Arkib

Akhlak & Adab

Doa Sahih Selepas Wuduk

Dr. Fadlan Mohd Othman

Sabda Rasullullah SAW maksudnya;

“Sesiapa yang mengambil wuduk dengan baik kemudian dia berkata, Asyhadu al laa ilaaha illAllah wahdahu laa syarikalah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘Abdahu wa rasulluh, Allah hummaj ‘alni minat tawwaabin, waj’alni minal mutatohhiriin

(maksudnya: Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah esa (Tuhan) saja tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusanNya. Allah jadikanlah aku dari kalangan orang yang banyak bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang yang menyucikan diri),

akan dibuka untuknya kesemua lapan pintu-pintu syurga agar dia memasukinya dari mana dia suka.

(riwayat ImamTarmizi( 50) ; Sahih: Sahih Al-Tarmizi(55) dan Al-Nasai(148);Sahih:Sahih Al-Nasai(148))

Mungkin kita boleh letakkan ini sebagai satu peringatan bahawa zikir di dalam Islam adalah penting dan kita sebenarnya mempunyai zikir yang sahih bagi kebanyakan amalan contohnya keluar masjid, masuk masjid, ketika hendak berwuduk, selesai wuduk, hendak tidur, bangun daripada tidur, nampak orang yang ditimpa musibah, nampak orang yang diberikan nikmat dan sebagainya. Semua itu adalah untuk memperbanyakkan pahala kita sekiranya perkara itu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan dilakukan mengikut sunnah iaitu mengambil hadith yang sahih sahaja. Jangan dibaca hadith yang dhaif dan jangan juga dibaca hadith yang palsu.

Perkara ini boleh didapati di dalam banyak kitab-kitab yang kecil dan yang besar. Antaranya yang masyur ialah Hisnul Muslim oleh Syaikh Dr Said bin Ali bin Wahaf al-Qahthani. Kitab ini adalah antara kita yang paling laku sekali dan yang paling tersebar luas. Laku disini bukan bermaksud laku dari sudut jual beli tetapi laku dari sudut sebarannya begitu banyak di dalam pelbagai bahasa. Tidak dinafikan ada sebahagian hadith yang dhaif tetapi nisbahnya sedikit sahaja.

Yang ke-4 menyempurnakan wuduk dan membaca doa ini adalah diantara sebab-sebab untuk memasukkan kita ke dalam syurga. Kita perlu yakin dengan perkara itu dengan mengambil wuduk dengan cara yang baik dan bacakan zikir ini dan doanya dengan penuh kefahaman.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=koOud5aTFP4

Advertisements

Soalan 

Saya merupakan penyokong setia kelab bola sepak Manchester United. Masalahnya sekarang ialah pada lambang kelab itu terdapat seakan-akan gambar syaitan. Gelaran bagi pasukan mereka juga ialah ‘The Red Devil yang bermaksud syaitan merah. Apa hukumnya di dalam Islam tentang perkara ini. Adakah saya boleh terus menyokong Manchester United atau tidak?

Danny Ryan,

Gurun, Kedah

Jawapan

Saudara, soalan ini menggambarkan keprihatinan saudara. Semoga Allah meneguhkan lagi jati diri Islamik saudara dan seluruh umat Islam.

Apa yang saya faham khusus berkenaan hukum-hakam yang berkaitan dengan kelab bola sepak Manchester United ialah seperti berikut:

Pertama, tidak boleh bagi penyokong muslim kelab ini memakai atau memiliki apa sahaja produk yang memperagakan syaitan merah yang memegang tombak dan memakai mahkota itu.

Kedua, apabila pergi untuk menyokong, pastikan solat tidak ditinggalkan.

Ketiga, apabila memberi sokongan, pastikan tiada lafaz kufur mahupun maksiat yang diungkap.

Keempat, pastikan keghairahan menyokong tidak menjadikan kita bercampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batasan.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak seluruh umat Islam agar membuat pilihan yang sewajarnya dalam setiap detik kehidupan kita.

Memang tidak mengapa memberi sokongan, akan tetapi perlulah sentiasa menepati etika Islam. Satu perkara lagi, hendaklah kehidupan kita sebagai umat Islam disinari dengan perseimbangan atau wasatiyyah.

Seimbangkanlah antara ketekunan dalam melakukan ibadah dengan masa yang diberikan untuk urusan manusiawi seperti riadah, sukan dan sebagainya.

Janganlah terlalu terikut-ikut dengan budaya kufur Barat atau Timur yang seringkali menekankan kebebasan daripada segala unsur-unsur keagamaan dan ketuhanan.

Siaran akhbar Mingguan, Ahad 02 September 2012

1. Kami dari iLMU mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi hadir ke Majlis Iftar iLMU yang julung kali diadakan pada hari Ahad 12 Ogos 2012 bersamaan 24 Ramadhan.

2. Semestinya kami amat berterima kasih kepada tuan rumah yang amat bermurah hati menawarkan teratak istimewanya sebagai “hamparan” istimewa buat para tetamu iLMU khususnya Y.B. Dato’ Mukhriz bin Tun Dr. Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri serta tetamu-tetamu yang lain. Moga Allah menjanjikan pahala yang berlipat ganda sempena bulan yang penuh barakah dan rahmah ini.

3. Kami di iLMU menghargai sokongan semua pihak secara langsung atau tidak langsung sepanjang penubuhan iLMU dalam medan dakwah dan arena politik. Semoga usaha iLMU untuk melakukan “islah” dan penambah baikan terhadap masyarakat di luar sana mendapat sokongan dari semua pihak.

4. Kami juga begitu mengharapkan nasihat dan pandangan dari sahabat-sahabat di luar sana agar kami boleh memperbaiki kelemahan dan kekurangan dari semasa ke semasa.

5. Akhir sekali, kami mewakili pihak tuan rumah memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan sepanjang majlis yang diadakan, moga Allah mengampuni kami dan meredhai usaha dalam merapatkan ukhuwwah ini.

6. Doakan kami agar terus istiqamah dalam dakwah yang penuh “fitnah” ini. Jazakumullah khairal jaza’.

Ahmad Fauzan Yahaya, COO iLMU

Video majlis: http://www.youtube.com/watch?v=i6Yygi4pHLg&feature=player_embedded 

Dr Fadlan Mohd Othman

Apabila sampainya sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, tingkatkan kegigihan beribadat, pastikan malam al-Qadr tidak terlepas:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah r.a. katanya ‘Kebiasaannya dahulu Nabi s.a.w. apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadhan, Baginda akan bersungguh-sungguh, menghidupkan malamnya dan mengejutkan keluarganya.’

(HR al-Bukhari, Kitab Solat al-Tarawih, Bab al-‘Amal Fi al-‘Ashr al-Awakhir Min Ramadhan, No. 1884.)

Sekiranya berkesempatan beri‘tikaflah di salah satu dari 3 masjid iaitu al-Masjid al-Haram, al-Masjid al-Nabawi dan al-Masjid al-Aqsa (menurut satu pendapat):

لا اعتكاف إلا في المساجد الثلاثة

Maksudnya: Tiada iktikaf kecuali di tiga masjid sahaja.

(HR al-Isma‘ili (al-Mu‘jam) dan al-Baihaqi (al-Sunan) seperti dinyatakan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 2786. Dihukum Sahih oleh al-Albani.)

Pendapat kedua pula ialah Masjid Jami‘. Bagi mereka yang mengambil pendapat pertama, masih boleh juga turut serta beribadat dengan mereka yang beri‘tikaf di masjid-masjid Jami‘:

الْمَلَائِكَةُ تُصَلِّي عَلَى أَحَدِكُمْ مَا دَامَ فِي مُصَلَّاهُ مَا لَمْ يُحْدِثْ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ لَا يَزَالُ أَحَدُكُمْ فِي صَلَاةٍ مَا دَامَتْ الصَّلَاةُ تَحْبِسُهُ لَا يَمْنَعُهُ أَنْ يَنْقَلِبَ إِلَى أَهْلِهِ إِلَّا الصَّلَاةُ

Maksudnya: Para malaikat berdoa ke atas seseorang dari kamu selagimana dia berada di dalam tempat solatnya selagimana dia tidak batal wudhuk ‘Ya Allah ampunkanlah dia, Ya Allah rahmatilah dia.’ Seorang daripada kamu dikira berada dalam solatnya selagimana solat itu menghalangnya, tiada yang melarangnya balik kepada keluarganya kecuali solat.

(HR al-Bukhari, Kitab al-Azan, Bab Man Jalas Fi al-Masjid Yantazir al-Solat Wa Fadl al-Masajid, No. 619. Juga Muslim, Kitab al-Masajid Wa Mawadi‘ al-Solat, Bab Fadl Solat al-Jama‘ah Wa Intizar al-Solat, No. 1060.)

Bersama Ustaz Dr. Fadlan Mohd Othman

Soalan 1 : 

SAYA keliru mengenai maksiat. Setahu saya, maksiat bermaksud duduk berdua-duaan di tempat gelap dan melakukan hubungan seks di suatu tempat. Kawan saya menghadiri kelas motivasi agama. Ustaznya berkata, maksiat boleh berlaku di mana sahaja. Contohnya, mengunjungi festival seperti Jom Heboh kerana ia membuang masa dan melihat hiburan artis.

Benarkah kalau sembahyang jamak seperti zuhur dan asar juga maksiat sebab mahu menghadiri majlis persandingan pengantin. Jadi apakah maksud maksiat dalam Islam serta adakah terdapat beberapa pecahan maksiat?

* NorZahira Zainol

JAWAPAN: Allah mengarahkan kita melakukan kebaikan atau ketaatan dan menghindari keburukan atau maksiat. Menurut kaca mata Islam, kebaikan adalah apa sahaja yang diredai Allah manakala keburukan pula apa sahaja yang dimurkai-Nya. Apa yang lebih penting dalam melakukan kebaikan dan menghindari keburukan adalah perasaan kita. Orang yang melakukan kebaikan kerana telah menjadi rutin tidak sama dengan orang yang melakukannya dengan penuh pengagungan terhadap Allah. Begitu juga orang yang menghindari maksiat kerana kebiasaan tidak sama dengan orang yang meninggalkannya kerana takutkan Allah. Inilah yang dimaksudkan dengan Taqwa. Perhatikan perkara ini di dalam firman Allah dalam Surah al-Haj ayat 37 yang bermaksud:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya.”

Kembali kepada soalan, memang maksiat mempunyai pelbagai kategori dalam Islam. Pertama, maksiat yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam, seperti syirik dan kufur. Antara contohnya, sujud kepada patung, mencaci Allah dan Rasulullah SAW serta menghalalkan perkara haram dan mengharamkan perkara halal. Kedua, maksiat yang tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam tetapi membawa dosa besar. Contohnya berzina, mengumpat dan mengadu domba. Ketiga, maksiat yang tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam tetapi membawa dosa. Contohnya meminang wanita yang sudah dipinang oleh orang lain, melihat dan mendengar perkara yang diharamkan.

Memang benar maksiat boleh terjadi di mana sahaja. Bahkan maksiat boleh berlaku daripada orang yang nampaknya seperti berbuat kebaikan. Di dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi (no. 2382), Rasulullah menjelaskan tiga jenis manusia yang dihumban ke neraka sebelum orang lain.

Pertama, orang yang membaca al-Quran untuk digelar qari. Kedua, orang yang sering menderma untuk digelar pemurah dan dermawan. Manakala ketiga, orang yang mati di medan perang semata-mata untuk digelar berani.

Perhatikan bagaimana hadis ini mengajar kita agar sentiasa meneliti dua perkara iaitu kesahihan amalan di samping keikhlasan niat. Kedua-dua perkara ini perlu wujud seiringan dan tidak boleh diasingkan sama sekali.

Setelah memahami kaedah berkaitan ketaatan dan maksiat, dapatlah kita fahami bahawa apa sahaja festival yang membuang masa dan mengandungi hiburan yang tidak menepati norma Islam termasuk dalam maksiat. Lebih khusus lagi, ia tergolong dalam dosa kecil. Ini tidak bermaksud individu muslim itu tidak boleh berhibur. Boleh, asal tidak berbaur maksiat.

Adapun solat jamak kerana mahu menghadiri majlis persandingan pengantin, perkara ini perlu diperincikan. Pertama, persandingan memang tiada dalam Islam. Bahkan ada perbincangan mengatakan bersanding itu asalnya daripada agama Hindu. Ditambah dengan unsur maksiat lain seperti make up berlebihan di khalayak ramai dan percampuran lelaki dan perempuan. Justeru, dinasihatkan agar perbuatan bersanding ditinggalkan. Yakinlah bahawa jika perkahwinan tiada persandingan, ia tidak cacat sedikit pun insya -Allah. Besar kemungkinan ia lebih diredai Allah.

Sudut kedua pula berkenaan hukum menjamak solat. Berdasarkan sebuah hadis sahih riwayat al-Imam Muslim (no. 705), Rasulullah telah menjamakkan solat zuhur dan asar, solat maghrib dan isyak di Madinah bukan dalam keadaan ketakutan atau hujan. Apabila Ibnu Abbas ditanya mengapa Rasulullah berbuat demikian, beliau menjawab “Baginda ingin memberi kemudahan kepada umatnya.”

Berdasarkan hadis ini, al-Imam al-Nawawi rahimahullah menjelaskan dibenarkan jamak solat jika ada keperluan. Jika kita lihat kepada kehidupan sekarang, keperluan mencakupi pelbagai perkara. Antaranya mesyuarat, majlis perkahwinan, pembentangan dan seumpamanya.

Siaran akhbar Ahad, 08 Julai 2012

Memperbanyakkan doa di setiap masa semasa puasa:

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْصَائمِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ

Maksudnya: Tiga doa yang mustajab tanpa syak. Doa orang berpuasa, doa orang dizalimi dan doa orang mengembara.

(HR al-‘Uqaili, al-Baihaqi dan Ibnu ‘Asakir, dihukum sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 1797.)

Apabila tenggelamnya matahari, berbukalah dengan segera:

لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ

Maksudnya: Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana mereka segera berbuka puasa.

(HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Ta‘jil al-Iftar, No. 1821. Juga Muslim, No. Kitab al-Siyam (Puasa), Bab Fadl al-Sahur WaTa’kid Istihbabih Wa Istihbab Ta’khirih Wa Ta‘jil al-Fitr (Kelebihan bersahur dan penekanan sunatnya serta sunatnya dilewatkan sahur dan dicepatkan berbuka), No. 1838.)

إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا وَغَرَبَتْ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ.

Maksudnya: Sekiranya malam datang dari sini, siang pergi dari sini dan terbenamnya matahari maka berbukalah orang berpuasa.

(HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Mata Yahill Fitr al-Saim, No. 1818. Juga Muslim, Kitab al-Siyam, Bab Bayan Waqt Inqida’ al-Saum Wa Khuruj al-Nahar, No. 1841.)

Semasa berbuka, mulakan dengan rutob (kalau tiada) tamar (kalau tiada) dengan air:


…أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ عَلَى رُطَبَاتٍ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَعَلَى تَمَرَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ

Maksudnya: Anas berkata ‘Kebiasaannya dahulu Rasulullah s.a.w. berbuka dengan kurma muda sebelum solat. Jika tiada kurma muda maka dengan kurma tua. Jika tiada maka dengan beberapa teguk air.

(HR Abu Daud, Kitab al-Saum, Bab Ma Yuftir ‘Alaih, No. 2009. Dihukum sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud, No. 2040.)

Selepas berbuka bacakan:

…حَدَّثَنَا مَرْوَانُ يَعْنِي ابْنَ سَالِمٍ الْمُقَفَّعَ قَالَ رَأَيْتُ ابْنَ عُمَرَ يَقْبِضُ عَلَى لِحْيَتِهِ فَيَقْطَعُ مَا زَادَ عَلَى الْكَفِّ وَقَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَفْطَرَ قَالَ ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Maksudnya: Marwan bin Salim telah berkata ‘Aku telah melihat Ibnu Umar menggenggamjanggutnya dan memotong apa yang melebihi tapak tangan. Beliau berkata ‘Kebiasaannya dahulu Rasulullah s.a.w. apabila berbuka Baginda akan berkata “Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat. Dan telah tetap pahala dengan izin Allah.”

(HR Abu Daud, Kitab al-Saum, Bab al-Qaul ‘Ind al-Iftar, No. 2010. Dihukum Hasan oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘, No. 4678.)