Pendirian Orang Jahiliyyah (Musyrikin) Terhadap Hujah Hujah Yang Jelas
Pendirian Orang Jahiliyyah (Musyrikin) Terhadap Hujah Hujah Yang Jelas
Profesor Madya Dr. Fadlan bin Mohd Othman
Jabatan Al Qur’an dan As Sunnah,
Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Dari Kuliah Manhaj At Talaqqi Wal Istidlal Baina Ahlus Sunnah Wal Mubtadi’ah -Method Pengambilan Ilmu Dan Pendalilan Diantara Ahli Sunnah Dan Ahli Bid’ah
Apakah kita perlu mengetahui sesuatu yang salah ?
Ya ,kita bahkan perlu mengetahui sesuatu yang salah sebagaimana kita mahu mengetahui tentang kebaikan.Dalil bagi perbuatan ini adalah berkenaan pertanyaan yang dilontarkan oleh salah seorang sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam kepadanya ,iatu Huzaifah Al Yamani Radhiyallahu Anhu .
Diriwayatkan dari Huzaifah bin Al Yaman Radhiyallahu Anhu beliau berkata: Ramai orang bertanya mengenai kebaikan manakala aku menanyakan kepada baginda mengenai keburukan kerana aku khuwatir terjerumus kedalamnya. Maka aku bertanya kepada baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam: ‘Wahai Rasulullah ,sudah kami alami masa kejahilan dan kejahatan ,kemudian ALLAH mendatangkan kebaikan ini (Islam) kepada kita. Apakah setelah datangnya kebaikan ini ,akan datang keburukan lagi ? ‘
Baginda menjawab : ‘Ya ‘ -dan seterusnya – (riwayat Al- Bukhari dan Muslim)
Pendirian musyrikin/jahiliyyah terhadap dalil yang jelas adalah tersasar. Kebiasaannya apabila mereka tidak memiliki hujjah ilmiah untuk membalas maka mereka akan menolaknya dengan kebathilan. Silalah lihat bagaimana cara cara orang jahiliyyah dalam menolak hujjah hujjah (bukti bukti/keterengan) yang jelas :
1) Mereka Akan Membalas Hujah Dengan Kebathilan /Tidak Cerdik .
Silalah sahabat rujuk didalam Al Quran Surah Al Ghaffir Ayat 5 iatu :
“Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh dan puak-puak yang bergabung – sesudah kaum Nabi Nuh itu – telah mendustakan (Rasul-rasulnya), dan tiap-tiap umat di antaranya telah merancangkan rancangan jahat terhadap Rasul mereka untuk menawannya (dan membinasakannya); dan mereka pula telah membantah dengan perkara yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan perkara yang salah itu; sebab itu Aku binasakan mereka. Maka (lihatlah) bagaimana kesan azabKu!” (Surah Al Ghaffir: 5)
2) Degil Dan Takkabur
“(16)Tidak sekali-kali (akan ditambahi) ! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran, yang disampaikan oleh Rasul Kami). (17) Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya.(18) Kerana sesungguhnya ia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran) .(19) Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)? (20) Sekali lagi: binasalah dia hendaknya! Bagaimana ia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)? (21)Kemudian ia merenung dan memikirkan (berkali-kali: jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi ia gagal);(22) Setelah itu ia memasamkan mukanya serta ia bertambah masam berkerut; (23) Kemudian ia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh,(24) Serta ia berkata: ” (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya);(25)”Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!” (Surah Al Muddaththir: 16 -25)
Kebiasaan bagi cara orang jahiliyyah apabila mereka tidak mampu menolak hujjah maka mereka akan menolak hujjah dengan cara tidak membawa hujjah tetapi gelar gelaran waima seperti yang kita lihat pada masa kini : wahabi , literalist ,jumud dan seumpamanya .
Mereka juga menolak untuk beriman sekalipun ianya datang dari ALLAH sebagaimana yang ALLAH firmankan didalam Surah Al Jaathiyah Ayat 7 iatu :
“Itulah ayat-ayat penerangan Allah yang kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) kerana menegakkan kebenaran; maka dengan perkataan yang manakah lagi mereka hendak beriman, sesudah penerangan Allah dan tanda-tanda kekuasaanNya (mereka tidak mahu memahami dan menelitinya)?” (Surah Al-Jaathiyah: 7)
Mereka juga menolak untuk beriman kerana perasaan bangga dan sombong yang bersarang didada mereka kerana tidak mahu diatasi oleh orang lain .
“Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Tuhanmu dengan tidak berdasarkan sebarang bukti yang sampai kepada mereka (dari pihak yang diakui benarnya), tidak ada dalam dada mereka melainkan perasaan mahukan kebesaran (untuk mengatasimu), kemahuan yang mereka tidak sekali-kali akan dapat mencapainya. Oleh itu mintalah perlindungan kepada Allah (dari angkara mereka); sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Ghafir: 56)
Sesungguhnya kuasa di dalam berhujah adalah Ilmu .Hendaklah hujjah yang ilmiah itu dibalas dengan hujjah yang ilmiah pula. Dan sekarang telah kita ketahui bahawa ciri yang dicela oleh Al Qur’an adalah sombong.
3) Menolak Kebenaran Setelah Jelas
Sekiranya sesuatu hukum itu tidak jelas kepada seseorang dan ia menolak,maka ia dimaafkan .Sebagai contoh :
a) Orang Islam yang berada di negeri Islam dan tahu tentang keharaman arak tetapi menganggapnya halal,maka ia kafir setelah mengambil kira di negeri yang ia berada itu adalah negeri di mana syiar syiar islam tertegak .
b) Orang Islam yang berada di negara kafir ,yang mana muslim merupakan kaum minoriti dan dia pula baru memeluk Islam yang mana dinegerinya syiar Islam tidak tertegak dengan meluas maka dia dimaafkan dan tidak berdosa kerana dia masih belum tahu tentang keharaman arak .
Adapun orang jahiliyyah ,mereka mengakui kebenaran dengan hati hati mereka nmun mereka mengingkarinya kerana ingin menguasai (seperti yang dilakukan oleh Fir’aun). Mereka ini disebut sebagai zholim dan angkuh:
“Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.” (Surah An Naml Ayat 14)
Orang kafir Quraisy mengetahui bahawa Rasulullah sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam bukan seorang pendusta. Mereka menolaknya kerana kufur juhud (iatu menolak walau telah jelas dalilnya). Manakala Abu Talib pula kufur ta’azhim (mengagungkan nenek moyang).
“Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata).” (Al An’am: 33)
4) Berpaling Dari Kebenaran (Tidak Mahu Mendengar Langsung)
Orang jahiliyyah melarikan diri dari kebenaran kerana ketakutan seperti kawanan keldai liar yang takutkan singa .Perumpamaan ketakutan mereka ini dikisahkan ALLAH,
“Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu. (Kalau demikianlah halnya orang-orang yang bersalah), maka mengapa mereka berpaling lari dari peringatan (Al-Quran) ? (50) Seolah-olah mereka sekawan keldai liar yang lari, Melarikan diri (ketakutan) dari singa!” (Surah Al Mudhaththir: 48 hingga 51)
Mereka bahkan berpaling dan tidak mahu mendengar. Di dalam permasalahan dakwah, apabila ada soalan yang keras dan kasar dari seseorang hendaklah kita sabaar dengannya kerana orang seperti itu lebih senang dari orang yang tidak mahu mendengar. Manakala bagi orang yang tidak mahu mendengar maka kita hendaklah berusaha supaya mereka mendengar, sekiranya tidak melalui kita maka melalui orang lain .
5) Mempermain-mainkan dan Memperlekehkan .
Akhirnya apabila mereka tidak mampu membalas dengan hujjah hujjah ilmiah mereka akan berakhir dengan mempermain mainkan atau memperolok olokkan penyeru kebenaran itu .Yang menyedihkan antara semua pada masa kini bahkan orang Islm sendiri menggunakan cara ini .Kita bukan mengkafirkan orang Islam tetapi mengingatkan agar mereka tidak mengikuti cara cara orang kafir/jahiliyyah ini.
“Dan apabila orang-orang kafir itu melihatmu, mereka hanyalah menjadikan perkara yang engkau sampaikan itu sebagai ejek-ejekan sahaja, sambil berkata sesama sendiri: “Inikah dia orangnya yang mencaci tuhan-tuhan kamu?”(Mereka berkata demikian) sedang mereka sendiri kufur ingkar kepada Al-Quran yang mengandungi peringatan Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.” (Surah Al Anbiya’: Ayat 36)
Mereka juga tidak lepas dari perbuatan mengejek ejek sebagaimana yang ALAH khabarkan:
Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat penerangan Kami, ia menjadikannya ejek-ejekan; mereka yang demikian keadaannya, akan beroleh azab yang menghina.” (Surah Al Jaathiyat: 9)
Manakala kaum munafiq mendengar kebenaran yang disampaikan dengan sambil lewa /tidak fokus didalam belajar.
“Dan di antara mereka (yang hadir di majlismu wahai Muhammad, ialah orang-orang munafik) yang mendengar ajaranmu (dengan sambil lewa), sehingga apabila mereka keluar dari sisimu berkatalah mereka (secara mengejek-ejek) kepada orang-orang yang diberi ilmu (dari kalangan sahabat-sahabatmu yang setia): “Apa yang dikatakan oleh Muhammad tadi?” Mereka (yang munafik) itu ialah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah atas hati mereka, dan ialah orang-orang yang menurut hawa nafsunya.” (Muhammad Ayat:16)
Maka marilah kita sama sama memperhatikan cara kita dalam menerima kebenaran atau ketetapan yang telah ditetapkan oleh ALLAH melalui lisan Rasul-NYA Muhammad Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dan memperbaiki keadaannya supaya lebih baik dari sebelumnya.Semoga ciri ciri yang disebutkan ini tidak terdapat pada kita .Hanya kepada ALLAH lah tempat kita berharap dan mengadu .
Disalin oleh rakan facebook
Disemak dan edit oleh Jabatan Penerbitan iLMU www.ilmuanmalaysia.com
Peringatan: Izin disebar untuk tujuan dakwah dan diskusi ilmiah semata-mata kerana mengharapkan wajah Allah. Untuk tujuan komersial dan perniagaan perlu mendapat izin bertulis.