainkan orang yang binasa.” (riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan sanadnya Sahih)
Setiap apa yang diperlukan manusia di dalam agama mereka, maka ia di dalam kitab ALLAH Azza Wa Jalla dan Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, sempurna tanpa kekurangan. ALLAH Ta’ala berfirman yang bermaksud ;
“Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu) dan Kami turunkan kepadamu Al-Qur’an menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan bagi orang orang Islam.”(Surah An Nahl: 89)
Begitu juga di dalam Surah An Nahl Ayat 44 iatu ;
“Dan kami pula turunkan kepadamu ( wahai Muhammad) Al Qur’an yang memberi peringatan supaya engkau menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka.”
Serta di dalam Surah Al Hasyr Ayat 7 iatu ;
“Dan apa jua yang perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-NYA.”
Maka disimpulkan di dalam ayat ini dan ayat Surah An Nahl, apa yang tidak di-nas-kan terhadapnya dari apa yang tidak disebut oleh -NYA. Benarlah perkhabaran ALLAH bahawa DIA tidak biarkan di dalam Kitab sebarang sesuatu melainkan DIA telah menyebutnya sama ada secara perincian ataupun secara pengusulan (dasar). ALLAH berfirman ;
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu.” (Surah Al Maa’idah: 3)
Penyempurnaan agama adalah satu nikmat agung dari sebesar besar nikmat ALLAH ke atas ahli Islam. Disebabkan itu golongan Yahudi telah berkata kepada Salman Al Farisi Radhiyallahu Anhu ; “Demi sesungguhnya Nabi kamu telah mengajarkan kamu semua perkara sehinggakan cara membuang air!” Salman berkata, “Benar! Nabi telah melarang kami daripada menghadap kiblat ketika membuang air besar dan kecil juga, melarang daripada beristinjak dengan tanan kanan serta melarang daripada beristinjak dengan kurang dari tiga biji batu atau daripada beristinjak dengan najis kering ataupun dengan tulang.” (riwayat Muslim Kitab Taharah bab Istitabah)
Abu Dzarr Al Ghifari Radhiyallahu anhu berkata ;
“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam telah meninggalkan kami dalam keadaan tiada sesuatu yang terbang dengan dua sayapnya kecuali di sisi kami ada ilmu mengenainya.” (riwayat Ahmad & Ibnu Hibban)
Apabila telah nyata semua itu, diketahui bahawa Kitabullah dan As Sunnah merupakan asal pendalilan di dalam agama dan manusia tidak perlukan kepada sumber-sumber yang lain; melainkan sumber-sumber yang dibina di atas kedua-duanya seperti Ijmak dan Qiyas. Imam As Syafi’e rahimahullah telah berkata, “Tidak terjadi pada seseorang dari kalangan ahli agama ALLAH sebarang kejadian melainkan d idalam kitab ALLAH terdapat panduan kepada jalan petunjuk mengenainya.” (Ar Risalah)
Ibnu Taimiyyah Rahimahullah berkata, “Dan anda tidak akan dapati sesiapa yang berkata bahawa dia perlukan kepada selain dari atsar-atsar (hadis hadis) Rasul melainkan ORANG YANG LEMAH PENGENALAN dan IKUTAN TERHADAP ATSAR ATSAR NABI sallallahu ‘alaihi wa sallam. Jika tidak masakan orang yang melaksanakan apa yang didatangkan oleh Kitab dan Sunnah adalah lebih mulia mengatasi pengetahuan golongan yang terdahulu dan terkini serta dicukupkan oleh ALLAH dengan cahaya yang diutus bersama Muhammad daripada apa yang selainnya.” (As-Safadiyyah)
Ditambah kepada kesahihan dalil, sesungguhnya istiqomah pendalilan akan menyelamatkan seseorang itu dari penyimpangan dan penyelewengan. ALLAH berfirman, yang bermaksud;
“Maka adakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan dia selalu jatuh) tersungkur diatas mukanya: boleh mendapat hidayah -atau orang yang berjalan tegak betul melalui jalan yang lurus rata?” (Surah Al Mulk: 22)
Dalil yang sahih yang akan menerangi jalan seseorang, menjadikannya berjalan di atas kesungguhan yang benar lagi lurus serta melindunginya dari keinginan-keinginan (hawa nafsu) dan kesesatan fitnah-fitnah. Barangkali di antara punca perpecahan, kemunculan bid’ah-bid’ah dan keinginan-keinginan yang paling nyata adalah: terumbang-ambingnya manusia di dalam masalah penerimaan dan pendalilan. Betapa banyak kebutaan ni telah mengheret penyelewengan dan kerosakan?
Betapa banyak amalan amalan bid’ah dan kesyirikan yang diwarisi oleh manusia generasi demi generasi dengan sebab mereka berpaling dari Kitabullah dan Sunnah; baik dari segi penerimaan, pemahaman dan perlaksanaan.
Saya merasakan keprihatinan terhadap bab ini termasuk kewajipan paling wajib yang para Ulama’, golongan reformis dan para pendakwah. Oleh itu saya (pengarang) berpendapat untuk menulis satu risalah ringkas berkenaan tatacara pendalilan di dalam masalah syariah dan saya namakan ia: (Tatacara Penerimaan dan Pendalilan Diantara Ahli Sunnah dan Pelaku Bid’ah), walaupun dengan kelemahan dan kekurangan bekalan dalam mengharapkan dari ALLAH Taala agar saya ditepatkan dengan keelokan dan kemudahan pembentangan.
Saya telah memulakan risalah ini dengan satu pengenalan ringkas dengan tajuk:
Tanda Tanda Pemikiran dan Penghujahan Agama diantara Jahiliyyah dan Islam.
Kemudian saya bahagikan risalah kepada dua bab:
Bab Pertama: Tatacara Ahli Sunnah di dalam Penerimaan dan Pendalilan
dan ia mengandungi usul usul yang berikut:
Usul Pertama: Mengagungkan Nas nas Syariah
Usul Kedua : Bersandarkan Kepada Sunnah Yang Sahih
Usul Ketiga: Kesahihan memahami Nas Nas
Bab Kedua: Laluan Pelaku Bid’ah Dalam Berurusan Dengan Nas Nas Syarak
dan ia mengandungi usul usul yang berikut:
Usul Pertama : Menolak Nas Nas Sabit Yang Bertentangan Hawa Nafsu Mereka,
Usul Kedua: Mempermainkan Usul – Usul Penghujahan Syariah dan Memburuk Burukkannya,
Usul Ketiga : Mereka-reka Usul baru Bagi Penghujahan Dan Penerimaan Ilmu
Saya memohon ALLAH Azza Wa Jalla agar menjadikan kita berpegang dengan Kitab-NYA dan Sunnah Nabi-NYA sallallahu ‘alaihi wa sallam serta agar Dia melindungi kita dari dorongan syaitan dan penyesatan keinginan dan cubaan.
Wa sallallahu ‘ala baiyyina Muhammad wa ‘alaihi wa sallam
Ahmad bin Abdur Rahman As Suwayyan
Disalin oleh rakan facebook
Disemak dan edit oleh Jabatan Penerbitan iLMU http://www.ilmuanmalaysia.com
Peringatan: Izin disebar untuk tujuan dakwah dan diskusi ilmiah semata-mata kerana mengharapkan wajah Allah. Untuk tujuan komersial dan perniagaan perlu mendapat izin bertulis.